
Siapa lebih layak jadi warden asrama?
Asrama merupakan tempat penginapan khas yang disediakan pihak sekolah atau institusi pendidikan untuk pelajar yang belajar jauh dari rumah.
Kehidupan berasrama bukan sahaja menyediakan kemudahan tempat tidur dan makan, malah itulah medium untuk membentuk disiplin serta tanggungjawab dalam kalangan pelajar.
Namun, sejak kebelakangan ini, mula timbul topik hangat tentang pemilihan warden asrama dalam kalangan pendidik, ibu bapa dan murid. Warden bukan sekadar penjaga disiplin, malah mereka merupakan tulang belakang dalam menguruskan kehidupan seharian pelajar yang menetap sepenuhnya di asrama.
Kes buli di asrama sering menjadi bualan orang ramai termasuk ibu bapa menyebabkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) melantik bekas tentera dan polis sebagai warden sepenuh masa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Tujuannya untuk memastikan isu mempermainkan atau mendera seseorang yang lemah sebagai hiburan dapat dikekang segera. Inisiatif yang telah dilaksanakan di MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu mendapat perhatian ramai terutama pihak guru yang menganggap satu tindakan baik.
Bukankah ia satu kelegaan apabila pesara tentera atau polis mengambil alih tugasan guru yang sememangnya telah padat dengan aktiviti harian?
Manakan tidak, tugas hakiki seorang guru sahaja sudah menunjukkan sekolah rumah kedua masingmasing.
Pendidik perlu bertugas seharian di sekolah seawal jam tujuh pagi hingga dua petang seperti yang tertulis dalam jadual, bagaimanapun merekalah insan yang tidak dapat balik ke rumah pada waktu sepatutnya.
Manakan tidak, mereka perlu bersedia awal pagi untuk memastikan pelajar hadir ke sekolah dengan penuh ceria dan semangat. Mereka jugalah insan yang akan tersenyum sambil melambai murid apabila tamat waktu persekolahan, namun kemudian wajah manis tadi bertukar muram apabila terpaksa menyiapkan kerja di pejabat sehingga lewat petang.
Sungguh, tugas seorang guru ini amat berat.
Bagi penulis, apabila Mara melantik pesara untuk mengambil alih tugasan malam sebagai warden asrama, bukankah itu lebih baik?
Sekurang-kurangnya, pelajar mempunyai rasa takut untuk membuat perkara yang tidak diingini seperti membuli rakan lain.
Ini kerana, murid-murid tahu setiap kesalahan yang dilakukan, semestinya akan mendapat hukuman atau denda yang muhasabah dikenakan.
Itulah tugas pesara tentera atau polis apabila dilantik, mereka pasti akan mengekang perkara negatif yang sering berlaku dalam kalangan pelajar.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpandangan bahawa tiada keperluan untuk mengambil pesara tentera atau polis sebagai warden asrama sekolah pada masa ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, peranan warden amat penting kerana asrama bukan sekadar tempat tinggal pelajar, sebaliknya berfungsi sebagai sebahagian daripada institusi pendidikan.
Katanya lagi, KPM sedang meneliti beberapa cadangan termasuk menambah jumlah warden serta memberi insentif sewajarnya bagi mengurangkan bebanan tugas sedia ada.
Persoalan ‘siapa lagi berhak?’ mungkin tidak seharusnya dijawab dengan hanya memilih satu pihak, sebaliknya sistem warden boleh dibangunkan melalui kepakaran guru serta bekas anggota tentera mahupun polis.
Seorang pendidik boleh membawa sentuhan pembelajaran, manakala bekas tentera atau polis pula menambah nilai dari segi disiplin dan keselamatan.
Melalui kombinasi ini, pelajar bukan sahaja berasa selamat, malah mereka akan dididik dengan penuh kasih sayang.
Asrama yang dikelola secara seimbang akan melahirkan pelajar yang berdisiplin, matang serta mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran hidup.
Pemilihan warden asrama bukan soal siapa lebih berhak, tetapi insan mana lebih sesuai dengan peranan besar ini.
Guru dan bekas anggota tentera atau polis, masing-masing ada kekuatan tersendiri.
Apa yang penting, individu yang dipilih harus memahami bahawa menjadi warden adalah amanah besar mendidik, menjaga dan membimbing generasi masa depan.
~ Qurratul Aina Quddus ialah wartawan Sinar Bestari