Berimpian menjadi pemidato hebat? Dr Syed Ahmad bongkar 10 rahsia yang ramai tidak tahu
Pidato atau pengucapan awam merupakan salah satu bidang yang amat mencabar.
Kerana itu, ramai dalam kalangan pelajar tidak meminatinya sekali gus menjadikan dunia berpidato semakin dilupakan.
Menurut Ikon Pemidato Malaysia, Datuk Dr Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof, kemahiran dan bakat berpidato dalam kalangan pelajar perlu digilap dari semasa ke semasa.
Ia kerana apabila bakat pelajar dapat dikesan, mereka akan mendapat banyak manfaat yang boleh membawa masing-masing lebih jauh ke hadapan.
Mengulas lanjut, Syed Ahmad berkata, setiap pelajar perlu berusaha mendapatkan ilmu pidato walau dalam apa jua cara sekali pun.
“Nasihat saya, teruskanlah menggali segala formula dan tip agar ia dapat diselami serta dipahatkan di dalam jiwa untuk muncul sebagai pemidato hebat suatu hari nanti,” ujar Syed Ahmad seperti dipetik menerusi sebuah buku hasil karyanya sendiri.
Untuk menjadi pemidato yang hebat, Syed Ahmad memberitahu, terdapat beberapa petua yang perlu pelajar lakukan sekiranya terpilih mengikuti pertandingan pidato.
Antara petua tersebut adalah;
1) Pengumpulan maklumat sebelum berpidato
Pelajar perlu mencari dan seterusnya mengumpulkan segala maklumat sebelum berpidato.
Maklumat itu mungkin dari segi gaya yang akan digunakan, bahasa yang akan disampaikan, saiz audies, faktor di dalam penyampaian, gambaran sebenar tentang khalayak, tujuan pidato dan isi yang bernas ketika berpidato.
2) Memahami kehendak audiens
Sebuah pidato yang hambar akan membosankan audiens. Oleh itu, fahamilah minat dan kehendak audiens terlebih dahulu sebelum anda dengan penuh kebijaksanaan dapat memahami jiwa dan perasaan audiens agar keperluan dan kehendak tersebut dipenuhi.
3) Menghayati topik yang hendak disampaikan
Penghayatan yang baik di dalam jiwa akan menghasilkan sebuah pidato yang baik.
4) Menghafal kunci kata penting yang hendak disampaikan
Penghafalan adalah asas keyakinan diri di dalam berpidato. Pelajar tidak perlu menghafal kesemua baris ucapan yang berjela-jela panjangnya untuk berpidato tetapi cukup sekadar kunci kata atau fakta penting di dalam pidato.
5) Menganalisa setiap penyampaian pidato anda itu
Analisa kelebihan dan kekurangan yang pelajar miliki ketika berpidato di masa lalu.
Perbaiki kesilapan dan kekurangan tersebut. Mulakanlah berpidato dengan lancar, berkesan dan menarik.
Penganalisaan yang baik sebelum berpidato akan menghasilkan sebuah penyampaian yang baik.
6) Penyebutan perkataan yang jelas dan fasih
Sebutan perkataan yang jelas akan merangsang pemikiran audiens untuk mendengar kata-kata yang disampaikan itu.
7) Struktur kerangka pidato yang rapi dan teratur
Sebuah pidato yang baik perlulah ada pembuka, badan atau isi, pra-penutup dan penutup.
Sebuah kerangka pidato yang baik juga haruslah ada pembahagian masa tertentu untuk pembuka, isi, pra-penutup dan penutup ucapan.
Pelajar akan dikagumi audiens dek persediaan pidato yang hebat berlandaskan struktur kerangka pidato yang rapi dan teratur.
8) Sentiasa befikiran positif sebelum, ketika dan selepas berpidato
Hanya dengan fikiran positif sahajalah pelajar akan dapat mempersembahkan pidato yang berkesan dan menarik.
9) Membentuk personaliti dan berperwatakan menarik
Cara pelajar berinteraksi disertai cara anda mengawal mental dan spiritual akan membentuk personaliti dan perwatakan yang menarik.
Hati yang luhur, semangat kental dan pakaian bersih menggambarkan pelajar seorang pemidato yang hebat.
Perlakuan di pentas mencerminkan perwatakan pelajar ketika berpidato. Wajah yang ceria dan kelihatan bersahaja ketika berpidato memperlengkapkan pembentukan personaliti menarik.
10) Keupayaan mengawal emosi ketika berpidato
Kawalan emosi yang baik mampu membuatkan penonton gembira, sedih, bersemangat, ceria dan suasana majlis tidak kaku.
Kehangatan atau kelembapan suasana majlis audiens itu bergantung kepada sejauh mana kemahiran dalam mengawal dan memandu emosi anda ketika berpidato.