Muhammad Amir menunjukkan beberapa produk kuih dan biskut raya dihasilkan SMPK Vokasional Kuantan.
Muhammad Amir menunjukkan beberapa produk kuih dan biskut raya dihasilkan SMPK Vokasional Kuantan.

Kuih raya anak istimewa SMPK Vokasional Kuantan

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
17 Apr 2023 11:37pm

Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Kuantan, Pahang, merupakan antara sekolah yang mendidik anak-anak istimewa di negara ini.

Kegigihan warga pendidik sekolah berkenaan mempersiapkan pelajar-pelajar dengan pelbagai ilmu dan kemahiran sebelum melangkah ke alam pekerjaan seharusnya diberikan pujian.

Salah satu kemahiran yang ditawarkan adalah membuat kuih dan biskut raya.

Muhammad Amir Asyraf Noor Asmawi yang merupakan salah seorang pelajar seni membuat kuih dan biskut raya berkata, dia mula mempelajari pembuatan kuih raya apabila memasuki SMPK Vokasional Kuantan.

“Pembabitan dalam pembuatan kuih raya telah meningkatkan minat saya dalam pembelajaran bakeri dan pastri,” ujarnya.

Dia yang merupakan pelajar bermasalah pembelajaran memberitahu, antara kuih raya yang dipelajari adalah semperit, biskut oreo, cornflakes madu, biskut coklat cip dan button cookies.

Muhammad Amir Asyraf
Muhammad Amir Asyraf

Artikel Berkaitan:

Begitupun, tutur anak kedua daripada enam beradik itu, dia agak sukar untuk membikin kuih semperit.

“Biskut yang paling senang untuk dibuat adalah coklat cip manakala saya paling gemar membuat biskut oreo.

“Ini kerana adunan biskut oreo tidak begitu sukar dan mudah untuk dipelajari,” tuturnya lanjut.

Muhammad Amir menambah, dia mendapat didikan dalam bidang berkenaan melalui dua guru sekolah terbabit iaitu Masriah Ismail dan Nur Hanani Hamzah.

Dia menjelaskan, kedua guru itu mengajar dengan penuh kesabaran menjadikan pengajaran lebih mudah.

“Selain itu, ibu sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada saya dalam pembuatan kuih raya.

“Saya berharap dapat membuka bakeri sendiri satu hari nanti untuk memberi peluang kepada orang ramai merasai hasil tangan saya,” katanya.

Info

Biskut Oreo

  • Panaskan oven dengan suhu 350 darjah Fahrenheit.
  • Masukkan Oreo ke dalam beg plastik dan hancurkan dalam bentuk kasar.
  • Ayak tepung dengan serbuk penaik dan garam.
  • Pukul mentega dengan shortening di dalam sebuah mangkuk sambil memasukkan esen vanila dan gula. Pukul bahan-bahan berkenaan sehingga menjadi ringan dan gebu.
  • Selepas itu, masukkan telur dan kacau sehingga sebati.
  • Campurkan adunan bahan kering (campuran tepung), coklat cip dan Oreo ke dalam mangkuk serta gaul kesemua bahan tersebut.
  • Sediakan dulang pembakar dengan beralas kertas minyak, susun adunan menggunakan sudu bulat di atas dulang pembakar. Pastikan jarak adalah antara lima sentimeter (sm).
  • Apabila sudah tersusun cantik di atas dulang, ia dibakar dalam tempoh 10 hingga 12 minit sehingga kelihatan perang keemasan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp