Abdul Hafiz Faizal (kiri) memantau petugas di Passionate Health & Wealthcare melakukan rawatan fisioterapi.
Abdul Hafiz Faizal (kiri) memantau petugas di Passionate Health & Wealthcare melakukan rawatan fisioterapi.

Fisioterapi beri harapan baharu, semangat hidup pesakit

Manfaat tingkatkan kesihatan, fungsi badan

10 Jun 2024 03:18pm

Ramai beranggapan rawatan fisioterapi adalah khusus untuk mereka yang bersukan, individu mengalami sakit kronik atau golongan berusia.

Persepsi tersebut tidak benar dan rawatan fisioterapi juga tidak hanya khusus mengikut kumpulan umur tertentu sahaja.

Ia mampu meningkatkan tahap kesihatan supaya pesakit dapat hidup berdikari selepas pulih daripada kecederaan walaupun mereka menghidap penyakit atau kecacatan.

Mengupas lanjut mengenai bidang dan kepentingan fisioterapi, Sinar Bestari berpeluang mendapatkan pandangan ABDUL HAFIZ FAIZAL ABDUL RAHMAN, 32, yang juga merupakan pengasas dan Pengarah Passionate Health & Wealthcare yang beroperasi di Taman Setia Tropika, Johor Bahru.

Anak bongsu daripada tiga adik beradik dan bapa kepada seorang anak merupakan ahli fisioterapi berpengalaman yang pernah berkhidmat di sembilan hospital dan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

SINAR BESTARI: Boleh kongsikan apa yang membuatkan anda mendalami ilmu fisioterapi ini?

ABDUL HAFIZ FAIZAL: Keinginan saya untuk mendalami ilmu fisioterapi bermula daripada pengalaman peribadi. Saya pernah menyaksikan seseorang yang sangat rapat dengan saya melalui tempoh pemulihan yang sukar selepas mengalami kecederaan serius. Melihat kesakitan yang dilaluinya dan usaha keras yang diperlukan untuk kembali pulih telah membuka mata saya tentang pentingnya fisioterapi.

Fisioterapi bukan sekadar rawatan fizikal, ia adalah proses penyembuhan yang menyeluruh, merangkumi aspek fizikal, mental, dan emosi. Saya menyedari bahawa sebagai ahli fisioterapi, saya berpeluang untuk membantu individu mengembalikan kualiti hidup mereka, memberikan harapan dan kekuatan kepada mereka untuk terus berjuang.

Artikel Berkaitan:

Melihat senyuman dan rasa syukur pesakit apabila mereka mula merasakan peningkatan dalam tahap kesihatan merupakan motivasi terbesar saya.

Ini kerana, fisioterapi bagi saya adalah tentang membawa perubahan positif dalam kehidupan orang lain. Itulah yang membuatkan saya bersemangat mendalami ilmu ini dan berharap dapat memberi impak berterusan kepada masyarakat.

Abdul Hafiz Faizal (duduk) melakukan semakan daftar pesakit berkomputer yang mendapatkan rawatan fisioterapi di Passionate Health & Wealthcare baru-baru ini.
Abdul Hafiz Faizal (duduk) melakukan semakan daftar pesakit berkomputer yang mendapatkan rawatan fisioterapi di Passionate Health & Wealthcare baru-baru ini.

Siapa dan apakah yang mendorong anda menjadi ahli fisioterapi?

Orang yang paling banyak mempengaruhi keputusan saya adalah ibu saya yang kini berusia 69 tahun. Beberapa tahun lalu, beliau mengalami kecederaan yang serius dan memerlukan rawatan fisioterapi intensif. Melihat beliau berusaha melalui setiap sesi terapi dan beransur – ansur pulih telah memberi saya perspektif yang sangat mendalam tentang pentingnya peranan ahli fisioterapi.

Selain itu, saya sangat beruntung mempunyai seorang pensyarah yang luar biasa semasa di KPJU (KPJ Healthcare University). Beliau bukan sahaja mengajar subjek 'physiology' dengan penuh semangat tetapi juga sering berkongsi bagaimana ilmu perubatan, termasuk fisioterapi dapat mengubah kehidupan seseorang. Dedikasi, semangat serta kisah-kisah inspirasi yang beliau kongsi, membangkitkan minat saya untuk mendalami bidang fisioterapi.

Tak lupa juga isteri tercinta, Nur Ernie Nazirah Morad, 29, yang juga seorang ahli fisioterapi. Beliau selalu berikan saya semangat dan nasihat dalam semua urusan agar pendekatan yang diambil adalah sesuai.

Mengapa memilih KPJU sebagai pilihan untuk mengembangkan kerjaya fisioterapi?

Pertamanya, reputasi KPJU sebagai institusi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan. KPJU dikenali dengan program latihan yang komprehensif, berkualiti serta mempunyai kemudahan yang canggih dengan latihan klinikal di rangkaian hospital dalam Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) sendiri.

Dengan menyertai KPJU, saya mendapat pendedahan dan latihan terbaik yang akan memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran saya dalam bidang fisioterapi.

Kedua, saya terinspirasi oleh visi dan misi KPJU yang selari dengan nilai-nilai peribadi saya. KPJU komited untuk menyediakan penjagaan pesakit yang holistik, berpaksikan kepada keperluan individu.

KPJU turut menawarkan peluang perkembangan kerjaya dan pembelajaran berterusan. Dengan rangkaian profesional yang luas, pelbagai program pembangunan dan budaya kerja yang kolaboratif, saya yakin dapat terus berkembang dan mencapai potensi penuh saya sebagai ahli fisioterapi.

Akhir sekali, saya melihat KPJU bukan sahaja sebagai tempat untuk bekerja, tetapi sebagai sebuah komuniti yang menyokong dan menggalakkan pembangunan peribadi dan profesional.

Abdul Hafiz Faizal (kiri) bersama Dr Anwar Asyraff Abdul Aziz (tengah) mendengar sesuatu yang dinyatakan seorang pesakit.
Abdul Hafiz Faizal (kiri) bersama Dr Anwar Asyraff Abdul Aziz (tengah) mendengar sesuatu yang dinyatakan seorang pesakit.

Boleh kongsikan pengalaman paling tidak dapat anda lupakan sepanjang bergelar ahli fisioterapi?

Ada satu pengalaman yang benar-benar tidak dapat saya lupakan dan sentiasa mengingatkan saya tentang makna mendalam profesion pekerjaan ini. Ia melibatkan seorang pesakit muda yang mengalami kecederaan tulang belakang yang serius akibat kemalangan jalan raya.

Pesakit tersebut, seorang remaja berusia 17 tahun, pada mulanya datang dengan perasaan putus asa kerana dia diberitahu bahawa kemungkinan untuk berjalan semula adalah sangat tipis. Semasa sesi pertama kami, saya dapat melihat ketakutan dan ketidakpastian di matanya. Dia seorang atlet berbakat sebelum kemalangan, ketika itu dia menjangkan masa hadapannya adalah gelap.

Saya menggunakan setiap teknik dan pendekatan yang saya pelajari untuk membantu menguatkan ototnya dan meningkatkan mobiliti di samping memberi sokongan emosi.

Selepas berbulan-bulan bekerja keras, dia akhirnya dapat berdiri dan mengambil beberapa langkah pertama. Melihat air mata kegembiraan dan rasa syukur di wajah serta reaksi keluarganya, ia merupakan momen yang sangat menyentuh hati. Saya juga tidak dapat menahan air mata, merasakan usaha kerja keras kami selama ini tidak sia - sia.

Pengalaman ini mengajar saya bahawa bidang fisioterapi bukan hanya tentang memulihkan fungsi fizikal, tetapi juga tentang memberikan harapan dan mengembalikan semangat hidup kepada pesakit.

Apa perkara utama yang perlu bagi seseorang ahli fisioterapi untuk mengelak kesulitan dalam menjalankan tugas?

Sebagai seorang ahli fisioterapi, terdapat beberapa perkara utama yang perlu dielakkan sewaktu menjalankan tugas bagi memastikan rawatan yang selamat, berkesan dan beretika.

Malah, ahli fisioterapi juga perlu sentiasa menjaga dan membina hubungan yang erat dengan pesakit supaya proses pemulihan pesakit dapat dilakukan dengan lancar dan berkesan.

No Image Caption

INFO

Perkara yang perlu dielakkan oleh ahli fisioterapi.

1) Mengabaikan penilaian penyeluruh.

Setiap pesakit mempunyai keperluan dan keadaan yang unik, jadi adalah penting untuk memahami sepenuhnya situasi mereka sebelum merancang sebarang intervensi.

2) Menggunakan teknik yang tidak terbukti.

Rawatan harus berdasarkan kepada amalan terbaik dan bukti yang diperoleh dari kajian yang diiktiraf untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan.

3) Mengabaikan komunikasi dengan pesakit.

Ahli fisioterapi perlu mengelakkan sikap tidak peduli atau komunikasi tidak jelas dengan pesakit. Komunikasi yang baik penting bagi membina kepercayaan dan membuatkan pesakit rasa dihargai.

4) Elak memberikan harapan palsu.

Ahli fisioterapi harus bersikap jujur tentang prognosis dan batasan rawatan untuk mengelakkan kekecewaan dan hilang kepercayaan.

5) Mengabaikan protokol keselamatan.

Menggunakan teknik atau peralatan yang betul dan selamat supaya tidak menyebabkan kecederaan kepada pesakit dan diri sendiri.

6) Tidak menghormati kerahsiaan pesakit.

Kerahsiaan dan privasi pesakit adalah aspek etika yang penting yang perlu dipatuhi dalam setiap situasi.

7) Mengabaikan perkembangan profesional.

Setiap ahli fisioterapi harus mengikuti perkembangan terkini dalam bidang mereka melalui pendidikan berterusan dan latihan profesional.

Dengan mengelakkan perkara-perkara ini, seorang ahli fisioterapi dapat memberikan rawatan yang berkualiti tinggi, berkesan dan beretika serta membina hubungan yang kuat dan berkesan dengan pesakit.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp