Kredit Foto: Unsplash
Kredit Foto: Unsplash

Fakta penting tentang gempa bumi yang perlu kita tahu!

ROSHLAWATY MD RAIEH
08 Feb 2023 02:24pm
A
A
A

Seluruh dunia ‘menangis’ apabila Turkiye dan barat laut Syria dilanda gempa bumi pada Isnin lalu.

Bencana alam itu telah mengakibatkan kerosakan teruk pada kediaman dan bangunan yang melanda Wilayah Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakır, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay dan Kilis.

Kemusnahan ini secara tidak langsung mengakibatkan ramai mangsa yang terkorban dan cedera parah.

Susulan kejadian bencana alam tersebut, Sinar Bestari ingin berkongsi sedikit info berkenaan gempa bumi.

Diharapkan, info yang dipetik melalui Laman Web Rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia ini dapat dijadikan panduan guru dan pelajar nanti.

Ini infonya!

Gempa bumi adalah pergerakan mengejut permukaaan bumi disebabkan pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau di atas persempadanan plat tektonik. Bagaimanapun, gempa bumi juga boleh disebabkan oleh aktiviti gunung berapi. Semakin besar saiz gempa bumi, semakin besar kemusnahan yang dibawa.

Langkah keselamatan gempa bumi

Artikel Berkaitan:

1) Semasa gempa bumi

Sekiranya anda di dalam bangunan

  • Kekal berada di dalam bangunan. Berlindung di bawah meja, bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.
  • Jauhkan diri daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat yang boleh menggelongsor serta jatuh.
  • Capai sesuatu seperti kot, selimut, buku, akhbar, kotak kadbod dan lain-lain untuk melindungi kepala dan muka daripada objek jatuh atau serpihan kaca.
  • Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api kerana ada kemungkinan terdapat kebocoran gas.
  • Padamkan semua api.

Sekiranya anda di dalam bangunan tinggi

  • Berlindung di bawah meja atau perabot yang teguh.
  • Jauhkan diri daripada tingkap.
  • Jangan tergesa-gesa keluar daripada bangunan.
  • Jangan gunakan lif kerana bekalan kuasa mungkin terputus.
  • Kekal di dalam bangunan di tingkat yang sama.

Sekiranya anda di luar bangunan

  • Pindah ke kawasan terbuka dengan berhati-hati.
  • Jauhi diri daripada talian kuasa, tiang eletrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu.
  • Berwaspada dengan serpihan binaan yang jatuh.
  • Jauhi daripada tiang eletrik yang jatuh.
  • Kekal berada di kawasan terbuka sehingga gegaran berhenti.

Sekiranya anda di laluan pejalan kaki dekat bangunan

  • Berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri daripada batu-bata, kaca, kepingan simen dan serpihan lain yang jatuh.
  • Sekiranya anda di dalam kedai yang sesak
  • Jangan tergesa-gesa untuk keluar memandangkan kesemua orang akan berpusu-pusu keluar dan boleh mengakibatkan kemalangan.
  • Jauhkan diri daripada rak-rak yang terdapat objek-objek yang mungkin jatuh.

Sekiranya anda di dalam kereta yang bergerak

  • Berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti kawasan selamat. Bagaimanapun, jangan berhenti di bawah jambatan, jalan raya bertingkat, rintangan kabel atau di mana bangunan cenderung untuk runtuh.
  • Kekal berada di dalam kereta sehingga gegaran berhenti.

2) Selepas gempa bumi

  • Hidupkan radio atau televisyen untuk mendapatkan informasi kecemasan terkini. Jika elektrik terputus, hidupkan radio menggunakan kuasa bateri.
  • Kekal bertenang dan berwaspada dengan situasi semasa. Bersedia untuk berhadapan dengan gegaran gempa bumi kecil dikenali sebagai ‘gempa susulan’. Walaupun gegaran susulan lebih kecil daripada gegaran utama, sesetengahnya mungkin cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan.
  • Periksa kecederaan. Bila gegaran berhenti banyak juga kerosakan yang mungkin berlaku dan mungkin ada yang cedera. Beri bantuan kecemasan bila perlu. Jangan cuba gerakkan orang yang cedera parah melainkan mereka di dalam bahaya berterusan daripada kecederaan lanjutan.
  • Periksa jika terdapat kebakaran dan padamkan api dengan segera jika anda mampu.
  • Pakai kasut ketika melakukan pemeriksaan kerosakan utiliti dan perkakas. Jika terbau gas, buka tingkap dan tutup injap utama. Jangan nyalakan mancis atau gunakan api. Seeloknya guna lampu suluh ketika memeriksa kawasan sekitar.
  • Jangan sentuh wayar eletrik yang terendam atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.
  • Periksa almari dan kawasan rak penstoran, buka pintu-pintu dengan cermat dan waspada terhadap objek-objek yang jatuh.
  • Periksa untuk lihat sama ada saluran kumbahan sempurna sebelum mengepam tandas.
  • Cuci dengan segera tumpahan ubat-ubatan dan lain-lain bahan yang berpotensi mendatangkan bahaya.
  • Jangan makan atau minum sembarangan daripada bekas-bekas yang berdekatan dengan kaca yang telah pecah.
  • Jangan guna telefon kecuali untuk mendapatkan bantuan iaitu untuk melaporkan kecemasan (perubatan, kebakaran atau jenayah).
  • Keluar dari bangunan yang telah rosak teruk. Gegaran susulan boleh merobohkannya.
  • Bekerjasama dengan pihak keselamatan awam dan jangan masuk ke kawasan yang mengalami kerosakan kecuali jika bantuan anda diperlukan.
  • Kosongkan lorong-lorong untuk laluan kenderaan kecemasan.
  • Cuba menenangkan dan membantu kanak-kanak dan orang lain yang mungkin mengalami trauma psikologi akibat gempa bumi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok