Persembahan Gendang 24 Musim oleh murid-murid SMK Kota Kemuning.
Persembahan Gendang 24 Musim oleh murid-murid SMK Kota Kemuning.

SMK Kota Kemuning rai keunikan budaya negara Asia

02 Sep 2024 03:31pm

Seramai 407 murid menyertai pertandingan dan persembahan sempena program International Collaborative Programme For Nurturing Global Education 2.0, anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning pada 5 Ogos lalu.

Program bertemakan Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kebudayaan itu dijayakan dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) melibatkan tujuh sekolah tempatan iaitu SMK Kota Kemuning, SMK Bandar Puncak Jalil, SMK Saujana Impian, SMK Putra Perdana, SMK Seri Kembangan, SMK Cyberjaya serta SK Cyberjaya.

Bagi menambahkan impak pelaksanaan program kali ini, SMK Kota Kemuning mengundang pelajar dari enam buah sekolah luar negara untuk turut serta secara dalam talian, antaranya Streesmutprakan School, Samutprakan, Thailand, Nawamintrachinuthit Benjamarachalai School, Bangkok, Thailand, dan Hiroshima Global Academy, Osakikamijima, Jepun.

Turut serta juga pelajar dari Hiroshima Kokutaiji High School, Hiroshima, Jepun, Gyeongbuk Foreign Language High School, Gumi, Korea dan Norol Iman Chroy Metrey High School, Kemboja.

Peserta dari SMK Bandar Puncak Jalil membuat persembahan Taekwondo dan Ghu Zern.
Peserta dari SMK Bandar Puncak Jalil membuat persembahan Taekwondo dan Ghu Zern.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan ialah persembahan Gendang 24 Musim, muzik Gamelan, Ghu Zern, Silat dan Taekwondo serta pelbagai jenis tarian tradisional Malaysia dan Indonesia.

Selain itu, diadakan pameran dan pertandingan reruai bertemakan STEM serta kebudayaan.

Artikel Berkaitan:

Turut dijalankan pertandingan secara atas talian, Spelling Bee, Public Speaking dan Recorded Showcase yang disertai oleh peserta-peserta dari sekolah luar negara.

Pengetua Cemerlang, Mohd Fauzi Zailan berkata, sebagai pihak penganjur, beliau amat berbesar hati untuk mengadakan program seumpama ini.

“Seperti yang sering diuar-uarkan, kami cuba menyahut saranan ‘pendidikan bukan hanya apa ada di dalam buku mahupun dalam bilik darjah'.

“Oleh itu, murid perlu diberi pendedahan sewajarnya, jadi jika kita tidak mampu membawa mereka ke luar negara, dengan sedikit usaha kita mampu membawa apa yang ada di luar negara kepada mereka," katanya.

Untuk makluman, majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Multimedia (MMU), Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud.

Ketua Jemaah Nazir Negeri Selangor, Mohd Sarngi Khalil turut hadir melawat pameran reruai bersama perasmi dan tetamu-tetamu jemputan yang lain.

Mazliham melawat hasil inovasi STEM peserta SMK Kota Kemuning.
Mazliham melawat hasil inovasi STEM peserta SMK Kota Kemuning.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp