No Image Caption

Pelajar SMK Jalan Kebun bangunkan inovasi 'Eco Friendly Stool'. Kreatifnya mereka

Pendekatan PdPc kreatif melahirkan idea inovatif pelajar

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
18 Aug 2025 11:30am

Siapa sangka, himpunan botol plastik terbuang menjadi produk kreatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah simbol kelestarian alam sekitar di sekolah.

Guru pembimbing Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, Akmal Afifah Mohd Ramli, 29, berkata, inovasi dihasilkan melalui Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) untuk menzahirkan pemikiran kreatif dan kritis para pelajar.

"Projek kitar semula Eco Friendly Stool ini merealisasikan hasrat, cita-cita dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk menjadi pelengkap dalam kurikulum.

"Aktiviti ini membolehkan pelajar Tingkatan 3 mencapai Tahap Penguasaan 6 dalam Pentaksiran Bilik Darjah. Ia sejajar dengan kehendak dan keperluan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menekankan kepada kemenjadian murid," katanya susulan penyertaan sekolah itu dalam Karnival Memacu Reformasi Pendidikan Madani: Seminar Menjana Aspirasi Naratif Inovasi Selangor 2025 (K-Semanis) di Hotel Wyndham Acmar Klang, Selangor baru-baru ini.  

Pelajar SMK Jalan Kebun (dari kiri) Sharnia Reena, Nur Alya Adrianna dan Muhammad Afiq Irfan yang membentangkan produk mereka di K-Semanis baru-baru ini.
Pelajar SMK Jalan Kebun (dari kiri) Sharnia Reena, Nur Alya Adrianna dan Muhammad Afiq Irfan yang membentangkan produk mereka di K-Semanis baru-baru ini.

Jelas Akmal Afifah, produk inovasi itu disiapkan dalam tempoh hanya empat minggu.

Katanya lagi, pendekatan modular digunakan untuk memastikan setiap langkah penyediaan bangku berjalan teratur.

Artikel Berkaitan:

"Botol mineral dan kotak menjadi bahan utama kemudian diolah menjadi sebuah bangku serbaguna yang kukuh serta praktikal.

"Kini, bangku itu ditempatkan di taman berhampiran kantin dan menjadi tempat rehat baharu kegemaran pelajar," katanya.

Lebih daripada sekadar menyelesaikan isu tempat duduk, inovasi ini membuktikan bahawa kesedaran terhadap alam sekitar boleh bermula di bilik darjah.

Pasukan SMK Jalan Kebun merangkul Anugerah Perak menerusi produk bangku mesra alam sekitar atau 'Eco Friendly Stool' dalam K-Semanis.
Pasukan SMK Jalan Kebun merangkul Anugerah Perak menerusi produk bangku mesra alam sekitar atau 'Eco Friendly Stool' dalam K-Semanis.

Inspirasi kepada pelajar

Seorang lagi guru pembimbing, Juhaiza Johari, 44, berkata, ia juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk berfikir di luar kotak sekali gus mencipta produk bermanfaat untuk masyarakat.

"Dengan sokongan guru dan semangat kerjasama yang tinggi, projek kitar semula ini diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak idea inovatif di sekolah.

"Sesungguhnya, apabila minda kreatif disatukan dengan hati yang prihatin, hasilnya mampu mengubah persekitaran, satu botol plastik pada satu masa," katanya.

Dengan semangat yang telah dipupuk, Juhaiza mengharapkan pelajar akan menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat sekali gus melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, kreatif dan mampu membawa perubahan positif kepada dunia.

Terdahulu, pasukan inovasi SMK Jalan Kebun diwakili oleh tiga pelajar Tingkatan Tiga iaitu Sharnia Reena Roy Resan, Nur Alya Adrianna Mohamad Faizal dan Muhammad Afiq Irfan Jamel.

Juhaiza (kanan) dan Akmal Afifah sama-sama membantu pelajar menyediakan bangku yang diperbuat daripada botol plastik.
Juhaiza (kanan) dan Akmal Afifah sama-sama membantu pelajar menyediakan bangku yang diperbuat daripada botol plastik.

Apa itu inovasi?

  • Inovasi merupakan proses menghasilkan idea, kaedah atau produk baharu yang membawa penambahbaikan dan memberi nilai tambah kepada kehidupan.
  • Ia bukan sekadar ciptaan baharu, tetapi boleh menambah baik sesuatu yang sedia ada supaya menjadi lebih mudah, berkesan dan bermanfaat.
  • Bantu murid dan guru cipta penyelesaian kreatif bagi menangani cabaran pembelajaran, meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta impak positif kepada komuniti sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp