
Cara mengawal dan menghilangkan perasaan gemuruh
Berada di atas pentas boleh menjadi satu pengalaman yang mendebarkan terutama bagi mereka yang kurang pengalaman dalam berucap di hadapan khalayak.
Rasa gemuruh adalah reaksi normal badan terhadap tekanan tetapi ia boleh dikawal dengan beberapa teknik yang berkesan.
Hari ini, Sinar Bestari ingin berkongsi cara mengawal perasaan gemuruh terutamanya ketika adik-adik di pentas sekolah.
Jom baca!
1) Persediaan rapi
Anda perlu melakukan persediaan yang rapi sebelum acara bermula di mana sediakan teks atau bahan ucapan lebih awal. Bukan itu sahaja, anda juga perlu menyediakan pakaian yang kemas dan bersih. Pada masa sama pastikan kesemua alatan yang akan digunakan berfungsi dengan baik. Penjagaan emosi juga penting kerana ia akan mempengaruhi mood dan keseluruhan perjalanan majlis.
2) Latihan
Berlatih berulang kali dari aspek intonasi, isi dan gaya penyampaian. Beri tumpuan kepada perkataan sukar dan sebutan yang panjang.

3) Jaga pemakanan
Beberapa hari sebelum majlis anda perlu menjaga pemakanan dan kesihatan. Elakkan makan makanan pedas dan masam. Minum air mineral secukupnya dan pastikan tidur mencukupi.
4) Bersedia atau hadir awal
Aturkan masa dengan baik, agar dapat hadir awal ke lokasi atau bersedia di dalam talian. Ini akan memberi peluang untuk anda membuat persiapan dan raptai sebelum majlis bermula.
5) Teknik relaksasi
Gunakan teknik pernafasan yang betul. Anda juga boleh bertenang dengan membaca doa. Yakin di dalam diri, tuhan sentiasa bersama dan membantu.

6) Kenali sudut menyenangkan
Kenali wajah-wajah penonton atau sudut yang menenangkan. Apabila di atas pentas lihat wajah-wajah atau sudut tersebut. Ini akan mewujudkan perasaan selamat dan tenang di dalam diri. Secara tidak langsung, teknik ini juga dapat membantu membina eye contact dengan penonton.
7) Senyum
Sebelum bermula, ambil masa beberapa saat untuk senyum. Ini dapat memberi isyarat kepada penonton bahawa anda yakin untuk berucap. Selain itu senyum juga adalah isyarat bersedia untuk berucap. Malah dengan senyuman ia boleh menutup perasaan gemuruh itu.
8) Berfikiran positif
Fikiran yang positif akan membentuk emosi yang stabil dan akan melahirkan tindakan yang baik. Sentiasa bermonolog di dalam diri dan mengamalkan gaya hidup sihat, bersyukur dan menghargai kehidupan. Fikiran yang positif akan membantu kita lebih optimis dan bersedia membuat penambahbaikan di dalam diri.
