Armin telah melakukan tujuh kali selaman di sekitar Pulau Tioman dengan kedalaman maksimum 12 meter.
Armin telah melakukan tujuh kali selaman di sekitar Pulau Tioman dengan kedalaman maksimum 12 meter.

Baru usia 10 tahun, sudah miliki lesen skuba

05 Sep 2024 12:30pm

Usianya baru saja menginjak 10 tahun, namun Armin Jamaludin mempunyai keberanian setara orang dewasa apabila mencebur diri dalam aktiviti ekstrem selam skuba hingga berjaya memperoleh lesen Junior Open Water Diver, baru-baru ini.

Hingga kini, murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman, Pahang itu telah melakukan tujuh kali selaman di sekitar pulau peranginan tersebut, antaranya di Pulau Renggis, Pulau Soyak dan Salang House Reef dengan kedalaman maksimum 12 meter.

Jurulatih selam skuba, Fatin Nur Affira Yusof berkata, kanak-kanak itu telah mengikuti latihan asas menyelam bersamanya sebagai syarat mendapatkan lesen selam skuba yang dikeluarkan oleh Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI) pada awal Ogos lepas.

"Armin memang dibesarkan di sini (Pulau Tioman), jadi dari segi water confident dia memang tiada masalah. Dari segi teori dan kemahiran pula, dia belajar perkara yang sama dengan golongan dewasa.

"Cuma teknik pembelajaran itu sedikit berbeza. Saya perlu bagi contoh atau analogi dalam setiap penerangan agar lebih mudah untuk dia memahami, sesuai dengan tahap kematangan usianya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Fatin berkata, lesen selam skuba boleh diambil oleh kanak-kanak seawal usia 10 tahun dengan mengikuti kelas teori dan praktikal yang dijalankan selama empat hari tiga malam, sementara latihan menyelam pula dilakukan pada kedalaman tiga hingga lima meter.

"Aktiviti selam skuba ini bagus untuk kanak-kanak bagi membina keyakinan dan juga meningkatkan perasaan cinta kepada hidupan marin.

"Namun, di Malaysia, pendedahan aktiviti itu kepada awal remaja masih rendah kerana ramai yang tidak tahu mengenainya," kata wanita ini yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam dunia selam skuba.

Artikel Berkaitan:

Armin dan bapanya, Jamaludin.
Armin dan bapanya, Jamaludin.

Sementara itu, bapa Armin, Jamaludin Musa, 40, berkata rancangan agar anak sulungnya memahiri aktiviti selam skuba telah lama disusun olehnya dan isteri, Rozalia Bodi, 42.

Katanya, ini kerana beliau dan isteri yang berasal dari Budapest, Hungary, juga merupakan penyelam.

"Sebelum mengambil lesen Junior Open Water Diver, Armin sejak umur lapan tahun telah didedahkan kepada aktiviti menyelam, antaranya Bubblemaker Program dan Discovering Scuba Diving bagi memberikan pengalaman awal dan keseronokan berada di dalam air pada kedalaman kurang dari dua meter.

"Jadi, mungkin selepas ini, apabila umur dia bertambah, dia boleh pergi ke Junior Advanced Open Water, tapi saya tidaklah memaksa untuk fokus perkara ini kerana dia turut aktif dalam sukan lain seperti bola sepak, berenang dan olahraga di sekolah," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp