11 cara atasi murid mengantuk dalam kelas
Mengantuk dalam kelas adalah perkara yang sering berlaku dalam kalangan murid di sekolah.
Lazimnya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan mereka mengantuk antaranya tidak cukup tidur, tidur lewat dan masalah penyakit.
Selain itu, suasana kelas, aktiviti pembelajaran dan peranan murid dalam kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) turut menjadi penyebab mengapa mereka sering mengantuk di bilik darjah.
Sehubungan itu, Sinar Bestari tertarik perkongsian Pegawai School Improvement Specialist Coach (Sisc+), Teknik dan Vokasional di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Johor, Herryan Syah Tupan Surian berkenaan topik murid mengantuk.
Info yang dipetik menerusi mudahmengajar.blogspot.com memaparkan koleksi tip menangani situasi murid yang mengantuk dalam kelas.
Diharapkan guru-guru dapat mempraktikkan dalam kelas masing-masing bagi mengelakkan anak-anak didik mengantuk!
1) Energizer
Aktiviti ringkas ini memerlukan pergerakan fizikal dalam cara yang menyeronokkan dan pada masa sama merangsang minda murid dan pelajar menjadi cergas.
2) Ambient Light
Suasana kelas yang kelam kerana ditutup dengan langsir tebal atau berwarna gelap boleh menjadi faktor murid mengantuk. Pastikan langsir terbuka atau berwarna cerah agar cahaya matahari semula jadi masuk.
3) Aktiviti Didik Hibur
Aktiviti Didik Hibur dapat menerapkan input dan maklumat dengan cara yang santai dan menggembirakan. Sambil bermain atau beraktiviti, murid tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang belajar.
4) 10 Minute Rule
Guru tidak bercakap lebih daripada 10 minit. Selepas 10 minit guru mesti berhenti dan menjalankan aktiviti dengan murid sahaja yang berkomunikasi atau melakukan aktiviti.
5) Minum Air
Dengan memberikan ruang dan masa untuk murid minum air pada setiap 30 minit dapat menyegarkan murid. Kebanyakan mereka tidak membawa bekal minuman dan mudah terdehidrasi.
6) Pembacaan Berirama
Bagi murid yang mengantuk, mereka akan mudah segar apabila diminta membacakan beberapa potong ayat atau maklumat secara berirama.
7) Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT)
Penggunaan alat teknikal dan media ICT adalah lebih menarik bagi murid berbanding teks kosong. Oleh itu, murid lebih mudah memberikan perhatian.
8) Hands On
Tidak kira sama ada aktiviti biasa atau ICT, berikan ruang untuk murid menulis, melukis dan menghasilkan sesuatu menggunakan alat kerana murid banyak menggunakan fizikal dan mudah faham apa yang diajarkan.
9) Penghasilan Karya
Apabila murid terlalu banyak mendengar dan melihat sahaja tanpa menghasilkan sesuatu, mereka mudah mengantuk. Wujudkan ruang untuk murid beri lebih usaha untuk menghasilkan atau mengubahsuai persembahan input pembelajaran.
10) Pembelajaran Berbalik (Flipped Learning)
Murid tiada maklumat sedia ada menjadikan mereka perlu mengambil masa yang lama untuk memahami tajuk yang diajar.
Oleh itu, berikan tugasan awal sebelum masuk kelas agar mereka ada maklumat awal dan dalam kelas hanya untuk perbincangan dan pengesahan pemahaman sahaja.
11) In Charge
Terlalu kerap guru yang menetapkan bagaimana pembelajaran seharusnya dijalankan.
Berikan pilihan kepada murid cara mereka mahu belajar tajuk pada hari tersebut sama ada mahukan kuiz, pembentangan kertas mahjong, menonton dan mengulas video serta sebagainya.