SPM: Masa depan atau bebanan kepada pelajar?
Saban tahun kita sentiasa digemparkan dengan suasana dan situasi di mana isu pendidikan negara seolah-olah berada semakin hari semakin membimbangkan.
Baru-baru ini, ketika hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berlangsung, kita telah dikejutkan dengan statistik yang 'menakutkan' di mana 10,000 calonnya tidak hadir pada hari berkenaan yang melibatkan kertas Bahasa Melayu.
Semua sedia maklum, untuk melayakkan pelajar mendapat SPM, mereka perlu lulus kertas Bahasa Melayu dan Sejarah serta harus mengambil empat lagi subjek teras lain iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral.
Dalam erti kata lain, pelajar perlu sekurang-kurangnya mengambil enam subjek ini untuk mendapat sijil.
Berbalik kepada senario yang berlaku baru-baru ini, ia jelas menunjukkan, belum apa-apa lagi, telah 10,000 calon-calon gagal dalam memperoleh sijil pertama mereka.
Apakah puncanya?
Ke manakah mereka?
Statistik Kementerian Pendikan Malaysia (KPM) menunjukkan, seramai 19,601 calon tidak hadir pada hari pertama tahun 2020, diikuti 2021 (10,681), 2022 (14,858) dan 2023 (10,160).
Jika dilihat, ada sedikit penurunan dari tahun lepas tetapi ia tetap menjadi igauan kita semua.
Ini baru angka ketidakhadiran satu subjek sahaja, belum diceritakan lagi untuk subjek yang lain dan jika hadir pun, mungkin masih gagal dan akhirnya tidak mendapat sijil.
Kita perlu melihat semula statistik-statistik lain apabila selesai SPM tahun ini dan dari situ, kita boleh mengetahui apakah puncanya mereka tidak hadir pada peperiksaan kali ini.
Antara kemungkinan awal yang boleh dilihat adalah masalah sosioekonomi di mana pelajar dari keluarga berpendapatan rendah mungkin menghadapi kekangan hadir ke sekolah atau peperiksaan dan kurang motivasi serta kesedaran.
Sebahagian pelajar mungkin tidak menyedari kepentingan SPM dalam menentukan masa depan mereka.
Rentetan ini mungkin berpunca dari pasca covid yang pernah menjadi halangan kita suatu ketika dahulu diikuti pula cara hidup kini yang dimomokkan dengan ungkapan, ‘tak belajar pun boleh cari duit jadi influencer atau buat kerja berasakan gig ekonomi seperti e-hailing’.
Masalah kesihatan mental
Selain itu, tidak boleh dipandang remeh juga berkaitan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.
Tekanan dan kebimbangan yang terlampau boleh mempengaruhi kehadiran dan prestasi pelajar itu sendiri.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni mendedahkan hasil Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang menunjukkan peningkatan iaitu daripada 7.9 peratus (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) pada 2023 dengan peningkatan dua kali ganda.
Selain daripada itu, kemungkinan kekurangan penguasaan asas dalam pembelajaran.
Kelemahan dalam kemahiran asas seperti mampu menganalisis, mampu berfikiran secara kreatif dan kritis selain kemampuan menguasai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)menyebabkan pelajar hilang keyakinan untuk menduduki peperiksaan.
Malah, dengan silibus pembelajaran sekarang yang semakin tinggi arasnya juga akhirnya membuatkan pelajar-pelajar ini menjadi cepat jemu dan berputus asa meneruskan pembelajaran.
Bagi membendung dan terus menjaga semua pelapis negara, kita perlu bertindak lebih agresif.
Antara beberapa langkah boleh diambil adalah intervensi awal iaitu mengenal pasti pelajar yang berisiko dan memberikan sokongan tambahan dalam membentuk kelas tambahan atau bimbingan.
Jika perlu, pihak KPM mungkin boleh melihat semula jumlah minimum subjek sebelum ini dari enam kepada mungkin empat subjek sahaja.
Memberi peluang pelajar-pelajar bermasalah ini, lebih fokus dan tidak terbeban dan sekurang-kurangnya dapat memperoleh SPM sekali gus melayakkan mereka menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau peringkat sijil serta diploma akademik dengan kelayakan masuk minimum tiga kredit kebiasaannya dari institusi pengajian tinggi swasta misalnya.
Sokongan psikososial dengan menyediakan kaunseling dan sokongan emosi kepada pelajar yang menghadapi tekanan atau masalah peribadi juga perlu diteruskan dengan lebih mampan dan progresif.
Istilah peluang kedua juga boleh dilihat menjadi penyelamat kepada mereka dengan menawarkan kertas ulangan khusus bagi pelajar yang menghadapi cabaran luar biasa hingga menghalangnya menduduki peperiksaan sebelum itu.
Isu ketidakhadiran dan kegagalan pelajar dalam SPM memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
Dengan kerjasama antara KPM, sekolah, ibu bapa dan komuniti, langkah-langkah proaktif perlu dan mesti diambil untuk memastikan setiap pelajar mendapat peluang terbaik untuk berjaya dalam pendidikan mereka.
Ingat, masa depan mereka adalah masa depan negara.
Maklumat Penulis:
Dekan, Fakulti Teknologi, Rekabentuk & Pengurusan (FTDM), UCYP University, Kuantan, Pahang, Assistant Profesor Ts Dr Mohd Hamisa Abdul Hamid
- Phd (Mech. Eng), M.Tech.Ed (Mech.Eng.), B.Eng.(Mech.) (Hons.) P.Tech.MBOT, Grad.IEM, BEM, IAENG.