
Warden sepenuh masa
Tindakan bijak lantik bekas tentera kawal selia pelajar
Pelantikan veteran tentera sebagai warden asrama dianggap sebagai satu langkah bijak oleh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam usaha memperkukuh disiplin dan membentuk jati diri pelajar.
Dengan pengalaman luas dalam bidang ketenteraan, mereka bukan sahaja mampu menguruskan pelajar dengan lebih tegas dan teratur, malah berupaya menyalurkan nilai kepimpinan, semangat berpasukan serta ketahanan diri dalam kehidupan di asrama.

Guru kaunseling, Abdul Muiez Mohammad Ruslee mengakui pelantikan berkenaan mampu mengatasi disiplin pelajar.
“Kenapa saya kata tindakan MRSM melantik warden luar ini satu perkara yang bijak? Saya tidak pasti bagaimana skop tugas mereka.
“Tetapi, kalau sebut warden sepenuh masa, pastilah tugas mereka akan lebih banyak di asrama.
“Warden sepenuh masa ini ada masa untuk pergi ke asrama pada waktu pagi. Mereka boleh bantu kejutkan anak-anak solar dan mereka ada masa untuk ‘gegar’ pelajar untuk bersiap lebih cepat,” katanya kepada Sinar Bestari.
Secara tidak langsung tegas beliau, isu kelewatan murid asrama tidak akan timbul kerana pergerakan mereka lebih teratur di awal pagi. Abdul Muiez berpandangan bahawa guru tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk memantau pergerakan pelajar keluar dan masuk asrama pada waktu pagi atau malam.
“Mana tidaknya, setiap guru perlu berada di sekolah seawal jam 7.20 pagi dan mula mengajar di kelas pertama pada pukul 7.30 pagi.
“Kalau waktu malam pula, warden sepenuh masa boleh meronda kawasan asrama pada jam 2 pagi untuk spotcheck jika ada perhimpunan 'tanpa permit' dilakukan pelajar.
“Jika semua warden dalam kalangan guru, pasti tidak sempat. Sekiranya ada kecemasan perlu hantar murid ke hospital dan selesaikannya sekitar jam 12 tengah malam, kemudian mereka perlu merayau jam 3 pagi?
“Pagi esok bekerja dan mengajar seperti biasa,” katanya.
Katanya lagi, pelantikan veteran tentera sebagai warden asrama sepenuh masa ini banyak memberi kelebihan dari segi disiplin, keselamatan dan pemantauan pelajar.

Dalam masa sama, ia memberi kelegaan kepada guru yang perlu menggalas tanggungjawab berganda antara mengajar di bilik darjah serta menguruskan murid di asrama.
Apa yang penting, pelaksanaan ini perlu seimbang, tegas tetapi tidak keterlaluan supaya mereka terbentuk sebagai generasi yang berilmu, matang dan berakhlak mulia.
Ujian psikologi terlebih dahulu
Peranan warden asrama bukan sekadar menjaga disiplin pelajar, malah berfungsi sebagai pembimbing, pendengar dan individu yang paling hampir dengan kehidupan harian mereka.
Justeru, timbul cadangan supaya setiap warden untuk menjalani ujian psikometrik dan kursus berkaitan kaunseling atau psikologi terlebih dahulu sebelum memikul tanggungjawab besar ini.
Langkah ini penting bagi memastikan bekas tentera benar-benar bersedia dari segi mental dan emosi, sekali gus mampu mendidik pelajar dengan pendekatan yang tegas meskipun penuh empati.
Jurulatih bebas Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE), Hamiza Mustapha, 52, berkata, semakan mendalam perlu dilaksanakan terhadap bekas tentera yang terpilih.

“Ada kalanya, nak dapatkan disiplin yang mantap bukan dengan kekerasaan ala tentera atau polis. Pihak atasan perlu fikirkan bukan setakat hantar kursus sahaja.
“Belum tentu mereka boleh menjamin kawalan disiplin kerana mungkin mereka terlalu terikut-ikut amalan latihan ketenteraan yang menjadikan ada elemen buli atau ragging dalam kalangan pelajar,” katanya.
Langkah proaktif itu mampu memperkukuh disiplin dan menjamin keselamatan pelajar, tetapi keperluan menjalani ujian psikologi terlebih dahulu tidak boleh dipandang ringan.
Ia juga menjadi penanda aras sama ada seseorang itu benar-benar sesuai menggalas amanah besar mendidik remaja mahupun sebaliknya.