Norsyakirah (kanan) meraih pingat emas selepas menumbangkan atlet Indonesia, Suci Wulandari 36-33 kategori bawah 45 kilogram (kg) Putri pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Norsyakirah (kanan) meraih pingat emas selepas menumbangkan atlet Indonesia, Suci Wulandari 36-33 kategori bawah 45 kilogram (kg) Putri pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Sukan silat negara, di sinilah lahirnya pendekar dan srikandi hebat serta handal

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 May 2023 09:16am

Sukan silat menjadi tumpuan seluruh rakyat di negara ini apabila barisan atlet pesilat negara membawa pulang tiga pingat emas sempena kejohanan Sukan SEA Kemboja 2023.

Barisan pesilat negara iaitu Norsyakirah Muksin, Nor Farah Mazlan dan Muhammad Izzul Irfan Marzuki telah menghadiahkan emas melalui kategori yang disertai mereka dalam sukan dwitahunan tersebut.

Norsyakirah memberitahu, kejayaan yang dilakar dalam Sukan SEA Kemboja 2023 adalah hasil latihan berterusan yang dilakukan selama ini.

“Kejayaan yang dirangkul menambahkan lagi semangat saya untuk terus berjaya di lapangan silat dan menjadi srikandi silat negara suatu hari ini,” ujarnya.

Susulan hadiah istimewa yang diperoleh tiga pesilat negara di Kemboja, Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi sejarah sukan silat sebagai informasi guru, pelajar dan orang ramai.

Silat merupakan salah satu seni bela diri Nusantara Melayu yang terkenal di seluruh dunia.

Ia setanding dengan seni bela diri lain seperti Muay Thai, Karate, Wushu dan Silambam.

Mengikut pandangan guru-guru tua, silat berasal daripada kata ilat, elat, elak, silap dan kilas iaitu bagi menggambarkan pengamal seni bela diri Melayu sebagai pakar mengelat dalam mengelak serangan dan mengaburi mata lawan.

Artikel Berkaitan:

Dalam persilatan, pesilat akan menggunakan beberapa senjata Melayu lama untuk membela diri.

Antara senjata tersebut adalah keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, tumbuk lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang.

Manakala bagi silat yang tidak menggunakan senjata, perlawanan atau pertandingan akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata).

Muhammad Izzul Irfan menghadiahkan emas ketiga kepada negara dalam kategori 60-65 kg Putra apabila mengalahkan lawannya dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33.
Muhammad Izzul Irfan menghadiahkan emas ketiga kepada negara dalam kategori 60-65 kg Putra apabila mengalahkan lawannya dari Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33.

Dalam dunia persilatan di negara ini, terdapat seorang individu yang telah diangkat sebagai ikon dalam seni silat.

Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Anuar Abdul Wahab.

Allahyarham merupakan anak kelahiran Bagan Tunjang, Sabak Bernam, Selangor.

Beliau mempelajari beberapa seni silat antaranya Silat Harimau, Silat Cekak, Silat Sendeng, Silat Kuntau Betawi, Seni Silat Helang Sewah dan Seni Silat Gayung Fatani.

Anuar merupakan tokoh silat yang sangat disegani dalam dunia persilatan.

Pelbagai sumbangan telah diberikan beliau dalam pembangunan silat di dalam negara mahupun antarabangsa.

Kerana jasa dan sumbangan yang dicurahkan itu, maka tidak hairanlah Allahyarham diberi gelaran Pendeta yang bermaksud individu yang memiliki kepelbagaian ilmu.

Nor Farah meraih emas kategori 45-50 kg Putri selepas menewaskan pesilat Singapura, Nadhrah Sharin 23-16.
Nor Farah meraih emas kategori 45-50 kg Putri selepas menewaskan pesilat Singapura, Nadhrah Sharin 23-16.

Sementara itu, dalam dunia persilatan hari ini, kita seharusnya berbangga kerana berjaya melahirkan ramai anak-anak muda yang bijak bersilat.

Antara yang sering dijadikan idola guru dan pelajar ialah Mohd Al Jufferi Jamari.

Mohd Al Jufferi ialah seorang ahli silat profesional Malaysia yang telah merangkul pelbagai anugerah sepanjang pembabitan dalam sukan silat.

Antara pencapaian terbaik anak kelahiran Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang, ini adalah meraih pingat emas dalam Kejohanan Silat Dunia Melaka 2022; pingat emas Kejohanan Silat Dunia Bali, Indonesia 2016; pingat emas Kejohanan Silat Dunia Phuket, Thailand 2015; 13 pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa di Kejohanan Peringkat Asia 2009 hingga 2022; Olahragawan Negeri Pahang 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 serta Olahragawan Harapan Pahang 2010, 2011 dan 2012.

Mohd Al Jufferi
Mohd Al Jufferi

Selain Mohd Al Jufferi, orang ramai juga harus berbangga dengan barisan pesilat muda yang makin mencipta nama dalam sukan silat.

Nama-nama seperti Sheik Farhan Sheik Alau’ddin, Muhammad Hazim Mohd Yusli, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, Nurzuhairah Mohd Yazid, Nurul Suhaila Mohd Saiful dan Nur Azlyana Ismail kini dikenali sebagai pendekar dan srikandi dalam skuad negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp