Ketahui jenis lompat tali, jadikan sebagai senaman menyeronokkan

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
27 Feb 2023 09:45am

Sebelum ini, permainan lompat tali atau skipping hanya dikenali sebagai aktiviti riadah memandangkan ia satu senaman mudah dan ringkas serta boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Namun siapa sangka senaman yang dianggap mudah itu kini menjadi fenomena tular dalam kalangan masyarakat yang tertarik melihat gaya dan kreativiti persembahan lompat tali di media sosial seperti TikTok.

Muhammad Firdaus
Muhammad Firdaus

Ini dapat dilihat menerusi akaun TikTok milik Muhammad Firdaus Abdul Rasid, 28, seorang pempengaruh lompat tali yang telah menarik perhatian lebih 100,000 pengikut.

Mana tidaknya, setiap video aksi lompat tali yang dimuat naik pasti akan mencapai lebih 500,000 tontonan.

Muhammad Firdaus berkata, dia secara aktif memperkenalkan sukan tersebut ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat segala aktiviti fizikal termasuklah riadah.

Disebabkan situasi tersebut, dia berasa terpanggil untuk memperkenalkan kaedah baharu dalam melakukan riadah dengan hanya bermodalkan tali serta kasut selain ia juga tidak memerlukan kawasan yang luas.

Kerjaya sampingan

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada lima beradik itu memaklumkan, dia telah diperkenalkan dengan sukan lompat tali seawal usia empat tahun oleh bapanya yang merupakan atlet dan jurulatih dalam sukan itu.

Kini walaupun sudah bekerja sebagai Pegawai Kerani di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di ibu negara, dia masih aktif menjadikan lompat tali sebagai kerjaya sampingan bagi mengisi waktu lapang.

“Ayah amat teliti dan tegas dalam melatih saya dan adik-adik menjadi atlet lompat tali dan kami dilatih mengikut kemahiran masing-masing.

“Dengan latihan yang diterima, saya dan dua adik yang lain sering menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan lompat tali,” ujarnya kepada Sinar Bestari ketika ditemui, baru-baru ini.

Antara pertandingan yang pernah disertainya adalah Mimpi Ke Bintang anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2013 dan berjaya mendapat tempat keempat ketika sertai Asia Got Talent pada 2018 yang bertahan hingga suku akhir.

Bukan sekadar melompat

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya, anak kelahiran Kangar, Perlis, ini memberitahu, lompat tali bukan sekadar melompat.

Ini kerana sukan itu boleh mendorong kepada rasa bosan sekiranya mereka yang terlibat tidak mempunyai pengetahuan dan ilmu untuk menjadikan ia sebagai satu senaman menyeronokkan.

Selain itu, dia juga memaklumkan terdapat banyak manfaat yang boleh diperoleh sekiranya terlibat dalam sukan berkenaan antaranya membentuk disiplin dan kemahiran terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Dengan kemahiran yang dipelajari juga boleh dijadikan dorongan untuk menonjolkan bakat bukan hanya dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.

Kali ini, Firdaus ingin kongsikan jenis atau kaedah dalam lompat tali kepada pembaca Sinar Bestari yang berminat untuk cuba aktiviti tersebut.

1) Basic jump

Basic jump dalam lompat tali tidak memerlukan gaya yang susah dan boleh dilakukan secara santai sehingga seseorang itu berpeluh atau penat. Mereka juga boleh melakukannya dengan bebas tanpa perlu menetapkan had masa.

2) Medium/ intermediate jump

Bagi mereka yang sudah mahir dengan lompatan biasa boleh menggunakan kaedah medium jump dengan menambah gaya ketika melakukan lompat tali. Antara gaya yang boleh dibuat adalah double under iaitu dua kali pusingan di atas angin.

3) Advance jump

Pergerakan lompat tali dengan menggunakan kaedah advance jump kelihatan sukar namun ia amat menyeronokkan. Kaedah ini menonjolkan seseorang yang boleh membuat pelbagai gaya sambil melompat tali seperti squat, double under-cross open iaitu dua kali pusingan atas angin sambil menggerakkan tangan secara bersilang dan crooger–open di mana melompat dengan mengangkat sebelah kaki sambil tangan diayunkan di bawah kaki yang diangkat.

4) Akrobatik

Selain memerlukan kekuatan tangan kaki dalam melakukan lompatan, ia juga membabitkan banyak pergerakan yang boleh digabungkan dengan aksi akrobatik seperti back flip, front flip dan side flip.

5) Dance jump

Dance jump lebih menyeronokkan apabila seseorang itu boleh melakukan lompatan dengan mengikut rentak daripada lagu-lagu yang dipilih. Ia lebih kelihatan menarik apabila mereka boleh membuat aksi lompat tali yang pelbagai diiringi dengan lagu. Jenis atau kaedah dalam lompat tali

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp