Sejak pengambilan dan pendaftaran pelajar bagi Tingkatan Satu dan Dua ke sekolah itu dihentikan dua tahun lepas, ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah lebih jauh.
Sejak pengambilan dan pendaftaran pelajar bagi Tingkatan Satu dan Dua ke sekolah itu dihentikan dua tahun lepas, ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah lebih jauh.

Waris mohon pendaftaran masuk pelajar ke SMK Khir Johari dikembalikan

08 May 2024 05:14pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) dimohon mengembalikan pendaftaran kemasukan pelajar Tingkatan Satu dan Dua ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Sungai Petani, Kedah yang sebelum ini diputuskan untuk dijadikan kolej tingkatan enam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Sungai Petani, Makbul Ilahi Hashim berkata, sejak pengambilan dan pendaftaran pelajar bagi Tingkatan Satu dan Dua ke sekolah itu dihentikan dua tahun lepas, ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah yang lebih jauh.

“Kami tiada bantahan SMK Khir Johari dinaik taraf menjadi kolej tingkatan enam tetapi kami mohon agar terus mengekalkan Tingkatan Satu hingga Lima di situ.

“Majoriti ibu bapa di sekitar SMK Khir Johari tergolong dalam kategori berpendapatan sederhana dan rendah...timbul beberapa masalah untuk menghantar anak ke sekolah lain termasuklah segi kepadatan pelajar dalam kelas,” katanya pada sidang pemberita di sini pada Rabu.

Menurutnya, ibu bapa dan waris yang menghantar anak ke sekolah lain berdepan masalah peningkatan kos pengangkutan serta kekangan masa terutama bagi mereka yang mempunyai anak ramai.

Sementara itu, waris pelajar, Mohd Zaidy Murat, 50, berkata, beliau yang tinggal berdekatan SMK Khir Johari terpaksa menghantar anaknya ke SMK Tunku Ismail yang memakan masa setengah jam perjalanan dari rumahnya.

“Tiada kemudahan bas atau van sekolah memandangkan bilangan murid dari tempat tinggal saya ke sekolah terbabit sedikit.

“Sudah dua tahun saya terpaksa berulang-alik meredah kesesakan trafik untuk menghantar dan mengambil anak, berbanding jika bersekolah di SMK Khir Johari, yang jaraknya lebih dekat dengan rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan menjadikan SMK Khir Johari sebagai kolej tingkatan enam telah dimuktamadkan pada tahun 2021.

Kata Mohammed Taufiq, perbincangan berhubung perkara itu sudahpun diadakan dan keputusan berkenaan dikatakan telah dipersetujui bersama beberapa pihak ketika itu. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok