Gambar (atas, kiri) Pelajar menunjukkan kaedah membentuk patung daripada gula aising.
Gambar (atas, kiri) Pelajar menunjukkan kaedah membentuk patung daripada gula aising.

Malaysia 'syurga makanan' tarik minat pelajar kulinari

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
02 Dec 2024 01:00pm

Industri hospitaliti bidang pembuatan kek, roti dan pastri semakin mendapat perhatian khususnya generasi muda yang mengikuti jurusan itu di universiti.

Ia didorong oleh kemunculan beberapa kafe ‘hipster’ yang menjadi trend sekali gus ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Melalui kursus ini, tidak hanya melibatkan pelajar Malaysia, malah menarik minat anak muda dari luar negara untuk berkecimpung dalam bidang seni pastri.

Tahukah anda, bidang ini juga menjadi salah satu cabang kerjaya sekali gus memerlukan seseorang pelajar memiliki skil atau kemahiran.

Kali ini, Sinar Bestari menemu bual tenaga pengajar yang juga Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Patisserie dengan (Kepujian) dari Taylor’s University, Chef Shahril Nizam Shamsudin mengenai kerjaya pembuatan pastri, kek dan roti.

Chef Shahril Nizam
Chef Shahril Nizam

Malaysia ‘syurga makanan’ tarik minat pelajar kulinari

Tidak dinafikan, masih terdapat sesetengah pihak yang kurang didedahkan mengenai seni kulinari.

Artikel Berkaitan:

Ramai juga tidak tahu cabang ini berkait rapat dengan perkembangan industri hospitaliti dan pelancongan, yang sedikit sebanyak menyumbang kepada ekonomi negara.

Malah, Malaysia yang sering dilabel sebagai ‘syurga makanan’ oleh pelancong serata dunia menjadikan bidang ini semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan para pelajar yang berminat mempelajari kemahiran, lebih-lebih lagi jurusan penghasilan pastri.

Chef Shahril Nizam berkata, cabang pengajian melibatkan bidang ini sangat luas dan subjektif, menjadikan ia satu kerjaya yang terbuka untuk diterokai oleh para pelajar.

Ujarnya, melalui pengkhususan pastri, ia boleh bergerak menjadi pembelajaran melibatkan ilmu dalam penghasilan pelbagai pencuci mulut dan manisan yang boleh dikategorikan dalam pembuatan pastri, kek, roti dan konfeksioneri.

Justeru, pelajar jurusan ini boleh menceburi pelbagai bidang kerjaya yang mana ia menjadi salah satu keperluan industri masa kini terutama melibatkan dunia makanan.

“Kebiasaannya, pelajar jurusan ini akan menjadi seorang cef. Sekiranya masuk dalam bidang perhotelan, mereka akan bermula sebagai pembantu cef.

“Selain itu, mereka juga boleh menjadi baker yang mengkhusus dalam pembuatan roti dan juga boleh menceburi bidang lain seperti pereka kek, pembuat coklat dan konfeksi chocolatier atau menceburi keusahawanan dengan memulakan bakeri atau kafe sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari baru-baru ini.

No Image Caption

Keperluan industri

Bercerita lebih lanjut mengenai silibus pembelajaran, Chef Shahril memberitahu, Taylor’s University menerapkan silibus yang lengkap dan menyeluruh agar graduan lulusan jurusan ini mempunyai pelbagai pilihan serta peluang kerjaya yang meluas.

Ijazah Sarjana Muda Seni Patisserie dengan (Kepujian) di Taylor’s University dibangunkan mengikut kehendak dan keperluan industri yang semakin berkembang dari tahun ke tahun.

Program ini juga menawarkan ciri-ciri unik yang membezakan ia dengan program dari institusi lain dalam bidang pendidikan seni pastri seperti program pertukaran pelajar dengan universiti luar negara dan penganugerahan dua ijazah diiktiraf oleh Taylor's University dan juga Universiti Toulouse Jean Jaurès, Perancis.

Di samping itu, para pelajar berpeluang menjalani latihan industri selama enam bulan di restoran bertaraf Michelin hotel terkemuka dalam dan luar negara untuk memperoleh pengalaman praktikal daripada cef yang berpengalaman.

“Tambahan pula, selain belajar subjek atau modul asas seperti Principal of Pastry, program ini merangkumi sembilan subjek praktikal yang lain seperti Creative Modern Pastry, Asian Patisserie and Dessert, Chocolate and Confectionary, Celebration and Designer Cake dan lain-lain.

"Pelajar juga diberi pendedahan mengikuti modul Principles of Culinary agar membolehkan mereka mengetahui asas penyediaan makanan barat sejajar dengan keperluan asas di dalam industri kelas.

“Ia akan membantu pelajar untuk lebih memahami dan mendalami tentang ilmu melibatkan jurusan berkenaan selain dapat membantu mempersiapkan mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” jelasnya lagi.

Ramai pelajar perempuan

Ditanya mengenai persepsi masyarakat terhadap jurusan ini, Chef Shahril menjelaskan tanggapan bahawa memang benar, pelajar perempuan lebih cenderung mengikuti jurusan pastri, namun ia tidaklah sehingga tiada kemasukan daripada pelajar lelaki.

Katanya, ia bergantung kepada minat serta keperluan graduan di pasaran.

“Saya boleh katakan nisbah kemasukan pelajar perempuan berbanding lelaki adalah 3:1, dan ada peningkatan kemasukan pelajar lelaki yang mendaftar.

“Bidang kulinari itu sendiri sangat luas, jadi kepada pelajar lelaki atau perempuan yang berminat untuk menyambung jurusan ini jangan teragak-agak untuk mencuba.

“Sekiranya berminat daripada mula tidak salah untuk meneroka dengan lebih mendalam kerana kebiasaanya pelajar yang ada minat dari awal, insya-ALLAH akan mudah untuk mengikuti pengajian dan mencapai apa yang diinginkan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp