Sumandak cekal bantu nenek ditamu, tampung perbelanjaan sekolah
Bukan hanya mesra ketika disapa pelanggan, malah senyuman manis 'sumandak' (gadis) Murut ini tidak lekang di bibir ketika melayani sesiapa saja yang singgah di gerai jualan neneknya Tamu Tenom di sini.
Namun disebalik keramahannya itu, tiada siapa sangka remaja berusia 15 tahun itu cekal dengan kehidupannya apabila dia sanggup mengorbankan hari persekolahannya demi membantu nenek mencari rezeki di tamu (pasar pagi) tersebut.
Ren Arimus pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemabong berkata, dia tidak berniat langsung untuk sengaja ponteng sekolah pada hari tersebut.
"Namun sesekali ada waktunya saya akan membantu nenek yang berniaga di tamu pada setiap Rabu dan terpaksa tidak ke sekolah pada hari tersebut.
"Dalam sebulan mungkin sekali atau dua kali saya turun menemani nenek di tamu sebab kadang-kadang dia tidak dapat melayani pelanggan kerana sibuk membersihkan sayur yang diambil dari hutan untuk dijual di gerai," katanya ketika ditemui di tamu berkenaan baru-baru ini.
Katanya lagi, dia juga terpaksa turun ke tamu kerana memerlukan wang poket untuk perbelanjaan harian di sekolah.
"Biasanya nenek akan beri upah kerana membantunya di gerai, jadi bolehlah saya gunakan untuk duit poket perbelanjaan di sekolah.
"Malah nenek juga membantu membayar yuran sekolah jadi saya tolonglah dia berniaga di tamu. Bapa saya bekerja sendiri dan kadang-kadang bapa tidak dapat turun bekerja kerana sakit jadi ada masa susah untuk dapat perbelanjaan sekolah.
"Biasiswa pun saya sudah tidak dapat. Saya hanya dapat ketika di Tingkatan Satu dulu," katanya.
Sementara itu, Kilis Antian, 54, berkata, memang menjadi kebiasaan cucunya yang akan membantu berniaga jika anaknya tidak dapat turun menemaninya.
"Perjalanan untuk ke tamu pun jauh iaitu mengambil masa kira-kira dua jam dari Kampung Angalur, Kemabong, jadi banyak barang-barang jualan hasil hutan perlu dibawa.
"Sekurang-kurangnya jika cucu saya menemani, akan memudahkan kerja mengangkat sayur dan buah-buahan yang dibawa ke tamu.
"Tapi saya tidaklah galakkan dia ponteng selalu nanti akan menjejaskan pelajaran dia di sekolah," katanya.