SERONOK... Anak-anak istimewa ini gembira dibawa bermain tenpin boling
SERONOK... Anak-anak istimewa ini gembira dibawa bermain tenpin boling

Potensi pelajar OKU terserlah

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
22 Sep 2025 10:30am

Seramai 61 pelajar orang kurang upaya (OKU) melangkah penuh semangat ke arena boling, menjadikan setiap balingan bukan sekadar usaha menjatuhkan pin tetapi lambang keberanian, fokus dan ketahanan diri yang mengagumkan.

Sukan yang kelihatan santai ini sebenarnya membawa impak besar, khususnya dalam membantu pelajar istimewa menajamkan tumpuan, mengawal emosi dan membina keyakinan.

Dengan suasana ceria dan sokongan guru, sukan tenpin boling kini menjadi medium terapi yang menyeronokkan sekali gus membuka ruang untuk mereka mengembangkan potensi yang mungkin tidak disedari sebelum ini.

61 pelajar OKU seronok bermain tenpin boling bersama ibu bapa, guru-guru dan rakan. Gambar kecil: Suwaibatullaslamiah
61 pelajar OKU seronok bermain tenpin boling bersama ibu bapa, guru-guru dan rakan. Gambar kecil: Suwaibatullaslamiah

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Semenyih 2, Suwaibatullaslamiah Jalaludin, 54, berkata, idea tercetus berikutan pihak sekolah melihat terdapat kemudahan pusat boling yang berhampiran.

“Ini memudahkan pelaksanaan aktiviti sukan kerana pelajar juga tidak perlu berjalan jauh, malah ibu bapa dapat meluangkan masa untuk memberi sokongan serta bantuan.

“Ia bukan sahaja kerana faktor lokasi tetapi aktiviti mampu merangsang koordinasi motor halus dan kasar serta melatih kemahiran sosial anak-anak,” katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Lebih membanggakan, semangat kesukanan ini turut diraikan oleh guruguru dan ibu bapa pelajar sebagai usaha membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang di bilik darjah, malah seimbang dari aspek sahsiah serta emosi.

Bukan itu sahaja, pihak sekolah turut membawa penampilan khas iaitu atlet boling paralimpik negara, Muhamad Amin Abd Rashid dan Rizal Hassan. Kongsi Suwaibatullaslamiah, perubahan paling ketara yang pihak sekolah lihat ialah murid lebih bersemangat, berkeyakinan dan semakin berani bergaul dengan rakan.

“Mereka juga nampak lebih fokus dan seronok apabila dapat mencapai kejayaan semasa bermain.

“Lagipun terapi boling ini sudah dimasukkan dalam instrumen penilaian berasaskan alam sekitar (eBal) Pentaksiran Alternatif Pendidikan Rendah (PAPR). Jadi ia selari dengan perancangan intervensi pelajar istimewa,” katanya.

Lebih fleksibel

Tenpin boling dilihat antara sukan yang paling fleksibel untuk anak-anak istimewa.

Tidak memerlukan pergerakan yang terlalu kompleks, permainan ini memberi ruang kepada pelajar berkeperluan khas untuk menyesuaikan diri mengikut kemampuan masingmasing.

Asma (kiri) bersama salah seorang atlet boling paralimpik.
Asma (kiri) bersama salah seorang atlet boling paralimpik.

Guru Pendidikan Khas Integrasi SK Jalan Semenyih 2, Asma Zahari, 33, pula berkata, sukan itu fleksibel kerana peraturannya boleh diubah suai, beban fizikal yang sederhana dan lebih inklusif untuk pelbagai kategori murid kelainan upaya.

“Ia sangat sesuai dijadikan terapi kerana membantu koordinasi mata dan tangan, kawalan motor halus dan kasar, serta fokus murid untuk menjatuhkan pin.

“Dengan hanya menggolekkan bola ke arah pin, mereka bukan sahaja merasai keseronokan bermain tetapi turut berpeluang melatih fokus dan keyakinan diri.

“Lebih menarik, tenpin boling boleh diubah suai dengan penggunaan alat bantuan khas agar semua pelajar dapat merasai pengalaman yang sama tanpa rasa terpinggir,” katanya.

Tersimpan istimewa

Setiap anak istimewa hadir dengan keunikan tersendiri seperti cemerlang dalam kemahiran, ada pula lebih menonjol dengan kesenian atau keupayaan berfikir.

Begitu juga dalam aktiviti sukan, tahap kebolehan mereka berbeza mengikut keupayaan fizikal, emosi dan tumpuan.

Ibu bapa turun padang untuk membantu anak istimewa mereka bermain tenpin boling seperti pelajar normal.
Ibu bapa turun padang untuk membantu anak istimewa mereka bermain tenpin boling seperti pelajar normal.

Jelas Asma, terdapat murid yang memerlukan bimbingan lebih rapat dan ada pula yang tantrum kerana perlu menunggu giliran untuk membuat balingan boling.

“Kami juga perlu pastikan keselamatan terjaga dan beri arahan dengan cara yang mudah difahami. “Dengan pendekatan berperingkat, cabaran ini dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Dengan pendekatan yang sesuai, setiap anak OKU ini mampu menikmati pengalaman serupa, malah ia ruang untuk membina keyakinan dan asah bakat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp