Buku teks tidak membosankan sebaliknya ia akan menarik jika digunakan dengan cara yang betul.
Buku teks tidak membosankan sebaliknya ia akan menarik jika digunakan dengan cara yang betul.

Cara kreatif tarik minat pelajar suka buku teks! Menjadi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
16 Oct 2024 09:15am

Benarkah buku teks di sekolah membosankan? Jika ya, adakah disebabkan buku tersebut berat, tidak menarik atau tebal hingga mengakibatkan pelajar sukar mengulang kaji pelajaran?

Menurut Pegawai School Improvement Specialist Coach (Sisc+), Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Johor, Herryan Syah Tupan Surian, buku teks merupakan bahan penting untuk pendidikan dan menjadi sumber rujukan utama kepada guru dan pelajar dalam pembelajaran di sekolah.

Katanya, buku teks tidak membosankan sebaliknya ia akan menarik jika digunakan dengan cara yang betul.

“Ada beberapa strategi dalam menjadikan sumber rujukan ini sebagai bahan pembelajaran yang menyeronokkan.

“Oleh itu, saya senaraikan sembilan cara kreatif untuk cikgu-cikgu lakukan sepanjang menggunakan buku teks di sekolah,” ujarnya yang pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Taman Indahpura 1, Kulai, Johor.

Berikut koleksi tip kreatif yang dimaksudkan Herryan Syah.

1) Tangkap layar bahagian tertentu

Guru boleh tangkap layar bahagian maklumat tertentu pada buku teks dan minta murid atau pelajar bincangkan dalam kumpulan Whatsapp atau Telegram kelas.

No Image Caption

2) Kenal pasti muka surat (ayat, perenggan dan gambar rajah)

Pelajar boleh berlatih mengingati fakta dengan lebih baik jika mereka perlu mengenal pasti muka surat ke berapa mereka boleh mendapatkan maklumat tertentu dan cara ini boleh dijadikan aktiviti.

Selain murid mudah menghafal, mereka juga lebih peka dengan kandungan penuh buku teks dan melihat perkaitan antara satu unit ke satu unit.

Murid juga dapat menggunakan pemikiran logik mereka dengan membuat jangkaan lokasi muka surat berdasarkan susunan topik.

3) Rakaman audio nota buku teks

Selain sekadar membaca, buku teks juga boleh dibacakan secara lisan dan dirakamkan. Hal ini menukar buku teks menjadi seolah-olah audiobook. Murid boleh mendengarnya sambil melakukkan kerja rumah atau kerja-kerja harian.

4) Rumusan muka surat buku teks

Murid boleh diminta membaca sesuatu topik dan membuat rumusan nota. Rumusan boleh dibuat dalam bentuk perenggan, peta minda atau sebarang bentuk gambar rajah.

No Image Caption

5) Susunan turutan maklumat buku teks

Antara aktiviti menarik dan mudah adalah mengambil beberapa bahagian dalam buku teks dan murid perlu menyusun mengikut turutan. Konsep ini sama seperti cara nombor dua yang menjadikan murid mudah menghafal dan peka dengan kandungan buku teks.

6) Teka isi berdasarkan tajuk

Selain memahami dan mencerna maklumat, murid juga boleh membina perasaan ingin tahu. Perasaan ingin tahu ini menjadikan murid berminat dan berfikir lebih kritis. Oleh itu, guru boleh berikan tajuk dan anak-anak didik perlu meneka isi kandungan topik tersebut.

7) Bina soalan berdasarkan topik

Pada penghujung sesuatu topik, murid juga digalakkan untuk membina soalan. Soalan-soalan ini adalah kemuncak maklum balas murid terhadap topik yang dipelajari. Hal ini disebabkan mereka telah faham dan ingin tahu sesuatu yang lebih membina eksplorasi maklumat sendiri.

8) Cloze Text

Selain menyusun maklumat dan mengingati muka surat, aktiviti mengisi tempat kosong juga dapat membantu murid menjadi peka.

Murid perlu melengkapkan tempat kosong dengan mencari maklumat dalam buku teks dan mereka pasti sukakan aktiviti ini apatah lagi jika dijadikan sebagai pertandingan.

No Image Caption

9) Jigsaw

Pelajar atau murid boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terbahagi kepada lima bahagian A, B, C, D dan E. Mereka baca bahagian masing-masing dan kemudian berbincang bersama ahli kumpulan lain.

Setelah beberapa minit perbincangan berlangsung, mereka kembali kepada kumpulan asal dan menyampaikan maklumat kepada ahli kumpulan. Aktiviti ini menjadi seronok sekiranya semua bekerjasama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp