Muhd Ajmal Aiman
Muhd Ajmal Aiman

Pentingnya hayunan tepat

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
08 Sep 2025 12:30pm

Dalam sukan rejam lembing, bukan mudah untuk menghasilkan hayunan yang jauh dan tepat.

Atlet bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal mantap, malah kelajuan larian, teknik ranap dan fokus minda yang tinggi.

Setiap lontaran menuntut disiplin, latihan berterusan dan semangat juang luar biasa kerana lembing bukan sekadar melempar tetapi simbol gabungan sains, strategi serta daya tahan seorang atlet.

Jurulatih balingan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Muhd Ajmal Aiman Mat Hasan, 32, berkata, acara padang itu tidak memerlukan fizikal yang besar seperti lontar peluru dan cakera.

“Atlet tidak perlu yang berbadan besar untuk mendapatkan kekuatan rejaman seperti yang kita lihat pemain sukan lontar peluru.

“Sukan rejam lembing ini hanya memerlukan kelajuan pada larian dan kekuatan terhadap balingan lembing itu. Jadi, semua orang boleh bermain asalkan mereka bijak melontar lembing,” katanya yang juga jurucakap bagi acara padang SSBJ kepada Sinar Bestari.

Bagi yang belum mengetahui tentang sukan ini, ia menuntut teknik tersusun seperti kawalan badan yang mantap dan memerlukan lontaran mantap agar lembing boleh dilambung lebih jauh.

Muhd Ajmal Aiman berkata lagi, atlet perlu menggenggam lembing, mengaturkan corak langkah larian hingga ke teknik ranap dengan betul sebelum melepaskan lontaran.

Artikel Berkaitan:

“Setiap perincian itu memainkan peranan penting. Sebab itulah atlet tidak boleh main-main dengan sukan ini.

“Atlet yang memahami cara bermain dengan betul bukan sahaja membantu atlet mencapai prestasi terbaik, malah ia mengurangkan risiko kecederaan sekali gus menanam keyakinan diri dalam kalangan pelajar,” katanya.

Hanya perlu asah bakat atlet

Tidak semua pelajar yang memegang lembing akan terus menyerlah buat pertama kalinya. Itulah tugasan atau peranan seorang jurulatih untuk menggilap potensi terpendam setiap atlet.

Muhd Ajmal Aiman berkata, jurulatih bukan sekadar mengajar teknik asas tetapi merekalah yang membentuk disiplin, ketahanan fizikal dan keyakinan diri atlet.

“Usaha berterusan inilah yang akhirnya melahirkan atlet berwibawa dan bersedia mencipta kejayaan di pentas besar.

“Dalam setahun, pelajar yang mula bermain mesti boleh mendapatkan lontaran yang mantap sekiranya mereka boleh menyesuaikan diri dengan latihan yang diberikan.

“Mereka ini berbakat, cumaskill perlu diasah untuk lebih tajam,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp