Kontinjen Malaysia meraikan kejayaan cemerlang dengan merangkul pingat emas dan perak bagi kategori 'Puck Collector Junior' di International RobotChallenge 2025, Beijing.
Kontinjen Malaysia meraikan kejayaan cemerlang dengan merangkul pingat emas dan perak bagi kategori 'Puck Collector Junior' di International RobotChallenge 2025, Beijing.

'Level' dunia! Malaysia gondol pingat emas dan perak di RobotChallenge 2025

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
27 Aug 2025 02:30pm

Malaysia kembali mencipta sejarah apabila pasukan yang diketuai oleh World of Robotics Sdn Bhd berjaya membawa pulang pingat emas dan perak dalam kategori Puck Collector Junior, International RobotChallenge World Championship 2025 di Gymnasium of Beijing Science and Technology University, China.

Pertandingan berprestij yang berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos itu disertai wakil daripada lebih 40 negara, menyaksikan kehebatan pasukan Malaysia mengatasi pencapaian tahun lalu yang hanya meraih satu perak dan satu gangsa.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan kemampuan anak-anak Malaysia bersaing dengan jaguh robotik dunia.

Sejak Mei lalu, pasukan ini menjalani latihan intensif merangkumi aspek teknikal, disiplin, daya ketahanan serta kerjasama berpasukan. Komitmen tinggi para pelajar, bimbingan jurulatih dan sokongan ibu bapa menjadi kunci kepada kejayaan di pentas antarabangsa ini.

Sesi bergambar barisan pemenang pingat emas, perak dan gangsa kategori 'Puck Collector Junior'.
Sesi bergambar barisan pemenang pingat emas, perak dan gangsa kategori 'Puck Collector Junior'.

Pengasas dan Pengarah Urusan World of Robotics Sdn Bhd, Lee Yew Kein, menyifatkan pencapaian pasukan sebagai bukti bahawa pelajar Malaysia mampu melakar kecemerlangan dunia dengan kerja keras dan bimbingan yang betul.

“Pingat emas ini adalah hasil daripada usaha kolektif seluruh pasukan dan sokongan berterusan daripada ibu bapa serta jurulatih. Kejayaan berkenaan membuktikan bahawa dengan semangat juang tinggi, tiada yang mustahil untuk dicapai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan ini hanyalah langkah permulaan. Misi seterusnya adalah melahirkan lebih ramai pelajar Malaysia dengan kemahiran robotik bertaraf dunia serta menjadikan negara sebagai pusat bakat robotik serantau.

World of Robotics Sdn Bhd juga merancang untuk melibatkan lebih banyak sekolah, melatih ribuan pelajar dan membuka peluang penyertaan di peringkat antarabangsa.

Dengan komitmen berterusan dan sokongan pelbagai pihak, Malaysia diyakini mampu muncul sebagai kuasa besar dalam bidang robotik dan teknologi, sekaligus melahirkan generasi pemimpin inovasi masa depan.

Tahniah Sinar Bestari ucapkan!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp