Empat petinju muda kongsi cerita mereka
Tinju adalah salah satu sukan yang semakin mendapat perhatian ramai walaupun berdepan cabaran. Antara cabarannya ialah penerimaan masyarakat kerana terlalu lasak dan ekstrem.
Namun, jika ditanya kepada peminat aktiviti lasak pastinya mereka menganggap tinju ada nilai dan tarikan tersendiri.
Apatah lagi, munculnya beberapa jaguh hebat tinju yang mencipta nama di peringkat tertinggi seperti Muhammad Johan Ghazali (Jojo), 16, yang menewaskan lawan dalam masa 16 saat sahaja.
Kejayaan anak muda itu adalah titik permulaan dan daya pendorong buat mereka yang berminat menceburi sukan lasak ini sama ada dijadikan sebagai kerjaya atau ilmu mempertahankan diri.
Sinar Bestari kongsikan empat kisah ahli tinju yang kini menuntut di Physique Nation Boxing Academy.
1) Mampu disiplinkan diri
Perlu membahagi masa antara belajar dan latihan tidak menghalang Muhammad Arif Zakqan Mohd Zaidi, 18, bergiat aktif dalam berlatih sukan tinju.
Kongsi pelajar Kolej Poly-Tech Mara Kampus Bangi itu, dia memilih terlibat dalam sukan ini kerana mampu mendisiplinkan dirinya sekali gus berasa lebih yakin.
“Selepas tiga ke empat bulan, saya nampak perubahan pada diri antaranya dari sudut pemakanan. Sebab dahulu berat saya mencecah 99 kilogram (kg) tetapi sekarang saya berjaya turun hingga 75kg.
“Tidak hanya itu, saya lebih yakin untuk pertahankan diri sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.
2) Mahu cipta nama di peringkat dunia
Walaupun baru dua bulan mengikuti latihan tinju, namun ia disifatkan sebagai nafas baharu buat Syed Muhammad Ali Shah Syed Islam untuk terus menambah baik kualiti diri.
Pelajar berumur 17 tahun itu memberitahu, selepas tempoh singkat tersebut dia dapat merasakan perubahan positif dalam diri terutamanya dari sudut disiplin.
“Sekarang saya lebih menjaga kesihatan diri lebih-lebih lagi untuk membina stamina.
“Perkara yang saya buat adalah dengan joging setiap pagi dan jika hari bersekolah saya akan joging pada waktu petang,” ujarnya.
Meminati jaguh tinju profesional terkenal dunia seperti Gervonta Davis dan Muhammad Ali, anak bongsu dari 10 beradik itu memberitahu, dia mahu turut sama mengikuti jejak langkah mereka dalam mencipta nama di peringkat dunia.
“Insya-ALLAH, saya merancang untuk menjadi ahli tinju profesional dan berharap tahun ini saya dapat main di sukan Olimpik.
“Saya juga merancang untuk sertai kejohanan dunia pada tahun 2025 kerana Malaysia masih belum ada wakil peninju. Mungkin saya akan jadi orang pertama,” katanya.
3) Perubahan positif
Minat yang mendalam terhadap sukan mempertahankan diri berjaya mematahkan kegusaran ibu bapa Ehsan Abdulrazzaq Hillal Khadim Al-Shammari, 16, yang mengikuti latihan tinju di Physique Nation Boxing Academy.
Pelajar dari Iraq itu berkata, sepanjang tiga bulan mengikuti latihan, dia dapat merasakan perubahan yang positif dalam dirinya.
“Saya rasa sukan tinju ini bagus untuk kesihatan diri saya baik dari sudut kesihatan dan mental.
“Mana tidaknya, saya bukan sahaja merasakan lebih kuat berbanding sebelum ini malah keyakinan diri juga semakin bertambah,” katanya.
4) Nekad baiki kualiti, kemahiran
Baru sahaja selesai menyertai pertandingan tinju di Putrajaya baru-baru ini, telah membuka mata Muhammad Hafiz Ziqri Zainal Abidin, 13, untuk lebih bersemangat memperbaiki kualiti dan kemahiran tinju.
Katanya, walaupun tidak mendapat rangking ketika pertandingan itu, namun ia bukan penghalang malah dia semakin yakin untuk terus berlatih dan membina keyakinan diri agar dapat menjadi peninju profesional suatu hari nanti.
“Saya belajar tinju ini kerana minat yang mendalam terhadap seni pertahankan diri dan terus meminta ibu bapa menghantar saya ke kelab untuk lebih mendalami ilmu daripada pakar.
“Alhamdulillah sepanjang dua bulan ini, saya boleh katakan saya nampak perubahan pada diri saya dan pertandingan itu bukanlah pengakhiran buat saya kerana saya akan tambah baik lagi untuk pertandingan lain masa akan datang,” ujarnya.