Bola sepak dron bakal lahirkan pemain taraf dunia
Drone Soccer atau bola sepak dron semakin menjadi tumpuan setelah penganjuran beberapa perlawanan di Malaysia.
Selain menarik minat dan perhatian orang ramai, permainan alaf baharu ini sebenarnya telah pun bertapak dalam kalangan pelajar di institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sejak pertandingan dalam beberapa siri perlawanan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) termasuk Hari TVET Negara 2024 pada 7 dan 8 Jun lalu, membuktikan ramai pelajar tempatan kita berbakat mengendalikan robot, lebih-lebih lagi sewaktu berada dalam gelanggang.
Jadi tidak hairanlah suatu hari nanti, Malaysia mampu melahirkan ramai atlet pemain yang hebat dalam mengangkat serta membuktikan kebolehan mengharumkan nama negara dalam sukan bola sepak dron.
Terpanggil untuk berkongsi kisah mereka, Sinar Bestari sempat menemu bual tiga pelajar TVET yang merupakan pemain penting dalam arena bola sepak dron.
Jom kita selami perkongsian mereka!
Kisah 1:
Alif Faizuddin Mohd Zaidi, 21, merupakan pelajar jurusan Multimedia Interaktif di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Selangor.
Dia mula terlibat dalam pasukan bola sepak dron IKBN setelah mengikuti demonstrasi yang dijalankan di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).
Sejak itu, bermulalah perjalanannya sebagai juruterbang dron.
“Penglibatan dalam bidang dron ini bermula dengan hanya menerbangkan pesawat tanpa pemandu untuk menghantar barang (drone delivery).
“Apabila diperkenalkan dengan drone soccer, baru saya sedar ada lagi cabang lain yang menjadikan dron sebagai alat utama.
“Sekarang apabila terlibat dengan drone soccer, saya semakin bersemangat dalam latihan terutamanya dengan posisi penyerang yang memerlukan saya menjaringkan banyak gol dan persediaan berdepan dengan pertahanan pihak lawan," katanya.
Bercerita lanjut, Alif mengakui perlu menghadiri latihan yang dijalankan setiap hari pada sebelah malam, bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti permainan sesuatu perlawanan.
Menerusi latihan yang bersungguh-sungguh, dia berharap dapat mewakili pasukan bola sepak dron Malaysia sekali gus mengembangkan lagi bakat dalam sukan berkenaan.
Kisah 2:
Pelajar jurusan kimpalan CIAST, Muhammad Haikal Aiman Mat Jafar sudah lama terlibat dalam aktiviti menerbangkan dron.
Kongsinya, aktiviti menerbangkan dron dan merakam gambar serta video merupakan hobinya ketika di rumah.
Berbeza dengan bola sepak dron, Muhammad Haikal berkata, ia lebih menitikberatkan soal momentum dan strategi pasukan dalam memperoleh kemenangan.
“Hendak terbangkan dron, bagi saya mudah tetapi untuk sukan ini, ia memerlukan strategi lebih-lebih lagi untuk menjaringkan banyak gol dalam sesuatu perlawanan.
“Jadi komunikasi di antara pemain amat penting dan pemeriksaan terhadap dron dan alat kawalan juga perlu dilakukan secara berkala,” ujarnya.
Pemuda berusia 22 tahun itu berkata, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditempuh dalam sukan ini termasuklah apabila sistem bermasalah menjadikan dron tidak dapat berhubung dengan alat kawalannya.
Keadaan ini memberi tekanan bukan sahaja kepada dua orang pemain (juruterbang) tetapi juga juruteknik yang kini menjadi tanggungjawabnya.
“Untuk elakkan keadaan sebegini berlaku, pemeriksaan memang perlu dibuat seminggu sebelum atau beberapa jam sebelum perlawanan.
“Pasukan perlu memastikan ketika perlawanan dron boleh diterbangkan dan tidak mempunyai masalah,” katanya lagi.
Kisah 3:
Bermula dengan sekadar suka-suka, menjadikan Muhammad Iman Hamizi Jambare ingin terus melakukan yang terbaik dalam arena bola sepak dron.
Siapa sangka perkara baharu yang disertainya itu, berjaya menarik minat yang sekali gus memasang niat untuk mewakili negara ke peringkat lebih tinggi.
Muhammad Iman, 25, berkata, penglibatannya dalam bola sepak dron CIAST memupuk semangatnya untuk menjadikan ia sebagai satu cabang kerjaya baharu.
Namun sebagai pelajar, pastinya tidak dapat lari dengan ‘perang’ pembahagian masa antara belajar dan latihan.
“Walaupun agak susah sebab dua-dua penting bagi saya tetapi jika ia di landasan yang betul, pasti tidak menjadi masalah.
“Sekarang ini, saya banyak fokus kepada dua perkara penting ini, namun saya juga berharap agar terpilih untuk mewakili negara dalam drone soccer di Korea. Insya-ALLAH, saya akan cuba lakukan yang terbaik," katanya.