Anda dinasihatkan untuk tidak berbaring di atas tanah ketika berlakunya kilat dan petir.
Anda dinasihatkan untuk tidak berbaring di atas tanah ketika berlakunya kilat dan petir.

11 panduan keselamatan semasa kilat dan petir

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 May 2023 02:09pm

Selain berhati-hati dengan situasi jerebu dan cuaca panas ketika ini, orang ramai terutamanya guru dan pelajar perlu cakna dengan kejadian kilat dan petir di kawasan masing-masing.

Ini kerana satu kejadian membabitkan kilat petir baru sahaja berlaku di Padang Pekan Papar, Sabah, melibatkan remaja orang kurang upaya (OKU) Muhmmad Zulqilfle Redzwan, 13, maut, manakala rakannya Assiy Qusyairy, 13, cedera parah akibat disambar petir ketika bermain bola sepak di kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Datuk Seri Safar Untong dalam kenyataan media pada Rabu menasihatkan masyarakat agar berhati-hati sekiranya berlaku kilat ataupun petir.

"Mohon jauhi kawasan lapang terbuka seperti padang bola dan kawasan-kawasan lapang lain sekiranya berlaku kilat petir bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebagai perkongsian mengenai maksud kilat dan petir, Sinar Bestari senaraikan serba ringkas definisi kejadian ini untuk pengetahuan kita bersama.

Semoga info yang diberikan dapat memberi manfaat kepada semua.

Kilat petir merupakan keadaan cuaca yang paling berbahaya dan sering dihadapi dalam kalangan individu setiap tahun.

Ia boleh membunuh atau melumpuhkan dengan cara yang tidak disangkakan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, elakkan berada di bilik mandi, tab mandi atau mencuci pinggan mangkuk ketika kilat dan petir berlaku.

“Memandangkan kilat boleh bergerak melalui paip, sebaik-baiknya elakkan penggunaan air semasa ribut petir. Jangan mandi, basuh pinggan atau membasuh tangan anda.

“Risiko kilat melalui paip mungkin berkurang dengan paip plastik berbanding paip logam. Bagaimanapun, sebaiknya elakkan sebarang sentuhan dengan paip dan air mengalir semasa ribut petir untuk melindungi diri daripada bahaya,” kata agensi dari Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat itu juga turut menasihatkan orang ramai agar menjauhi telefon berkabel manakala telefon bimbit dan telefon tanpa wayar selamat jika ia tidak disambungkan ke soket melalui pengecas.

“Petir berlaku apabila kilat menyambar, memanaskan udara di sekeliling bolt setinggi 50,000 darjah Fahrenheit, lima kali lebih panas daripada permukaan matahari.

“Sejurus selepas kilat, udara menyejuk dan mengecut dengan cepat. Pengembangan dan pengecutan pantas ini mencipta gelombang bunyi yang kita dengar sebagai guruh,” jelas agensi tersebut.

Untuk mengelakkan diri daripada terdedah dengan kilat dan petir, adalah penting untuk mengetahui panduan keselamatan setiap kali melihat petir dari jauh.

Justeru, anda dinasihatkan agar mematuhi 11 panduan keselamatan semasa kilat petir berlaku seperti yang dikongsi portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.

Jom ikuti info-info penting tersebut.

1) Semak ramalan cuaca

Semak ramalan cuaca sebelum keluar dan ketahui sebarang kejadian ribut atau perkembangan kilat petir di kawasan setempat. Langit yang gelap, kilat atau angin kencang menandakan ribut bakal melanda.

2) ‘Kilat ke petir (flash-to-bang)’

Jika kilat petir melanda, hitung saat antara kilat dan petir untuk menganggar jarak antara anda dengan petir. Bunyi bergerak sejauh satu batu dalam tempoh lima saat. Oleh itu, gunakan formula ‘kilat ke petir’, untuk menganggar jarak petir. Cari tempat berlindung sekiranya masa antara kilat dan guruh adalah 30 saat atau kurang enam batu. Sekiranya berada dalam bangunan, hentikan melakukan sebarang aktiviti sehingga selepas 30 minit guruh yang terakhir kedengaran. Peraturan ini dikenali sebagai Peraturan Petir 30/30. Ingat! Walaupun jarang berlaku, petir dilaporkan boleh menyambar sejauh melebihi 10 batu atau di kawasan hujan. Langit biru tidak semestinya tiada petir. Kilat boleh menyambar dari kawasan hujan yang jauh.

3) Cari tempat berlindung

Bangunan yang kukuh adalah tempat yang paling selamat untuk berlindung semasa kilat petir. Elakkan berlindung di bawah bangsal dan pondok di kawasan berkelah. Kereta boleh juga dijadikan tempat berlindung, namun pastikan tingkap kereta ditutup.

4) Elakkan berlindung di bawah pokok yang terpencil atau objek yang tinggi sebaliknya berlindunglah di bawah pokok yang rendah dan rendang.

5) Keluar dari kawasan yang berair kerana air boleh mengalirkan arus elektrik.

6) Jangan berkumpul di dalam satu kumpulan. Berpecahlah!

7) Jangan sekali-kali berbaring di atas tanah semasa ribut petir.

8) Jangan memegang sebarang logam seperti basikal, kayu golf, pancing atau logam yang lain.

9) Sekiranya berbasikal dan terdapat kilat petir dalam jarak lima kilometer, berhentilah mengayuh, tinggalkan basikal serta berlindunglah di dalam longkang atau di tempat yang rendah dan duduk.

10) Langkah terakhir, ambil kedudukan selamat. Jika terperangkap dalam kilat petir (iaitu rambut menegak, kulit berasa gatal atau terdengar bunyi berkertak), segera mencangkung, jengkitkan kedua-dua tumit kaki, tundukkan kepala dan tutup kedua-dua belah telinga dengan tapak tangan. Sesetengah pakar mengesyorkan tangan diletakkan di atas dahi dan siku di atas lutut untuk mengalirkan renjatan kilat ke tanah menerusi kaki dan bukannya jantung.

11) Jika terdapat petir, segera cari tempat berlindung. Jangan tunggu sehingga hujan turun.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp