Pensyarah IPG kongsi tip skor subjek Sejarah
Sebut sahaja tentang subjek Sejarah, ramai pelajar yang akan mengeluh.
Proses mengingat fakta-fakta sejarah terutamanya tarikh dan isi-isi penting peristiwa membuatkan ramai dalam kalangan mereka tidak begitu berminat dengan mata pelajaran tersebut.
Pada tahun 2010, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan Menteri Pendidikan mengumumkan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus bagi pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.
Hakikatnya, ia merupakan satu usaha yang sangat baik bagi menyuburkan pengetahuan terhadap sejarah negara di samping mengukuhkan jati diri sebagai warganegara.
Menurut Pensyarah Akademik Sejarah, Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, Perak, Dr Jayakumary Marimuthu, subjek Sejarah bukanlah subjek yang sukar untuk skor.
“Anda (pelajar) hanya perlu mempunyai keyakinan tinggi untuk cemerlang dalam Sejarah.
“Dalam masa sama, pelajar perlu ada tip terbaik bagaimana subjek Sejarah boleh dipelajari hingga mampu meraih keputusan cemerlang,” katanya kepada Sinar Bestari.
Berdasarkan kepakaran dan kemahiran dimiliki, Jayakumary tampil berkongsi 10 tip untuk pelajar skor dalam Sejarah.
1) Buang stigma
Pelajar mempunyai persepsi bahawa subjek Sejarah itu terlalu berat dan susah. Ini bermakna, persepsi tersebut perlu dibuang dari minda mereka. Tanamkan dalam minda yang Sejarah penting dan cara ini secara tidak langsung membantu akal fikiran memproses fakta-fakta sejarah dengan mudah.
2) Timba ilmu sebelum ke kelas
Sudah tentu pelajar tahu tajuk apakah yang akan diajar oleh guru Sejarah. Jika tidak, jumpalah guru untuk mendapatkan maklumat tersebut. Buat persediaan awal dengan mencari maklumat tentang topik yang akan diajar. Sama ada mahu membaca buku teks ataupun menonton video pembelajaran, itu bergantung dengan pendekatan masing-masing. Jika sudah ada ilmu di dada, pelajar akan lebih bersedia untuk mendengar penerangan guru Sejarah.
3) Bertanya kepada guru
Jangan malu bertanya dengan guru, sekiranya kurang memahami mana-mana topik. Guru Sejarah adalah sumber ilmu sejarah di sekolah. Mereka mempunyai pengetahuan sejarah dan pastinya akan membantu untuk membimbing pelajar.
4) Jadi watak sampingan
Setiap peristiwa sejarah mempunyai kronologi dan juga sebab-akibat. Untuk memudahkan pelajar memahaminya, gambarkan anda berada dalam peristiwa itu. Cuba rasa dan alami suasana yang wujud dalam peristiwa tersebut. Dengan ini, anda dapat memahami peristiwa itu dengan lebih baik.
5) Buat gambaran dalam minda
Menghafal fakta sejarah semata-mata tidak akan membantu pelajar sepenuhnya. Anda perlu bersikap kreatif, memahami fakta-fakta sejarah dan peristiwa serta olahkannya dalam bentuk peta minda. Pelajar boleh menggunakan berbagai bentuk peta minda dengan kreatif untuk diingati dengan mudah dan pantas.
6) Buat nota pendek
Membaca buku teks atau buku rujukan semata-mata amat membosankan. Jadi anda perlu kreatif iaitu menghasilkan nota pendek mengikut cara tersendiri. Gunakan pen berwarna-warni dan juga highlighter bagi menjadikan nota menarik.
7) Bina AKRONIM sendiri
Setiap topik sejarah mempunyai isi-isi penting yang perlu dingati. Jika ingin menghafalnya kesemuanya, ia memang sukar. Jadi, anda boleh membina AKRONIM sendiri untuk mengingat isi-isi penting. Hanya perlu mengingati AKRONIM sahaja dan secara automatik, isi-isi penting akan terpapar dalam minda pelajar.
8) Sentiasa segarkan semula (refresh) ingatan
Otak adalah pusat komputer kita. Setiap kali menerima maklumat, otak akan memproses dan menyimpannya. Pelajar haruslah sentiasa mengingat semula apa yang disimpan agar daya ingatan menjadi lebih baik.
9) Buat latih tubi
Membuat latihan secara berterusan menggunakan kertas percubaan, kertas peperiksaan SPM terdahulu dan kertas model menguatkan ingatan terhadap fakta-fakta sejarah. Pastikan pelajar slotkan 30 minit sehari untuk subjek Sejarah. Pasti anda akan menjadi pelajar Sejarah yang terbaik.
10) Tonton video pembelajaran
Ketika peperiksaan sudah hampir, kurangkan membaca buku teks dan buku rujukan kerana kedua-duanya padat dengan maklumat dan huraian panjang. Ini hanya akan menambahkan stres anda. Tontonlah video pembelajaran yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga guru-guru pakar Sejarah. Apabila menonton video-video ini, secara tidak langsung, minda anda akan menyegarkan semula fakta-fakta sejarah tersebut.