'Satu pasukan, pelbagai kaum'
Tiga pelajar SMK Kota Kemuning kongsi pengalaman
Bercakap sahaja tentang kumpulan Gendang 24 Musim Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, pasti ramai yang sudah dapat membayangkan kehebatan pelajarnya melakukan pergerakan serta memukul gendang mengikut alunan muzik.
Berbeza dengan yang lain, kumpulan ini sudah menambah beberapa elemen gendang baharu dalam persembahan mereka antaranya kompang yang merupakan alat muzik tradisional Melayu dan dhol bagi kaum India.
Malah lawatan Sinar Bestari ke sekolah ini dan disajikan dengan persembahan campuran elemen muzik tradisional pelbagai kaum, jelas menunjukkan keunikan serta kelainan dibawa oleh sekolah terbabit.
Mengulas lanjut tentang kumpulan Gendang 24 Musim SMK Kota Kemuning, kami bawakan tiga pelajar yang mengganggotai kumpulan ini berkongsi cerita pengalaman masing-masing.
Terbit rasa minat dan teruja selepas menyaksikan persembahan Gendang 24 Musim antara pencetus, Najihah Annur Yahya untuk mencuba nasib menyertai pasukan itu ketika berada di Tingkatan Dua.
Pelajar Tingkatan Tiga itu memberitahu, tanggapan awal mengenai hanya pelajar Cina boleh menyertai pasukan gendang berjaya ditepis selepas melihat ramai ‘senior’ kaum lain turut terlibat dalam pasukan berkenaan.
“Mula-mula agak risau ditambah lagi dengan perbezaan bahasa dalam berkomunikasi. Tetapi, Alhamdulillah ada seorang lagi pelajar Melayu yang sama-sama menyertai kumpulan ini.
“Lama-kelamaan rasa seronok pula dan rakan kaum Cina yang lain pun beri sokongan untuk terus aktif dalam kumpulan gendang,” katanya.
Najihah berkata, berkat usahanya untuk terlibat dalam kumpulan gendang itu sedikit sebanyak membawa perubahan dalam dirinya.
Dia kini merasakan semakin sihat dan bertambah stamina kerana sebelum latihan juga jurulatih akan meminta semua ahli untuk berlari serta memanaskan badan.
“Dari sudut ibu bapa pada awalnya, agak keberatan dan risau, tetapi apabila saya dah banyak buat persembahan dan sertai pertandingan, mereka sudah mula memberi sokongan.
“Cuma mereka ada memberi pesan agar tidak mengabaikan pelajaran,” tambahnya.
Sahabat baik Najihah, Munirah Daniella Romie, menyatakan pendapat yang sama iaitu pertama kali melihat persembahan ketika jamuan hari guru di sekolah.
Alunan muzik yang diketuk atas permukaan gendang serta dimainkan secara berbeza mengikut setiap tiga baris, membuat dirinya berkobar-kobar untuk turut sama terlibat dalam pasukan itu.
Apatah lagi dengan kelebihan yang ada pada dirinya iaitu boleh bertutur dan memahami bahasa Mandarin, memudahkan dirinya untuk bergaul rapat dengan rakan-rakan berbeza kaum, selain turut menjadi penterjemah buat Najihah.
“Saya sertai kumpulan ini sejak dari Tingkatan Dua.
“Yang menyeronokkan adalah apabila membuat persembahan, kami akan dibahagikan kepada tiga baris dan setiap baris memainkan muzik yang berbeza.
“Apabila dicampurkan dalam sebuah persembahan, ia akan membentuk satu alunan muzik yang sangat menarik dan sempurna,” ujarnya.
Pelajar Tingkatan Empat itu memberitahu, dirinya kini mempunyai stamina yang kuat hasil latihan yang dijalani sepanjang terlibat dalam pasukan gendang sekolah.
“Akan ada pergerakan dalam persembahan yang memerlukan saya untuk panjat dan berdiri di atas drum.
“Disebabkan Itulah stamina kena kuat sebab sekiranya tidak nanti ia akan nampak pergerakan tidak sama dengan ahli lain,” tambahnya lagi.
Memegang tanggungjawab sebagai ketua pasukan adalah tugas besar, selain perlu membahagi masa antara belajar dan kokurikulum.
Mana tidaknya, pelajar Tingkatan Lima, Lim Xin Tian perlu bijak mengurus masanya apatah lagi kini dia sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Akan tetapi, baginya ia tidak mengganggu fokus memandangkan latihan hanya dijalankan pada cuti hujung minggu.
“Sekarang ini, saya hanya terlibat dengan latihan pada hujung minggu. Isnin sampai Jumaat, memang fokusnya pada mengulang kaji pelajaran.
“Sebagai ketua kumpulan dan akan meninggalkan sekolah ini, saya merasakan perlu untuk menghabiskan sisa-sisa terakhir dalam pasukan gendang sekolah sebagai kenangan dan pengalaman sebelum melangkah ke alam pendidikan seterusnya,” katanya.
Tambah Xin Tian, rasa seronok bermain alat muzik itu telah mendorong dirinya untuk terlibat sejak dari Tingkatan Satu.
Lebih-lebih lagi melihat ramai rakan yang berbeza kaum turut serta dalam kumpulan Gendang 24 Musim di samping menunjukkan keunikan dan kepelbagaian yang ada di Malaysia.