Ibu bapa dan penjaga, sentiasalah berdoa dan berikan sokongan kepada anak-anak sepanjang mereka menduduki peperiksaan. Kredit foto: Facebook Sekolah Menengah Agama Darussaadah
Ibu bapa dan penjaga, sentiasalah berdoa dan berikan sokongan kepada anak-anak sepanjang mereka menduduki peperiksaan. Kredit foto: Facebook Sekolah Menengah Agama Darussaadah

5 amalan terbaik yang harus ibu ayah lakukan ketika anak menghadapi peperiksaan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Feb 2023 09:07am

Ibu bapa dan penjaga merupakan individu yang paling resah apabila anak-anak menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain resah gelisah, mereka juga melahirkan ketakutan dan kebimbangan jika anak tidak dapat menjawab soalan dengan baik.

Guru Cemerlang, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai, Melaka, Ustazah Aminah Mat Yusoff berkata, situasi dialami mak ayah dan penjaga adalah perkara normal ketika musim peperiksaan.

“Saya mohon agar mereka sentiasa berdoa dan beri sokongan pada anak-anak. Selebihnya kita serahkan kepada ALLAH SWT kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Merancang dan Maha Mengetahui atas segala sesuatu,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Dalam memastikan anak-anak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, Ustazah Aminah tampil menyenaraikan lima amalan terbaik hasil perkongsian daripada sahabat-sahabat yang mempunyai anak cemerlang.

“Amalan ini dilakukan oleh mereka yang memiliki anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan.

“Mungkin kita boleh lakukan juga untuk bantu anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, insya-ALLAH,” tutur Ustazah Aminah.

Untuk itu Sinar Bestari kongsikan lima amalan terbaik itu.

Artikel Berkaitan:

1) Doa yang paling baik, rugi jika tidak amalkan

اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا

"Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla, wa ‘anta taj-alul hazna idha shi’ta sahla"

Maksud: “Ya ALLAH, tiada kemudahan melainkan apa yang engkau jadikan mudah dan engkau dapat menjadikan tanah (yang sulit dan keras), (yakni kesusahan) itu mudah jika engkau mahukan” - Hadith diriwayatkan Ibnu Sinni & Ibnu Hibban.

Semasa bacakan doa ini, niatkan dalam hati supaya anak-anak dipermudahkan menjawab soalan, dipermudahkan memahami kehendak soalan dan dikurniakan kekuatan oleh ALLAH untuk memberikan jawapan yang terbaik.

2) Sedekah mengikut jumlah hari peperiksaan

Pada hari-hari peperiksaan, ibu ayah dermalah dalam tabung masjid. Jika jumlah hari peperiksaannya tujuh hari maka infaq yang dilakukan juga tujuh kali. Jumlah tidak semestinya banyak sebaliknya sedekahlah mengikut kemampuan. Ingat, jangan sampai rasa terbeban dan hilangnya keikhlasan.

Jangan lupa niatkan sedekah ini atas nama anak dengan tujuan merungkaikan segala kekusutan dan kepayahan yang dihadapi. Paling penting, mohon ALLAH kurniakan kesihatan yang terbaik buat mereka.

3) Baca al-Quran

Saya pernah kongsikan satu kisah di mana seorang ayah yang mengambil cuti sepanjang anaknya menghadapi peperiksaan. Bermula anaknya menjawab soalan sehingga selesai kertas pertama kedua dan seterusnya dia setia berada di kawasan sekolah.

Dalam kereta dia mengalunkan ayat suci al-Quran tanpa henti dan antara surah yang dibaca ialah surah Yasin. Akhirnya usaha itu memberi kejayaan yang sangat cemerlang kepada anaknya iaitu dari 1A semasa percubaan melonjak kepada straight A dalam peperiksaan sebenar. Kuasa ALLAH, tidak ada yang mustahil untuk dicapai.

Saya selalu pesan pada murid, jangan takut untuk meminta yang hebat-hebat dari ALLAH, kerana ALLAH itu Maha Berkuasa untuk tunaikan permintaan kita. Sungguh tidak ada yang mustahil bagi Ya Rabb.

4) Belanja makan dan tunaikan hajat anak yatim

Belanja makan fakir miskin, anak yatim, kawan dan jiran. Boleh juga belikan air minuman dan kismis kemudian sedekahkan kepada rakan sekelas anak-anak kita.

Kemudian, tunaikan hajat dan permintaan anak yatim. Gembirakan hati mereka dan layani dengan perkara yang anak-anak ini suka. Setiap kebaikan yang ibu ayah lakukan demi anak mesti kesannya sangat hebat.

5) Puasa dan solat hajat

Doa orang yang berpuasa sangat mustajab. Lebih-lebih lagi jika ia dari seorang ibu dan bapa.

Amalan ini sangat popular, selalu sangat dilakukan dan kesannya memang sangat hebat. Ada anak yang mengakui mudahnya mereka menjawab soalan malah urusan lain juga ALLAH permudahkan.

Sebenarnya segala usaha dan amalan di atas adalah bukti bahawa ibu bapa sedang meredai segala usaha yang dilakukan oleh seorang anak.

Daripada reda ibu bapa, anak-anak akan mendapat reda ALLAH dan ini adalah resipi sebenar kejayaan seorang anak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp