Cucu Jay Jay tawan Paris

Wakili negara menerusi persembahan tarian tradisional di pentas Eropah

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
19 May 2025 04:50pm

Bermula langkah kecil menari mengikut rentak lagu pada usia lima tahun, kini Nur Naaima Imani Mohd Syahiid, 12, melakar satu pencapaian membanggakan apabila terpilih mewakili negara dalam Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025 di Paris, Perancis.

Bagi ibunya, Nur Amalina Mohd Fauzi, 39, pencapaian ini bukan sekadar satu kejayaan peribadi, malah simbol kepada dedikasi dan usaha tanpa jemu dalam menyemai minat serta bakat anak sulungnya itu dalam bidang seni tari.

Kontinjen Malaysia memperoleh kejayaan di Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025 di Paris, baru-baru ini.
Kontinjen Malaysia memperoleh kejayaan di Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025 di Paris, baru-baru ini.

“Sejak kecil lagi kami perasan Nur Naaima Imani suka menari. Pada usia lima tahun, dia sudah mula meniru gerakan tarian dari televisyen dan mengikut rentak lagu dengan penuh keyakinan,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Menurut suri rumah sepenuh masa itu, dia dan suami tidak mengambil ringan kecenderungan anak mereka terhadap seni.

Atas galakan rakan-rakan, Nur Amalina membawa Nur Naaima Imani menghadiri sesi uji bakat Permata Seni, sebuah program latihan seni berprestij anjuran kerajaan yang bertujuan mencungkil dan mengasah bakat muda dalam pelbagai cabang seni.

“Dia hadir uji bakat ketika berusia enam tahun dan Alhamdulillah, berjaya diserap masuk. Sejak itu, Nur Amalina mendapat latihan secara profesional termasuk gerak asas serta tarian tradisional seperti Joget, Zapin dan Inang,” jelasnya.

Kontinjen Malaysia memperoleh kejayaan di Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025 di Paris, baru-baru ini.
Kontinjen Malaysia memperoleh kejayaan di Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025 di Paris, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Lebih menarik, semangat seni dalam diri Nur Naaima Imani sebenarnya diwarisi daripada keluarganya.

Pelajar ini sebenarnya cucu kepada seorang penyanyi popular tanah air yang pernah mencetus fenomena dalam industri muzik pada era 1980-an iaitu Allahyarham Mohd Fauzi Darus atau lebih dikenali sebagai Jay Jay.

“Arwah bapa saya memang seorang seniman sejati. Walaupun bidang kami berbeza, dia dalam nyanyian manakala cucunya dalam tarian tetapi masih dalam cabang seni yang sama.

“Saya percaya darah seni itu mengalir kuat dalam diri Nur Naaima Imani,” katanya dengan nada bangga.

Salah satu kenangan paling manis dalam hidup anaknya ialah apabila berpeluang mengiringi persembahan datuknya dalam lagu Joget Angan Tak Sudah pada tahun lalu, sekali gus kenangan abadi buat mereka sekeluarga.

Kini, dengan bimbingan berterusan daripada tenaga pengajar dan sokongan padu keluarga, Nur Naaima Imani bersedia mempersembahkan tarian warisan budaya Melayu di pentas antarabangsa, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Nur Naaima Imani begitu bangga apabila mewakili sekolah dan negara ke pentas kesenian negara.
Nur Naaima Imani begitu bangga apabila mewakili sekolah dan negara ke pentas kesenian negara.

“Saya tidak pernah paksa dia. Apa yang penting, minat itu datang dari hati.Sebagai ibu, saya hanya membuka jalan dan memberikan peluang untuk dia berkembang,” ujarnya.

Kisah Nur Naaima Imani membuktikan bahawa dengan minat yang mendalam, bimbingan yang betul serta sokongan keluarga, bakat anak-anak mampu menjulang ke tahap tertinggi.

Langkah kecil yang dimulakan di ruang tamu rumah, kini membawa Nur Naaima menari di pentas dunia.

Penyertaan sekolah dari Malaysia di Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025:

1. SK Jalan 3 Bandar Baru Bangi

2. SK Taman Jasmin, Kajang

3. SK Kampuang Baru Si Rusa, Port Dickson

4. Brainy Bunch International School

5. Al-Amin Selangor

6. Brighton International School

7. Asia Pacific School

8. Sri Ayesha Islamic School

9. Tenby Setia EcoPark

10. Sekolah Tinta.

11. SMK Putrajaya Presint 9 (2)

12. SMK Seksyen 9, Shah Alam

13. SMK Jalan 3, Bandar Baru Bangi

14. SMK Abdul Jalil

15. SMK Subang Utama Selangor

16. SMK Sultan Salahuddin Aziz Shah

17. Kolej Tunku Kurshiah (TKC)

18. Sekolah Tun Fatimah (STF)

19. SM Sains Tuanku Munawir (SASER)

20. Sekolah Seni Malaysia Johor

21. Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur

22. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

23. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM)

24. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

25. Taylor’s University

Senarai anugerah yang diraih:

1. A Folk Solo Children: Nyanyian - Cinta Kita (Tempat Pertama)

2. A Folk Solo Senior: Nyanyian - My Way (Tempat Pertama)

3. A Folk Solo Junior 1: Tarian Borneo (Tempat Kedua)

4. A Folk Solo Junior 2: Tarian Borneo (Tempat Pertama)

5. A Folk Small Group: Tarian Rakyat (Tempat Pertama)

6. A Folk Group Junior 1: Tarian Zapin Ting-Ting (Tempat Pertama)

7. A Folk Group Junior 2: Tarian Dikir (Tempat Pertama)

8. A Folk Group Trio: Tarian Si Nara (Tempat Pertama)

9. A Folk Group Quartet: Tarian Borneo (Tempat Pertama)

10. A Folk Group Senior: Tarian Ceracap Inai (Tempat Pertama)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp