Warna pakaian yang neutral dan tidak keterlaluan membantu mencipta tanggapan pertama yang positif semasa temu duga berlangsung.
Warna pakaian yang neutral dan tidak keterlaluan membantu mencipta tanggapan pertama yang positif semasa temu duga berlangsung.

Tip memilih warna pakaian semasa temu duga

16 Oct 2024 10:15am

Pemakaian yang sesuai semasa temu duga mencerminkan tahap profesionalisme dan kesediaan calon untuk menghadapi alam pekerjaan.

Ia kerana, penampilan kemas dan berhemah secara tidak langsung membantu memberikan tanggapan pertama yang positif kepada penemuduga seterusnya meningkatkan keyakinan mereka terhadap kebolehan calon.

Kali ini, Sinar Bestari senaraikan empat tip berkenaan pemilihan warna pakaian untuk menghadiri temu duga.

Petua tersebut dipetik menerusi perkongsian beberapa perunding imej yang terkenal di negara ini.

Jom baca!

1) Pilih warna yang beri tanggapan profesional

Anda perlu sedar bahawa anda ialah seorang calon yang akan menemui bakal majikan untuk kali yang pertama. Jadi, 'impression' atau pandangan yang kita ingin tonjolkan kepada bakal majikan adalah pandangan yang profesional, cekap, mahir dan kita seorang yang serius mahukan kerja tersebut.

Jadi pemilihan warna pakaian perlu seiring dengan mesej-mesej tadi iaitu profesional, cekap dan mahir.

Artikel Berkaitan:

2) Pilih warna yang terdiri dalam kategori warna neutral

Terdapat dua istilah warna iaitu warna neutral dan warna fesyen. Dalam pemilihan pakaian untuk temu duga kerja, digalakkan untuk mengutamakan lebih banyak penggunaan warna neutral berbanding warna fesyen.

Jika ingin menggunakan pemakaian berasaskan warna fesyen, pilih warna yang tidak terlalu gelap atau terang. Boleh juga memilih warna fesyen yang mempunyai kepekatan sederhana atau pilih warna yang bersifat lembut atau warna pastel.

No Image Caption

3) Had bilangan warna yang boleh dipakai dalam satu penampilan

Jika menghadiri temu duga, pasti ramai juga calon yang tertanya-tanya mengenai berapa banyak warna yang boleh dipakai serentak pada satu-satu masa bukan? Jawapannya ialah tidak melebihi tiga warna.

Banyakkan warna neutral berbanding warna fesyen. Setidak-tidaknya, dalam penampilan anda, terdapat warna neutral 60 peratus dan warna fesyen kurang daripada itu. Jika warna fesyen terlebih pakai, anda tidak kelihatan seperti menghadiri temu duga sebaliknya seperti ingin menghadiri majlis.

4) Ambil kira latar belakang industri atau sektor sesebuah syarikat

Terdapat pelbagai jenis syarikat yang wujud dalam pelbagai industri di luar sana. Jika anda menghadiri temu duga, ambil tahu tentang industri atau sektor di mana syarikat itu berada.

Kenapa perkara ini penting? Ia kerana di luar sana ada sektor awam dan sektor swasta. Sektor awam dikenali sebagai sektor yang mana lebih tradisional dan serius sifatnya berbanding sektor swasta. Jadi, perkara ini juga akan diterjemahkan kepada pemilihan pakaian dan warna itu sendiri kerana lain industri, lain etika pemakaian yang diamalkan.

Bagi calon yang pertama kali bertemu dengan bakal majikan, disarankan supaya tetap tampil dengan penampilan yang sesuai dan rapi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp