Umai harumkan nama SSeMKL dan Malaysia di WCOPA
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL), Ummi Umairah Saiful Anuar memenangi pingat emas dalam pertandingan World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat.
Beliau yang merupakan anak saudara kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu berjudul A Natural Woman nyanyian asal Aretha Franklin sekali gus berjaya menewaskan empat lagi finalis lain antaranya dari Emiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan.
Berita kejayaan pelajar yang mesra disapa Umai itu dikongsikan di Instagram miliknya, @umairah_sairahtarudin.
“Kemenangan ini untuk korang (anda) semua. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat,” tulis anak kepada penyanyi Siti Saerah itu.
Sementara itu, kejayaan Umai turut dikongsi Siti Nurhaliza dengan meninggalkan komen di Instagram milik Umai.
“Tahniah Umai! Berjaya bawa pulang emas dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya ringkas dalam video berdurasi lebih kurang seminit itu.
Sebelum itu, Umai bersaing dalam lima kategori iaitu kontemporari, terbuka, R&B, world dan variety pada saringan pertama.
Kemudian, beliau berentap di peringkat separuh akhir menerusi kategori R&B yang seterusnya membawa pelajar ini ke peringkat akhir bagi kategori 13 hingga 15 tahun.