
Wan Afiqah raih 9A walaupun terpaksa meniarap untuk belajar
Meskipun terpaksa belajar dalam keadaan meniarap akibat masalah kaki dan tulang pinggul sejak lahir, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, Terengganu membuktikan usaha dan keazaman tinggi membolehkannya cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Wan Afiqah Maisarah Mohd Shafie, 18, anak kelima daripada enam beradik diuji dengan keadaan fizikal yang menyukarkan pergerakan dan tidak mampu duduk dalam tempoh lama, namun tetap berjaya memperoleh 9A dalam peperiksaan itu.
Ibunya, Wan Noor Aliza Tun Mohamad, 49, berkata, anaknya itu menunjukkan kesungguhan luar biasa sejak di Tingkatan Empat apabila berjaya meraih keputusan semua A dalam peperiksaan akhir tahun.
"Anak saya dilahirkan tanpa cawan pada sendi tulang pinggul, jadi dia tak boleh duduk lama. Selain itu, dia juga ada masalah pada bahagian kaki yang tidak sama.
"Ada ketika dia terpaksa belajar dalam keadaan meniarap sebab pinggang selalu sakit, tapi, dia tak pernah mengeluh.
"Biasanya dia akan tidur awal selepas Isyak dan bangun jam 3 pagi setiap hari untuk belajar dan bersiap ke sekolah," katanya pada Jumaat.
Menurut Wan Noor Aliza, selain kesungguhan anaknya, dia juga sering menjadikan solat sunat tahajud dan puasa sunat Isnin dan Khamis sebagai rutin dalam kehidupan.
"Saya tahu anak saya sering rasa rendah diri dengan kekurangan yang ada pada dirinya, jadi saya sendiri banyak berdoa supaya ALLAH SWT beri kekuatan pada dia.
"Saya jaga pemakanan, masak sendiri setiap hari kerana saya percaya air tangan ibu itu ada keberkatan. Abang dan kakaknya pun banyak bantu dia belajar,” katanya yang tinggal di Kampung Mak Chili di sini.
Tambahnya lagi, sokongan berterusan daripada Pengetua SMK Chukai, Wan Azmi Wan Ali turut menjadi pembakar semangat buat anaknya untuk terus tabah menempuh ujian.
"Pengetua selalu jenguk dia dalam kelas, beri semangat, nasihat supaya tak ambil peduli kata-kata orang dan terus fokus pada kelebihan diri.
"ALLAH Maha Adil. Kekurangan fizikal anak saya bukan halangan. Dia tetap berjaya, tetap kuat. Saya yakin ini adalah permulaan terbaik untuk dia melangkah lebih jauh," ujarnya.
Wan Noor Aliza turut menasihati ibu bapa yang membesarkan anak-anak istimewa agar tidak berputus asa dengan kekurangan yang ada pada diri anak-anak serta sentiasa bersedia menjadi tulang belakang buat mereka.
"Saya tahu bukan mudah. Kadang-kadang hanya air mata jadi tempat mereka luahkan rasa. Tapi siapa lagi mereka ada kalau bukan kita? Percayalah, rahmat ALLAH itu luas dan janjiNya pasti," ujarnya.