5 tip mudah yang boleh ibu bapa lakukan ketika mengajar subjek Matematik di rumah!
Subjek Matematik antara mata pelajaran yang tidak disukai pelajar kerana ia berkaitan dengan kira-kira.
Selain berkisar mengenai nombor, skop pembelajaran subjek ini terlalu luas dan sukar diterjemahkan.
Guru Matematik, Cikgu Mohamad Hakim Mohammad Nor mengakui kenyataan tersebut namun beliau menjelaskan, subjek Matematik tetap sesuatu yang menyeronokkan dan mudah jika ada minat serta kesungguhan.
Tambah beliau, ibu bapa merupakan individu terdekat untuk menarik minat anak-anak menyukai Matematik.
Bagaimanapun katanya, mungkin ramai dalam kalangan mereka yang tidak mengetahui cara berkesan mengajar Matematik kepada anak-anak ketika di rumah.
“Sebagai membantu mereka, saya kongsikan lima tip mudah untuk ibu bapa dan penjaga amalkan di rumah nanti.
“Diharapkan perkongsian ini bermanfaat kepada kalian,” ujarnya.
1) Bermain dengan bentuk dan corak
Salah satu tajuk bagi subjek Matematik adalah Bentuk dan Ruang. Subjek ini diperkenalkan kepada murid bermula dari Tahun Satu.
Bermainlah dengan bentuk dan corak yang ada dalam kehidupan seharian anak-anak anda. Contohnya, ibu bapa boleh memperkenalkan bentuk-bentuk asas seperti segi tiga, segi empat dan bulatan.
Boleh diperkenalkan juga dengan bentuk kon dan bentuk kubus dadu. Bentuk-bentuk ini adalah corak yang yang biasa anak kita lihat dan dekat dengan mereka.
2) Libatkan anak semasa menimbang berat dan mengukur sesuatu
Salah satu kemahiran asas dalam matematik adalah kemahiran membaca alat penimbang dan alat pengukur.
Jika anak kalian mahir dalam membaca atau mengenal pasti data bagi sesuatu alat pengukur, ia sangat membantu.
Ini adalah kemahiran asas yang perlu dikuasai bagi tajuk Panjang, Jisim dan Isipadu Cecair.
Ambil sahaja pembaris, minta mereka ukur panjang meja atau ambil sahaja penimbang berat, minta mereka timbang berat kalian.
Cubalah.
3) Soal jawab mengenai kemahiran matematik yang sedang dipelajari di sekolah
Ini dikatakan sebagai pengukuhan kepada apa yang anak belajar ketika di sekolah.
Ibu bapa juga boleh mengenal pasti jika mereka ada masalah tentang sesuatu topik dan tajuk.
Selain itu, menerusi soal jawab tersebut, ia dapat mengembangkan idea anak masing-masing.
Disarankan perbanyakkan membuat kaitan sesuatu topik itu dengan aktiviti harian mereka.
4) Permainan
Permainan papan seperti catur dan dam ular sedikit sebanyak dapat membantu anak dalam matematik. Inilah yang dikatakan keseronokkan dalam belajar. Sambil bermain, mereka juga belajar.
Permainan dam ular contohnya. Mereka akan belajar untuk mengira. Satu, mereka perlu mengira nombor pada dadu dan kedua, mereka perlu mengira berapa langkah untuk maju ke hadapan.
Aktiviti seperti ini akan mengukuhkan kemahiran mengira dan menambah kemahiran anak kelak.
5) Perbandingan
Cikgu Mohamad Hakim dengan Aaron Aziz, siapa yang lebih hensem? Sudah tentulah Cikgu Mohamad Hakim
Mudah bukan?
Inilah yang dikatakan sebagai kemahiran membanding. Kemahiran membanding ini sangat penting ya!
Yang mana lebih panjang? Yang mana lebih pendek? Yang mana lebih berat? Yang mana lebih ringan? Yang mana lebih laju? Yang mana lebih perlahan? Yang mana lebih mahal? Yang mana lebih murah?
Mudah kalau kita tahu caranya.
Akhir sekali, siapa kata susah untuk ajar anak-anak tentang matematik di rumah?
“Nasihat saya, mulakanlah dengan sesuatu yang mudah terlebih dahulu.
“Memang bagi kita ia nampak remeh, tapi bukan untuk anak-anak. Percayalah, aktviti-aktiviti seperti ini mampu memberi satu impak yang besar kepada mereka. Semoga berjaya,” kata Cikgu Mohamad Hakim lagi.