GCR adalah satu kemudahan disediakan kerajaan berbentuk ganjaran wang tunai yang diberikan kepada penjawat awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.
GCR adalah satu kemudahan disediakan kerajaan berbentuk ganjaran wang tunai yang diberikan kepada penjawat awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.

Cara semak jumlah Gantian Cuti Rehat dalam HRMIS, penjawat awam boleh rujuk di sini

ROSHLAWATY MD RAIEH
13 Jul 2023 11:09am
A
A
A

Baru-baru ini, kerajaan melalui Belanjawan 2023 telah bersetuju untuk menaikkan kadar maksimun Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari kepada semua penjawat awam termasuk pendidik di negara ini.

Menerusi belanjawan itu juga, kerajaan turut mengumumkan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 90 hari kepada kakitangan awam.

Sebagai rujukan para guru yang mungkin tidak jelas mengenai GCR kendalian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), di sini Sinar Bestari kongsikan beberapa maklumat penting berkaitan cuti tersebut.

GCR adalah satu kemudahan disediakan kerajaan berbentuk ganjaran wang tunai yang diberikan kepada penjawat awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.

GCR akan dikumpulkan pada setiap hujung tahun bergantung dengan kelayakan cuti rehat yang diberikan pada tahun berkenaan.

Untuk mengetahui jumlah GCR yang telah terkumpul, guru-guru boleh menyemaknya menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dengan cara log masuk HRMIS - Pengurusan Cuti - Fungsi - Penyemakan Cuti - Pemohon Cuti - GCR.

Selain itu, guru-guru juga boleh menggunakan aplikasi MyHRMIS Mobile untuk semakan GCR masing-masing.

Sekiranya paparan dalam sistem tidak sama dengan jumlah sepatutnya, warga pendidik boleh merujuk kerani di sekolah untuk mengemas kini jumlah sebenar GCR yang ada.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 90 hari kepada kakitangan awam, JPA telah mengeluarkan beberapa syarat mengenai perkara tersebut.

Syarat-syarat itu terdiri daripada;

(a) Tempoh perkhidmatan pegawai tidak kurang daripada 15 tahun

(b) Pegawai telah mencapai umur 45 tahun semasa permohonan dibuat

(c) Jumlah terkumpul GCR sekurang-kurangnya 90 hari

(d) Bebas daripada prosiding jenayah atau tindakan tatatertib

(e) Mendapat perakuan daripada Ketua Jabatan.

JPA turut mengingatkan kepada penjawat awam, pemberian awal award wang tunai GCR itu hanya boleh dibuat sekali sahaja sepanjang perkhidmatan pegawai.

Dalam pada itu, golongan pendidik yang ingin membuat kiraan berkaitan GCR masing-masing, anda boleh berbuat demikian dengan menggunakan formula pengiraan seperti di bawah.

PENGIRAAN: 1/30 x *gaji semasa diterima x 90 hari

*Gaji semasa merujuk kepada gaji hakiki bulanan termasuk imbuhan tetap (imbuhan tetap utama/gred khas; imbuhan tetap perumahan; imbuhan tetap keraian dan imbuhan tetap khidmat awam).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok