Muhammad Hanif (kiri) memberi tunjuk ajar tentang cara mencantumkan besi kepada pelajarnya.
Muhammad Hanif (kiri) memberi tunjuk ajar tentang cara mencantumkan besi kepada pelajarnya.

Kerjaya jurukimpal, bidang pekerjaan yang luas

Pelajar kemahiran bukan hanya belajar teori tapi juga belajar secara teknikal

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
04 Jun 2024 11:20am

Sempena Hari TVET Negara 2024, Sinar Bestari bawakan artikel menarik mengenai bidang kimpalan yang menjadi rebutan majikan industri masa kini.

Mereka yang berminat dengan jurusan ini, bolehlah mengikuti kursus berkenaan di institusi kemahiran atau institusi pendidikan tinggi seperti Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam, Selangor.

*****

Bidang kemahiran sememangnya semakin diangkat sejak akhir-akhir ini kerana ia bukan sahaja menawarkan platform pembelajaran secara teknikal (hands on) malah turut boleh menjamin pekerjaan yang lumayan pada masa akan datang.

Ini termasuklah kursus kimpalan yang banyak ditawarkan di mana-mana institusi kemahiran dalam dan luar negara kerana kepentingannya yang berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia.

Bahkan, kursus ini juga memberikan prospek pekerjaan yang meluas dalam sektor industri buat pelajar yang tamat pengajiannya kelak.

Menurut Penyarah Utama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, PSA, Dr Norasiah Muhammad, kimpalan merupakan salah satu bidang kemahiran yang memberi jaminan pekerjaan kepada graduan kerana ia merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia.

Katanya, ia juga merangkumi pelbagai bidang yang memerlukan kemahiran kimpalan sama ada dalam automotif, pembuatan, minyak dan gas mahupun angkasa lepas.

Artikel Berkaitan:

“Justeru saya boleh katakan, pelajar yang belajar ilmu kimpalan ini sememangnya satu kelebihan kerana mereka mempunyai banyak peluang dan cabang sekiranya ingin mendapat pekerjaan selepas tamat nanti.

Norasiah
Norasiah

“Bahkan, mereka juga boleh menggunakan ilmu kimpalan yang telah dipelajari untuk memberi tunjuk ajar kepada pelapis-pelapis baru yang berminat menceburi bidang tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari.

Bercerita lanjut mengenai bidang kimpalan yang ditawarkan di PSA, Norasiah memberitahu, ia adalah kursus yang perlu dipelajari oleh mereka yang mengambil Diploma Kejuruteraan Mekanikal Am dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembungkusan.

Menariknya, mereka bukan sahaja didedahkan secara teoretikal tetapi juga berpeluang mempelajari secara teknikal oleh tenaga pengajar yang berkemahiran dan berpengalaman.

Malah, beliau yang sudah berkhidmat sebagai pengajar kursus itu sejak 2001 memaklumkan, peluang mempelajari kimpalan turut terbuka kepada pelajar bekeperluan khas seperti pekak dan bisu di bawah Sijil Kemahiran Penyelenggaraan Mekanikal.

“Walaupun orang luar melihat kursus kimpalan ini sebagai satu perkara yang bahaya sebab bermain dengan api dan sebagainya.

“Namun sekiranya kita terapkan kepada pelajar aspek keselamatan nescaya mereka sebenarnya lebih mahir dalam menggendalikan setiap aspek dalam kursus berkenaan,” ujarnya lagi.

Selain itu, melihat kepada bidang kimpalan yang semakin mendapat perhatian anak muda khususnya jurukimpal dalam air, Norasiah menyatakan kursus berkenaan akan ditambah baik dari tahun ke tahun.

Malah, dengan peningkatan teknologi yang memberi perhatian kepada robotik juga telah mencetuskan idea baru untuk memperkenalkan kimpalan robotik yang mana akan menarik lebih ramai untuk meminati bidang kimpalan.

No Image Caption

Cabaran mendidik dalam kimpalan

Ditanya mengenai cabaran dalam mendidik pelajar tentang kemahiran kimpalan, seorang lagi pensyarah PSA yang merupakan Ketua Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan), Ts Muhammad Hanif Selamat berpendapat, tiada istilah senang dalam meraih sesuatu perkara.

Baginya, kebanyakan pelajar kursus ini sudah sedia maklum akan cabaran dalam proses pembelajaran jadi mereka tidak mudah menjadikan ia alasan untuk berputus asa.

“Saya sebagai pengajar hanya memberi tunjuk ajar yang terbaik agar mereka dapat dilengkapkan dengan ilmu sebelum tamat pengajian.

“Cabaran lain sebagai pengajar mungkin dapat dilihat daripada perbezaan latar belakang pelajar menjadikan ada sesetengah mereka mudah untuk diajar dan selebihnya pula sebaliknya.

Muhammad Hanif
Muhammad Hanif

“Tapi alhamdulillah setakat ini mereka memang berkebolehan dan menunjukkan minat kerana itu yang paling penting,” katanya.

Sebagai alumni, Hanif turut berharap agar jurusan kimpalan ini terus mendapat perhatian lebih ramai pelajar agar dapat melahirkan lebih ramai graduan jurutera.

Ini sekali gus dapat meneruskan pembangunan negara agar dapat menjadi negara maju sama dengan negara luar suatu hari nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp