
Festival Antarabangsa Les Etoiles de Paris 2025: Latihan berjadual, akademik terjaga
Dalam memastikan persediaan yang rapi sebelum menyertai pertandingan antarabangsa, pihak sekolah mengambil inisiatif menyediakan jadual latihan yang lebih fleksibel bagi para pelajar.
Dengan adanya jadual tersusun, pelajar mampu menumpukan sepenuh perhatian semasa latihan tanpa mengabaikan tanggungjawab akademik di kelas.
Pengetua Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Siti Dewi Marsitah Ismail berkata, pemantauan rapi serta kerjasama erat antara jurulatih, ibu bapa dan guru menjadi faktor utama yang menyokong kejayaan para pelajar.
“Pihak pengurusan sekolah sentiasa memantau perkembangan latihan dan menyediakan sokongan berterusan kepada guru serta pelajar,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Menurut beliau, kemudahan dan ruang latihan yang lengkap turut disediakan bagi memudahkan sesi persiapan. Fasiliti latihan dilengkapi dengan cermin, sistem bunyi dan lantai khas bagi memastikan latihan dijalankan dalam suasana profesional.
“Kami turut berbincang dengan jurulatih untuk memilih konsep tarian yang sesuai dengan syarat pertandingan,” tambahnya.
Langkah proaktif sekolah bukan sahaja membantu pelajar mengasah bakat seni persembahan tetapi turut memastikan keseimbangan antara latihan intensif dan prestasi akademik terus terpelihara.
Peluang keemasan bakat muda
Kejayaan para pelajar Malaysia meraih kemenangan dalam pertandingan di Festival Les Etoiles de Paris 2025 menjadi bukti bahawa seni tradisional negara mempunyai potensi besar untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.
Siti Dewi Marsitah percaya, pencapaian itu bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah membuka lebih banyak peluang jangka panjang kepada pelajar berbakat untuk mengembangkan potensi dalam bidang seni secara profesional.
“Kejayaan ini dapat menarik lebih ramai pelajar berbakat serta membuka mata ibu bapa tentang kepentingan menghantar anak-anak ke institusi yang mampu melonjakkan bakat seni mereka.

“Seni tradisional bukan sekadar persembahan, ia adalah jiwa bangsa. Angkatlah seni dengan bangga, jagalah ia dengan amanah dan bawalah ia sejauh mungkin dengan rasa cinta,” katanya penuh semangat.
Semoga kejayaan pelajar Malaysia ini terus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mengejar impian sambil memperkenalkan keunikan seni warisan negara ke seluruh dunia.