Antara video dikongsikan Amisha tentang kehidupan anak pulau yang tinggal di asrama seawal usia 7 tahun hingga meraih 3.9 juta tontonan.
Antara video dikongsikan Amisha tentang kehidupan anak pulau yang tinggal di asrama seawal usia 7 tahun hingga meraih 3.9 juta tontonan.

Demi ilmu, anak pulau pilih tinggal di asrama sejak usia 7 tahun

NURUL HIDAYAH HAMIDNURUL HIDAYAH HAMID
05 May 2025 08:20am

Demi mengejar ilmu, seorang kanak-kanak perempuan sanggup tinggal di asrama seawal usia tujuh tahun walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga tercinta.

Kisah penuh inspirasi itu dikongsikan oleh kakaknya, Amisha Dania Andra, 21, yang menyifatkan pengalaman tinggal di asrama sejak kecil sebagai lumrah buat anak-anak dari kawasan pulau disebabkan faktor geografi dan kemudahan pendidikan yang terhad.

Menurutnya, kini adiknya, Amylia Irdina, 7, pula mengikut jejak mereka apabila mula tinggal di asrama sebuah sekolah di Pulau Tioman, Pahang sejak beberapa bulan lalu.

"Dulu semasa saya Darjah Satu, saya tidak rasa sedih sangat sebab ada kakak yang turut tinggal di asrama. Namun, adik saya lain sikit, dia seorang diri dan memang nampak sedih masa mula-mula masuk.

"Sekarang ini pun dia kadang-kadang rindu, tapi sudah mula sesuaikan diri. Kalau kami datang lawat, dia akan jadi sedih semula. Tapi setiap minggu dia akan balik rumah, jadi tak lama sangat pun berjauhan," katanya.

Terdahulu, Amisha melalui akaun TikTok @amiechadaenia sering berkongsi video melawat adiknya di asrama yang meraih tontonan mencecah 1.7 juta hingga 3.9 juta kali.

Video terbaharu yang dikongsikannya pada Rabu lalu, memaparkan Amylia menyertai Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah yang turut dihadiri ahli keluarga mereka, kini meraih hampir 60,000 tontonan.

Amisha menjelaskan, rumah mereka terletak di sebuah kampung manakala sekolah dan asrama pula berada di kampung bersebelahan yang tidak mempunyai akses jalan darat, menyebabkan urusan ulang-alik harian sukar terutamanya ketika cuaca buruk.

Artikel Berkaitan:

"Perjalanan naik bot dari kampung ke asrama dan sekolah hanya ambil masa lebih kurang 10 minit, tapi bila hujan atau angin kuat, memang tak boleh ke sana.

"Lagipun, pelajar perlu hadir kelas agama pada waktu petang. Jadi lebih mudah tinggal terus di asrama,” jelasnya.

Tambah Amisha, kebanyakan keluarga di kawasan pulau menganggap menghantar anak ke asrama sejak kecil sebagai satu keperluan walaupun berat untuk berpisah.

Namun, katanya, pengalaman tinggal di asrama memberi kesan positif terhadap pembentukan sahsiah diri sejak awal usia.

"Saya sendiri jadi lebih berdikari sejak kecil. Di asrama, kita kena bangun dan urus diri sendiri. Kita juga diajar solat tepat waktu dan ikut peraturan.

"Itu jalan terbaik untuk anak-anak pulau. Walaupun susah, tapi berbaloi," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp