SMK Ismail Petra juara Piala Tuanku Kursiah 2024
Dalam edisi ke-10 penganjuran, pertandingan Pidato Piala Tuanku Kursiah 2024 (PPTK'24) mengangkat peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Kelantan sebagai juara.
Hasil pidato Nik Nadzif Dhamir Nazhin Jazli membuatkannya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM800, piala dan cenderamata barang tajaan.
Gelaran Naib Juara pula dianugerahkan kepada Alyaa Izzaty Rozis dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau dengan hadiah wang tunai sebanyak RM600, piala, sijil dan cenderamata, manakala tempat ketiga jatuh kepada pelajar Sekolah Tun Fatimah, Faseeh Fardha Firdaus dengan tunai sebanyak RM400, piala, sijil pencapaian dan cenderamata.
Dalam pertandingan akhir PPTK'24, seramai 15 orang finalis berentap untuk merangkup gelaran juara.
Tujuan penganjuran PPTK’24 adalah untuk meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan peserta yang terdiri dari pelajar sekolah menengah seluruh Malaysia dalam lingkungan umur 15 hingga 17 tahun agar mampu mengutarakan idea bernas dengan tema 'Mengutuhkan Nusa Bangsa Berpaksikan Bahasa Melayu'.
Program ini terus mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penaja utama PPTK’24.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) merangkap Ketua Juri Pertandingan Akhir Pidato Piala Tuanku Kurshiah, Dr Rohaidah Haron berkata, tajuk pidato spontan yang menarik dan mencabar membuatkan barisan panel juri kagum dengan kebolehan peserta yang masih muda menghuraikan tajuk dengan sebaik mungkin.
Untuk rekod, pertandingan akhir PPTK'24 berlangsung di Kolej Kediaman Tuanku Kursiah UM pada 12 Mei lalu.