'Dulu saya Cikgu Najmi'
Namie kongsi cerita berdepan murid terpengaruh dengan influencer
Pernah menggalas tanggungjawab sebagai guru selama tiga tahun, kemudian terjun ke dunia hiburan menerusi program realiti.
Namie atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin, 27, mengakui keputusan meninggalkan kerjaya sebagai guru berikutan sukar mengimbangi tanggungjawab di sekolah dengan dunia hiburan.
Namie mengakui sangat meminati dunia hiburan khasnya membabitkan vokal, namun gagal mendapat tawaran pengajian dari institusi pilihan hati.
“Minat saya sangat mendalam dengan muzik khasnya membabitkan vokal. Selepas gagal mendapat tempat di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang muzik, saya ambil keputusan menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun.
“Alhamdulillah, saya ditawarkan bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Muzik). Dari situlah bermulanya perjalanan saya untuk menjadi seorang guru,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Bestari baru-baru ini.
Bagaimanapun, bekas guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serting Ulu, Jempol di Negeri Sembilan ini mengakui tidak meninggalkan sepenuhnya dunia pendidikan kerana percaya ilmu bukan hanya dari bilik darjah.
Cabaran zaman
Menurutnya, cabaran guru zaman kini amat berat berbanding pendidik di era 1990-an.
“Murid zaman sekarang dengan 20 tahun yang lalu sangat berbeza. Dalam 10 tahun lalu, saya sendiri terpaksa ke pusat internet atau kafe siber semata-mata untuk melayari internet.
“Kini, semuanya di hujung jari. Apabila difikirkan semula, jurang perbezaan cara hidup zaman kanak-kanak saya dengan yang sekarang cukup jauh.
“Saya sebagai bapa kepada dua cahaya mata, tidak boleh menidakkan perkara itu yang mana anak-anak memerlukan gajet,” katanya.
Tegas Namie, situasi itu juga memaksa para guru menerima dengan hati terbuka apabila murid-murid perlu menggunakan gajet untuk pembelajaran.
“Kita tidak boleh samakan sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sekarang dengan 10 tahun lalu. “Jadi guru-guru perlu bergerak pantas dalam mendidik murid. Saya juga faham dan pernah merasai kekangan sebagai pendidik,” katanya.
Namun, Namie percaya kejayaan moral dan pendidikan anak-anak Gen Z tidak akan berhasil hanya dengan usaha guru, sebaliknya perlu seiring ibu bapa.
“Bagi ibu bapa pula, mereka boleh membantu para guru dengan menetapkan batasan penggunaan gajet ketika di rumah,” kata Namie.
Wajib habiskan persekolahan
Bercerita mengenai pengalaman ketika mengajar di SK Serting Ulu, dirinya tidak dikenali sebagai pendidik sebaliknya penghibur. “Pada hari pertama mendaftar sebagai guru, murid tidak memanggil ‘cikgu’, sebaliknya ‘Namie’.
Mereka sangka saya hadir di sekolah itu untuk menghibur dan bukannya mengajar.
“Bermula dari situ, saya terfikir bahawa anak-anak generasi kini memang perlu ada batasan dalam penggunaan gajet,” katanya.
Jelasnya, murid dan pelajar kini lebih suka melayari internet serta aplikasi berbentuk hiburan dibawa oleh pempengaruh.
“Saya tidak nafikan ketika mengajar dahulu, sebahagian murid memang terpengaruh dengan content dalam TikTok dan media sosial lain.
“Apabila ditanya mengenai impian dan cita-cita, mereka jawab ingin jadi pempengaruh dengan alasan mudah kaya, terkenal dan menyamakan saya dengan apa yang mereka lihat menerusi gajet itu,” katanya.
Bekas guru itu berkata, pendirian anak-anak muridnya berjaya dipatahkan dengan penjelasan bahawa setiap murid atau pelajar wajib menamatkan persekolahan dengan menduduki peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Benar saya seorang content creator dan pempengaruh, namun memiliki segulung ijazah.
“Percayalah sukar untuk seseorang itu menyelesaikan masalah di kemudian hari jika tiada pendidikan dan pengalaman,” katanya.
Gembirakan murid asnaf, anak yatim
Menjelang Syawal, Namie turut berkongsi kisah rasa sayunya menyambut hari raya sewaktu bergelar guru.
“Ketika mengajar dulu, saya bersama rakan guru yang lain ada membuat kutipan, kemudian menyumbang kepada murid-murid asnaf dan anak yatim di SK Serting Ulu.
“Hati memang sayu tetapi kita berasa lebih seronok apabila dapat menggembirakan anak-anak ini dengan membeli pakaian baharu, jamuan makan dan sebagainya.
“Itu pengalaman musim perayaan sewaktu menjadi guru yang tidak akan saya lupakan. Hati saya sangat puas kerana dapat berkongsi rezeki dengan mereka,” katanya dalam nada sebak.