Syabas! 6 pelajar SMK Ghabar Baba raih kemenangan dalam YISF 2023, hasilkan produk inovasi guna pelitup muka

AZLEENDA SAHALUDIN
06 Apr 2023 10:20am
A
A
A

Perubahan masa kini memperlihatkan masyarakat khususnya pelajar sekolah disajikan dengan kemajuan teknologi baru hasil daripada inovasi yang dilakukan.

Dengan adanya inovasi ini, ia dapat membantu memberi faedah yang sangat menguntungkan kepada masyarakat lebih-lebih lagi mengutamakan barangan atau produk terpakai sebagai usaha memperkasakan kitar semula.

Malah melihat kepada usaha menghasilkan idea dan kreativiti baru dalam mencipta inovasi terkini terutamanya melibatkan pelajar sekolah, pelbagai pertandingan reka cipta telah dianjurkan sama ada di peringkat dalam atau luar negara.

Lebih membanggakan apabila baru-baru ini enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Melaka, telah berjaya meraih Pingat Perak dalam Youth International Science Fair (YISF) 2023 yang diadakan di Universitas PDRI Mahadewa Bali, Indonesia.

Pertandingan yang berlangsung pada 7 hingga 13 Mac lalu memperlihatkan sebanyak 673 projek daripada 33 negara yang dijalankan secara dua mod iaitu dalam talian dan bersemuka.

Cikgu Suhanna
Cikgu Suhanna

Menurut guru pembimbing SMK Ghafar Baba, Cikgu Suhanna Zainudin, pencapaian itu memberi impak positif dalam menaikkan nama sekolah di persada antarabangsa.

Produk yang dihasilkan oleh pelajar SMK Ghafar Baba berjaya menempa kejayaan dengan membawa pulang Pingat Perak dalam YISF 2023.
Produk yang dihasilkan oleh pelajar SMK Ghafar Baba berjaya menempa kejayaan dengan membawa pulang Pingat Perak dalam YISF 2023.

Artikel Berkaitan:

Ia juga membuktikan pelajar di peringkat sekolah menengah mampu menjana idea dan kreativiti yang sangat menarik di samping mampu menghasilkan produk inovasi walaupun hanya menggunakan barangan terpakai.

Kata Cikgu Suhanna, produk yang dihasilkan oleh pelajarnya itu yang terdiri daripada Tingkatan Satu dan Dua adalah alat penyala api (fire starter) dengan menggunakan bahan utama pelitup muka.

“Idea penghasilan alat penyala api tercetus apabila salah seorang pelajar saya menyatakan kini ramai yang membuang pelitup muka dalam tong sampah dan tepi jalan.

“Bagi mengitar semula pelitup muka tersebut kami menjana idea menghasilkan alat penyala api dengan menggunakan bahan lain seperti lilin, minyak masak dan sabut.

“Selama dua bulan kami bertungkus-lumus menghasilkan dan menambah baik alat berkenaan, Alhamdulillah, kami berjaya menempa kejayaan dalam YISF 2023 di Indonesia,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Jelas Guru Cemerlang Sains merangkap Edufluencer Kementerian Pendidikan (KPM) itu, alat penyala api dihasilkan dan diuji di makmal sekolah sebelum ia di bawa ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET untuk ditambah baik dengan menggunakan kelengkapan makmal serta khidmat nasihat daripada pensyarah universiti terbabit.

“Kami sudah uji struktur alat penyala api ini dan ternyata ia lebih kukuh dan masa membakar juga lebih lama jika dibandingkan dengan alat yang ada di pasaran.

“Saya turut merasakan ia produk yang bagus kerana menggunakan bahan terpakai sebagai bahan utama,” tuturnya.

Sementara itu, Cikgu Suhanna memberitahu, penerbangan beliau bersama pelajar-pelajarnya ke negara jiran bukan hanya untuk menyertai pertandingan inovasi tersebut tetapi turut mengadakan Program Jaringan Rakan Sinergi dengan SMP Negeri 1 Kuta Selatan, Bali.

Program yang mendapat sokongan daripada pengetua sekolah, Sahreah Md Zin itu bertujuan untuk bertukar budaya serta berkongsi amalan pengajaran melibatkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) demi melahirkan lebih ramai pelajar yang kreatif dan berinovasi.

Ia turut mendapat sokongan penuh daripada warga koperasi sekolah, ibu bapa, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok