Impian dan harapan dengan percikan api
Karier sebagai jurukimpal profesional terutamanya melibatkan bidang dalam air, semakin menjadi pilihan anak muda yang mengikuti kursus itu di mana-mana institusi kemahiran.
Selain mencabar dan memerlukan kemahiran tinggi, bidang kerjaya tersebut turut menawarkan pendapatan lumayan yang sedikit sebanyak menarik lagi minat golongan muda.
Bahkan, jika dilihat program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), ia semakin menjadi rebutan pelajar terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila kerajaan turut mengangkat bidang itu sebagai pilihan pertama.
Salah satu kursus TVET yang popular adalah teknologi kimpalan yang ditawarkan di bawah Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
Sinar Bestari menemu bual dua pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor bagi mendapatkan pandangan mereka tentang kelebihan mempelajari ilmu kimpalan.
KISAH 1
Muhammad Ammar Haziq Rosidi merupakan pelajar Tahun Dua dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan).
Dia menyatakan rasa bersyukur kerana memilih jurusan itu kerana bukan sahaja didedahkan dengan ilmu yang melibatkan tentang penghasilan sesuatu produk, malah turut berpeluang mempelajari ilmu kimpalan.
Dia yang berasal dari Pahang itu berkata, tidak rugi untuknya mendalami ilmu kimpalan kerana ia menawarkan skop pekerjaan yang luas buat semua graduan, selain mereka boleh memilih untuk menceburi mana-mana bidang seperti minyak dan gas.
“Saya pilih jurusan yang ada kimpalan ini sebab tengok mereka (pelajar lain) boleh menceburi banyak bidang pekerjaan.
“Bahkan di sini juga, saya tidak belajar secara teori sahaja tetapi turut diajar secara teknikal yang memudahkan pelajar untuk memahami sesuatu perkara dalam kimpalan,” katanya kepada Sinar Bestari. Akuinya, walaupun orang luar menganggap bidang ini bahaya, namun sebenarnya jika diterapkan dengan unsur keselamatan diri, segala risiko dapat dielakkan.
Ditanya mengenai cita-citanya setelah tamat pengajian, Ammar memberitahu memasang impian untuk menjadi jurukimpal dalam air.
Walaupun sudah mengetahui akan bahaya dan cabaran pekerjaan itu, dia menyatakan sudah bersedia kerana minat yang mendalam terhadap bidang terbabit.
KISAH 2
Bagi Mohamad Aisaac Zuhayr Louis Lolin, dia sanggup merantau jauh untuk mempelajari bidang kimpalan di PSA.
Kongsi pelajar yang berasal dari Sandakan, Sabah itu, dia tertarik melihat bagaimana setiap besi-besi dicantum seterusnya menyuntik minat untuk terus mengikuti pembelajaran secara lebih mendalam.
“Dari dahulu lagi saya tertarik melihat setiap besi yang dicantum sekali gus menarik minat saya untuk mempelajari kursus kimpalan ini.
“Sekarang saya bukan sahaja belajar tentang besi tetapi didedahkan dengan ilmu-ilmu lain seperti produk pembungkusan dan sebagainya,” katanya.
Dia yang bercita-cita menjadi tenaga pengajar dalam bidang kimpalan ini turut memberitahu, ingin menabur semula bakti kepada pelajar-pelajar baharu dengan ilmu yang diperolehinya kini.
“Saya rasa belajar secara teknikal seperti jurusan kimpalan ini lagi bagus sebenarnya daripada belajar teori sahaja.
“Ia kerana melalui teknikal, kita akan nampak dengan lebih jelas akan sesuatu perkara.
“Malah belajar secara teknikal juga memberikan pengalaman secara terus kepada pelajar,” ujarnya.