Hillcrest membawa pulang satu mata dari Shah Alam di sebalik akur trofi Sumbangsih kekal di bumi pasukan lawan untuk tahun kedua berturut-turut. FOTO: ROSLI TALIB
Hillcrest membawa pulang satu mata dari Shah Alam di sebalik akur trofi Sumbangsih kekal di bumi pasukan lawan untuk tahun kedua berturut-turut. FOTO: ROSLI TALIB

SMK Hillcrest jamin lebih tajam di Gombak

ZURAIMEE ZAINALZURAIMEE ZAINAL
03 Oct 2025 02:19pm

Hasrat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest untuk membawa pulang trofi pertama saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) tidak kesampaian apabila tunduk 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada penyandang juara, SMK Shah Alam, dalam aksi Sumbangsih merangkap perlawanan Kumpulan A di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Selangor pada Rabu.

Hillcrest yang menguasai sebahagian besar perlawanan dikejutkan jaringan pendahuluan penalti Muhammad Amal Mohd Dom pada minit ke-34, sebelum bangkit melalui gol penyamaan dramatik Qaid Darwisy Mohd Faizal pada masa kecederaan minit 62 untuk mengheret aksi ke penentuan penalti.

Namun, tuah lebih memihak kepada juara bertahan kendalian Osmera Omaro apabila menamatkan saingan 5-3 sekaligus menafikan hasrat pasukan dari Batu Caves membawa pulang trofi ke Gombak.

FOTO: ROSLI TALIB
FOTO: ROSLI TALIB

Pengurus pasukan, Muhamad Hasrulnizam Mohamad biarpun begitu tetap berpuas hati dengan karakter dipamerkan anak buahnya untuk satu mata meskipun gagal meraih kemenangan.

"Kita sebenarnya menguasai permainan di kedua-dua separuh masa, tetapi kurang klinikal di depan gol menyebabkan lawan berjaya bangkit.

"Apa yang positif, pemain tidak hilang fokus, sebaliknya menunjukkan karakter kuat untuk kembali menyamakan kedudukan hingga ke penentuan penalti.

Artikel Berkaitan:

FOTO: ROSLI TALIB
FOTO: ROSLI TALIB

"Yang perlu kita perbaiki hanyalah ketajaman penyudah agar penguasaan bola diterjemahkan kepada kemenangan," katanya kepada Sukan Sinar selepas perlawanan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Hillcrest kini menumpukan perhatian kepada usaha bangkit lebih konsisten dalam baki saingan Kumpulan A.

"Perlawanan menentang juara bertahan memberikan banyak pengajaran berharga. Fokus kami selepas ini ialah meningkatkan ketajaman di hadapan gol, mengekalkan intensiti sepanjang 60 minit, serta memperbaiki transisi bertahan dan pengurusan tempo.

"Latihan lebih spesifik akan diberi kepada aspek penyudah, di samping menekankan pemulihan fizikal serta kekuatan mental pemain.

FOTO: ROSLI TALIB
FOTO: ROSLI TALIB

"Dengan disiplin dan semangat yang ditunjukkan, saya yakin Hillcrest mampu bangkit lebih konsisten dalam baki perlawanan," ujarnya.

Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.

Hadir menyaksikan perlawanan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahir Raja Salim; Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Hashim Anang; Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Norfadzilah Rosdi; Pengurus Besar Korporat Setiausaha Syarikat PNSB, Mohamad Nizam Yaacob.

FOTO: ROSLI TALIB
FOTO: ROSLI TALIB

Hillcrest dijadual melayan kunjungan SMK Seksyen 10 Kota Damansara dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada Jumaat ini perlawanan penting buat skuad muda itu untuk kembali menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya. 

Ringkasan AI

  • SMK Hillcrest tunduk 3-5 kepada SMK Shah Alam menerusi penentuan sepakan penalti dalam saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun
  • Muhammad Amal Mohd Dom jaring gol pendahuluan untuk SMK Shah Alam manakala Qaid Darwisy Mohd Faizal menyamakan kedudukan untuk Hillcrest
  • SMK Shah Alam, juara bertahan, menafikan hasrat Hillcrest membawa pulang trofi
  • Pengurus SMK Hillcrest, Muhamad Hasrulnizam Mohamad, berpuas hati dengan karakter pemain walaupun kurang klinikal di depan gol
  • Hillcrest kini fokus meningkatkan ketajaman di hadapan gol dan konsistensi dalam perlawanan seterusnya di Kumpulan A
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp