Bazuki merakam detik bersejarah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum meninggalkan pejabat di Putrajaya pada 31 Oktober 2003. Kredit foto REUTERS/Bazuki Muhammad
Bazuki merakam detik bersejarah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum meninggalkan pejabat di Putrajaya pada 31 Oktober 2003. Kredit foto REUTERS/Bazuki Muhammad

Bidikan seni visual Bazuki

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
20 Mar 2023 05:22pm

“Pelukis melukis di atas kanvas, sementara jurugambar 'melukis' menggunakan pencari pandangan (view finder).”

Ringkas tutur kata lelaki bernama Bazuki Muhammad yang memiliki pengalaman hampir 40 tahun dalam bidang fotografi.

Graduan Sarjana Seni Bina, Universiti Louisiana, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, dia gemar melakukan tugasan yang tidak berulang (repetitive).

“Sebagai contoh, tugasan sebagai jurugambar berita memberi peluang kepada saya mengenali pelbagai 'watak' segenap lapisan masyarakat termasuk perdana menteri, orang jalanan, penjual burger dan bermacam-macam lagi.

“Apa yang dilakukan sentiasa berbeza dan penuh warna-warni kehidupan manusia,” ujarnya sambil mengukir senyuman.

Pastinya bergelar jurugambar berita sesuatu yang sangat istimewa di hati anak kelahiran Kelantan itu.

Pengalaman

Katanya yang pernah berkhidmat selama 17 tahun bersama agensi berita antarabangsa, Reuters, menggalas tugas selama tiga bulan di negara bergolak Afghanistan merupakan antara momen tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas sebagai jurugambar berita.

Artikel Berkaitan:

Lapangan fotografi memberi peluang kepada Bazuki mendekati pelbagai lapisan masyarakat. - Kredit foto REUTERS/Bazuki Muhammad
Lapangan fotografi memberi peluang kepada Bazuki mendekati pelbagai lapisan masyarakat. - Kredit foto REUTERS/Bazuki Muhammad

“Saya enjoy bertugas di Afghanistan kerana ia merupakan negara perang dan perlu memberi tumpuan subjek ketenteraan malah ditemani dua tentera pengaman United Nations (UN) dari Perancis.

“Saat yang menggerunkan apabila berdepan askar Taliban bersenjatakan rifel AK-47 kerana mereka tidak mempercayai bahawa saya adalah seorang Muslim.

“Bagaimanapun, apabila saya membaca surah al-Fatihah baru mereka mempercayai dan mengatakan kita adalah saudara,” imbasnya detik-detik cemas yang dilaluinya ketika itu.

Sambung lelaki berusia 58 tahun itu, pengalaman membuat liputan di pekan Or Bo Tor, Thailand, selepas tsunami tahun 2004 masih terpahat dalam ingatan sehingga hari ini.

Bazuki berharap dapat bersua semula dengan kanak-kanak dikenali sebagai Wasana Sermsin (kanan) ketika membuat liputan tsunami di pekan Or Bo Tor, Thailand.
Bazuki berharap dapat bersua semula dengan kanak-kanak dikenali sebagai Wasana Sermsin (kanan) ketika membuat liputan tsunami di pekan Or Bo Tor, Thailand.

Pada waktu itu, beliau terjumpa seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 11 tahun sedang menangis tetapi tidak boleh berkomunikasi berikutan perbezaan bahasa.

“Ketika dalam dakapan untuk menenangkan kanak-kanak tersebut, dia tidak berhenti bercakap tetapi saya tidak memahami apa yang dituturkan sehingga seorang jurubahasa mendekati kami.

“Jurubahasa memaklumkan kanak-kanak yang dikenali sebagai Wasana Sermsin kehilangan ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, kawan-kawan, guru-guru, rumah dan sekolah.

“Saya difahamkan dia sedang menunggu abangnya dari Bangkok untuk menjemput pulang ketika kejadian berlaku,” ujarnya yang berharap dapat bersua semula dengan kanak-kanak tersebut.

Arkitek

Beliau yang pernah berkhidmat pada temasya Olimpik London 2012 itu menambah, pengajiannya dalam bidang arkitek turut membantu beliau melihat seni visual sekali gus menterjemah ke dalam bidang fotografi.

“Ayah saya merupakan seorang pelukis atau lebih spesifik, seorang guru seni manakala atuk pula pengukir kayu.

“Justeru, sejak kecil saya telah didedahkan mengenai seni visual. Ayah juga sering membawa saya ke Pasar Seni setiap kali datang ke Kuala Lumpur dari Kelantan,” katanya.

Bazuki membulatkan hati meninggalkan kerjaya sebagai arkitek dengan menerima lamaran dari Reuters. Kredit foto Supian Ahmad
Bazuki membulatkan hati meninggalkan kerjaya sebagai arkitek dengan menerima lamaran dari Reuters. Kredit foto Supian Ahmad

Apa yang pasti, kata-kata ayahnya iaitu “kalau hendak jadi pelukis perlu menjadi pelukis yang boleh membawa pendapatan” masih tersemat dalam ingatannya.

“Mungkin kata-kata tersebut membuka hati saya untuk menjadi pereka grafik pada usia muda. Bagaimanapun, saya melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina.

“Saya membesar dengan cita-cita hendak jadi pereka grafik tetapi melanjutkan pengajian sehingga be•rgelar arkitek dan mencari rezeki sebagai jurugambar,” tuturnya.

Bagaimanapun, Bazuki memberitahu, selepas menamatkan pengajian beliau bekerja sebagai jurugambar di Knoxville Journal & Maryville Times, Tennessee AS, sebelum pulang ke tanah air pada 1992 dan menjadi arkitek selama enam tahun di ibu kota.

Begitupun, beliau membulatkan hati meninggalkan kerjayanya yang stabil dengan menerima lamaran dari Reuters untuk memenuhi 'cinta' kepada seni visual yang sebati dalam diri.

Kewartawanan foto

Dalam pada itu, Bazuki menjelaskan, bidang fotografi berita ataupun kewartawanan foto tidak boleh terlalu digarap dengan seni tetapi memberi tumpuan kepada nilai berita.

Bazuki
Bazuki

“Begitupun, darah seni yang mengalir di dalam diri membuatkan saya menyelitkan elemen-elemen seni dalam penghasilan imej pegun.

“Kemungkinan ia merupakan antara faktor perbezaan gambar saya berbanding orang lain,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Pengarah Kreatif Thinking Eyes berkata, menceburi bidang seni visual tidak boleh syok sendiri tetapi perlu praktikal.

Info

Liputan

1) Afghanistan - 2002

2) Haji di Makkah, Arab Saudi - 2002

3) Tsunami, Thailand - 2004

4) Setahun selepas tsunami, Thailand - 2005

5) Pergolakan di Selatan Thailand - 2007

6) Ribut Cyclone Nargis, Myanmar - 2008

7) Presiden Amerika Syarikat, George Bush di JAPAN G8, Hokkaido - 2008

8) Protes jalanan di Bangkok, Thailand - 2009

9) Banjir di Bangkok, Thailand - 2011

10) Olimpik London - 2012

11) Formula One dan MotoGP, Sepang, Malaysia, Singapura, Korea Selatan - 1998 – 2013

Pencapaian

1) Publish Asia Award - Sports Picture of the Year (2002)

2) Publish Asia Award - Sports Picture of the Year (2003)

3) Pameran The Thinking Eyes di Universiti Putra Malaysia (UPM) (2004)

4) Anugerah Seni Bina Fotografi Pertubuhan Arkitek Malaysia (2005)

5) Anugerah Pelancongan Malaysia – Tempat pertama kategori alam semula jadi (2005)

6) Pameran Solo Art of Seeing di galeri New Straits Times Press (2015)•

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp