

Bakat muda bersinar di TV PSS
Pendedahan awal dunia media tingkat keyakinan dan cetus minat pelajar terhadap kerjaya kreatif
Industri media kini berkembang seiring arus teknologi dan kreativiti yang semakin maju.
Menyedari perkara itu, Latihan Industri TV PSS di bawah Akademi Pendidikan Sinar Bestari diadakan sebagai platform bagi pelajar meneroka minat dan bakat dalam dunia penyiaran.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Aisha Abdul Halim, 15, berkongsi bahawa program ini tidak hanya sekadar mendedahkan teknik teknikal seperti rakaman dan penyuntingan video, namun menyemai rasa cinta terhadap industri media.
“Program ini secara tidak langsung membantu peserta dengan menaikkan semangat dan membuatkan kami mendalami selok-belok dunia penyiaran.
“Dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman, pelajar juga diajak untuk meneroka pelbagai aspek penerbitan sekali gus menanam minat mendalam,” katanya kepada Sinar Bestari.

Lebih menggembirakan, Aisha bersama adiknya, Afsa Abdul Halim, 13, dari Chemor, Perak sanggup hadir ke Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, Selangor bagi mendapatkan pendedahan dalam dunia media.
Luah Afsa, ilmu yang diperoleh sepanjang dua hari itu memberi kesan dalam penyuntingan video dan cara berkomunikasi dengan pihak lain sebagai wartawan.

“Secara tidak langsung, tenaga pengajar memberi tip untuk kami bercakap di hadapan kamera, menulis artikel dengan penulisan yang baik dan banyak lagi.
“Jika tanya tentang perasaan, sudah pasti amat menyeronokkan kerana dapat mengaplikasi teknik ini di sekolah,” katanya.