Pelajar menyediakan hidangan dari dapur FIM.
Pelajar menyediakan hidangan dari dapur FIM.

Pelajar nakal ke industri masakan

Perkongsian Fahrin Iskandar temui arah tuju hidup

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
14 Apr 2025 09:34am

Setiap pelajar pastinya mempunyai impian yang ingin digapai. Impian itu bukan sekadar anganangan kosong, sebaliknya mampu menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah jauh dalam dunia pembelajaran.

Sejak kecil, anak-anak diasuh dengan pelbagai nilai murni yang mana mereka diajar mengenal usaha, ketekunan serta harapan. Dalam kamus hidup mereka, kegagalan bukanlah noktah terakhir, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih cerah.

Sama ada bercita-cita menjadi doktor, guru, jurutera, angkasawan atau tokoh dalam bidang tertentu, setiap impian bermula dengan langkah pertama.

Cita-cita bukan sahaja mencerminkan keperibadian seorang pelajar, malah cerminan masa depan sesebuah bangsa.

Namun, perasaan itu tidak pernah dirasai oleh Fahrin Iskandar Zaidi, 20, yang mengakui dirinya pernah hilang arah selepas menamatkan persekolahan.

“Sejujurnya, saya tidak tahu hendak ke mana selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ibu dan ayah juga meluahkan rasa risau kerana saya seperti tiada hala tuju selepas habis sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari.

Fahrin mengakui dirinya merupakan pelajar yang nakal dan sering ponteng kelas ketika di bangku sekolah.

Namun, tetap menyimpan hasrat untuk mengubah hidup selepas tamat persekolahan.

Artikel Berkaitan:

Nasib Fahrin mula berubah apabila abangnya mengetahui tentang tajaan yang ditawarkan oleh syarikat Mahsuri Dagang Sdn Bhd.

Gambar kecil, Fahrin Iskandar.
Gambar kecil, Fahrin Iskandar.

Tanpa berfikir panjang, dia mendaftarkan diri dan sejak itu, bibit-bibit impian mula bercambah dalam dirinya.

“Pada mulanya, saya sekadar mengikuti program itu tanpa minat mendalam tetapi selepas beberapa sesi kuliah, saya mula memberikan perhatian dan menyedari minat dalam bidang kulinari semakin berkembang,” ujarnya lagi.

Kini, Fahrin merupakan pelajar di Institusi Makanan Malaysia (FIM) dan sedang menimba ilmu dalam bidang kulinari secara profesional.

“Saya bersyukur kerana mendapat peluang untuk menunjukkan bakat dalam dunia kulinari. Melalui tajaan ini, saya bukan sahaja mendalami masakan Melayu, malah memperoleh pengalaman berharga yang membantu diri melangkah lebih jauh dalam industri ini,” katanya penuh semangat.

Bagi Fahrin, ini titik permulaan yang membuka jalan untuk mencapai impiannya bergelar cef muda. Kisahnya menjadi bukti bahawa tiada istilah terlambat untuk berubah. Asalkan ada kesungguhan, impian pasti mampu digapai.

Realiti dunia kulinari

Sudah menjadi sebahagian daripada silibus pembelajaran di institusi pengajian tinggi untuk pelajar menjalani latihan industri sebagai persediaan menempuh alam pekerjaan sebenar.

Latihan ini bukan sekadar memenuhi syarat akademik tetapi memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu teori yang dipelajari ke situasi sebenar di tempat kerja.

Bagi Fahrin, pengalaman menjalani latihan industri membuka matanya terhadap cabaran dunia dapur yang sebenar.

Biarpun dibantu oleh barisan pekerja dan cef berpengalaman, Fahrin mengakui dirinya agak kekok pada minggu awal menjalani latihan, hingga sering dimarahi oleh ketua jurumasak.

“Saya tidak ambil hati apabila dimarahi sebab masih baharu dalam industri kulinari. Dalam kelas, kita belajar teori tetapi apabila masuk dapur sebenar, semuanya bergantung kepada tempahan dan masa,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp