Kredit foto: Sumber internet
Kredit foto: Sumber internet

8 persiapan mental yang perlu guru lakukan sebelum ke sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
31 Mar 2023 05:04pm

Sebagai seorang guru, mereka harus sentiasa bersedia mengharungi pelbagai cabaran sepanjang berada di sekolah.

Selain cabaran fizikal, warga pendidik harus kuat mental dan emosi dalam meneruskan kerjaya tersebut.

Guru Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran berkata, banyak persediaan yang perlu dilakukan cikgu dalam dunia pendidikan.

“Di sini, saya ingin kongsikan lapan tip berkaitan persiapan mental untuk cikgu-cikgu amalkan sebelum mereka ke sekolah.

“Dengan perkongsian ini, diharapkan para guru dapat bekerja dan mendidik pelajar dengan tenang setiap hari,” ujar Cikgu Razali.

Jom ikuti tip daripada guru hebat ini.

1) Siapkan segala persiapan kerja untuk esok seperti peralatan, bahan-bahan, pakaian dan sebagainya sebelum tidur. Persiapan awal akan membina semangat dan mengelakkan kekalutan di awal pagi.

2) Elakkan tidur terlalu lewat kerana ia akan menyebabkan badan jadi lesu di awal pagi. Badan yang lesu akan mempengaruhi emosi kita bermula dari rumah dan berlarutan hingga ke sekolah. Apa yang kita bimbang, emosi yang tidak baik semasa di rumah dan di sekolah, akhirnya akan menyakiti orang di sekeliling kita.

Artikel Berkaitan:

3) Bangun awal pagi dan jangan lupa ambil sedikit sarapan. Kadang-kadang berlaku perkara di luar jangkaan sehingga menyebabkan kita tidak sempat makan sedangkan sarapan pagi itu sangat digalakkan dan penting untuk diambil setiap pagi. Insya-ALLAH, bekerja disaat perut berisi membolehkan cikgu mengajar dengan ceria dan bertenaga.

4) Jika berkesempatan, lakukan sedikit terapi rohani seperti solat sunat dan membaca al-Quran. Permulaan yang mendamaikan akan melancarkan perjalanan hidup sepanjang hari.

5) Sebelum ke sekolah, bersalaman dengan ahli keluarga. Ucapkan perkataan yang baik-baik seperti ‘belajar baik-baik ya Hannan’. Memulakan hari dengan perkara yang baik, pastinya akan membina emosi yang tenang dan ceria.

6) Sebelum bergerak, bacalah doa agar dilindungi ALLAH dalam perjalanan dan dipermudahkan segala urusan di sekolah.

7) Sepanjang perjalanan, jika berkesempatan, berzikirlah. Sebutlah apa-apa kalimah yang mudah untuk disebut sebagai penguat dan penenang hati. Bukankah ALLAH ada mengingatkan kita hanya dengan mengingatNya, hati menjadi tenang.

8) Sampai sahaja di sekolah, senyum pada orang yang kita temui. Sebarkan salam dan jaga hati daripada sangkaan buruk kepada orang lain. Permulaan yang tidak baik di awal pagi akan mempengaruhi emosi selepas itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp