Tangkap layar video Abdurrahman dan Heba Nusaybah diumumkan juara dan naib juara European Kids Horseback Archery Championship 2024 di Gauchoux, Perancis pada Ogos lalu.
Tangkap layar video Abdurrahman dan Heba Nusaybah diumumkan juara dan naib juara European Kids Horseback Archery Championship 2024 di Gauchoux, Perancis pada Ogos lalu.

Usaha jual kuih raya, dua beradik tempa nama di pertandingan memanah berkuda Perancis

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
11 Sep 2024 09:39am

Meskipun hanya menghantar dua orang mewakili Malaysia ke pertandingan memanah berkuda, namun kedua-duanya berjaya menempa nama sekali gus mengharumkan negara apabila muncul sebagai juara dan naib juara bagi pertandingan itu.

Dua beradik dikenali sebagai Abdurrahman Ahmad Mu’az membuktikan kebolehan dirinya meraih juara kategori bawah 14 tahun pertandingan memanah berkuda European Kids Horseback Archery Championship 2024 yang dipertandingkan bulan lepas.

Tidak hanya itu, adiknya Heba Nusaybah juga muncul naib juara kategori bawah 12 tahun dalam pertandingan sama yang berlangsung di Gauchoux, Perancis.

Menerusi hantaran video dimuat naik ibu mereka, Fatrim Hidayu, pertandingan disertai dua anaknya itu adalah tajaan sendiri.

Lebih membanggakan, kedua-duanya gigih menjual kuih raya bagi mengumpul dana menyertai pertandingan sehingga berjaya mengangkat nama baik negara.

Fatrim Hidayu ketika sesi temu bual di salah sebuah radio tempatan memberitahu, sebagai ibu adalah penting untuk mendidik dan menerapkan nilai berusaha bagi mendapat sesuatu dalam diri anak-anaknya.

“Seperti yang diketahui sukan memanah apatah lagi memanah berkuda sememangnya memerlukan duit yang banyak jadi saya sering terapkan dalam diri mereka untuk berusaha dahulu sebelum mendapatkan sesuatu.

“Saya memang akan bantu sedikit tetapi selebihnya adalah usaha mereka berniaga dan salah satunya menjual kuih raya ketika raya tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pertandingan memanah berkuda European Kids Horseback Archery Championship 2024 menyaksikan lebih 110 pesaing dari 16 negara yang terdiri dari Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turkiye, Amerika Syarikat dan Ireland.

Berdasarkan video yang dimuat naik, kebanyakan negara lain menghantar ramai peserta berbanding Malaysia yang hanya diwakili dua beradik tersebut serta ditemani ibu mereka.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah dan memberi penghargaan di atas kejayaan dua beradik tersebut selain mengutarakan cadangan agar ada pihak tampil memberi sokongan untuk sukan memanah berkuda.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp