Pengawal keselamatan sekolah, hero pelajar kita
GM Klang kenang jasa wira tidak didendang dengan inisiatif Bakul Merdeka Jaga
Selepas meraikan ulang tahun kemerdekaan yang jatuh pada 31 Ogos setiap tahun, rakyat Malaysia sekali lagi menyalakan semangat patriotik dengan sambutan Hari Malaysia pada hari ini iaitu 16 September.
Tahukah adik-adik, Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963?
Ia menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Sempena sambutan Hari Malaysia ke-61, Pusat Borong GM Klang tampil membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerjanya.
Jika sebelum ini merdeka amat sinonim dengan jasa pasukan keselamatan seperti polis, tentera dan sebagainya, kali ini pusat pemborong itu tampil menghargai pengorbanan serta peranan pengawal keselamatan di sekolah menerusi inisiatif Bakul Merdeka Jaga.
Program julung kali diadakan dengan kerjasama Sinar Bestari itu melibatkan empat buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah dalam daerah Klang dan Kuala Lumpur.
Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang, Nurhani Yasmeen Mohd Zainan berkata, kali ini pihaknya mahu menampilkan kelainan dengan menghargai jasa golongan berkenaan, terutama yang bertugas di kawasan sekolah dalam memastikan keselamatan murid-murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung.
“Kami mahu mengiktiraf kepentingan serta peranan pengawal keselamatan yang sentiasa berjiwa besar ketika bertugas demi memastikan keselamatan, ketenteraman guru dan murid-murid.
“Dengan bantuan Bakul Merdeka Jaga, kami berharap sedikit sebanyak dapat bantu meringankan beban serta memenuhi keperluan harian mereka sekeluarga dengan cara paling berkesan dan praktikal,” katanya.
Menurut Nurhani Yasmeen, ia adalah masa yang sesuai untuk menghargai sumbangan golongan itu dengan mengambil kira keamanan dan kesejahteraan merupakan asas kepada kemajuan negara.
“Inisiatif ini turut menjadi sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) GM Klang untuk menyokong dan menghargai barisan hadapan yang menyumbang kepada komuniti.
“Diharapkan sumbangan ini memberi kesan positif kepada pengawal keselamatan dengan meningkatkan rasa penghargaan dan terima kasih terhadap kerja keras mereka.
“Semoga ia dapat meningkatkan semangat, motivasi untuk terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi kerana apabila jasa dihargai, ia akan memupuk semangat kebersamaan serta komitmen yang lebih kuat dalam menjaga keselamatan sekolah,” ujarnya.
Untuk rekod, Setiap Bakul Merdeka Jaga mengandungi barangan keperluan asas seperti makanan, minuman, barangan runcit seperti beras, minyak masak, barang mandian dan lain-lain lagi.
Usaha ini melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Pulai, SK Jalan Kebun, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Kota Kemuning, SK Bandar Tun Razak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak.
Reaksi
"Saya bertugas di sekolah ini hampir 14 tahun dan ia kali pertama terima satu bakul yang penuh dengan barangan keperluan harian. Terima Kasih GM Klang kerana mengiktiraf khidmat kami kepada komuniti setempat.” - Pengawal keselamatan SK Telok Pulai, Klang, K Mahaletchumy
"Keselamatan anak-anak di sekolah tetap menjadi keutamaan dan apabila peranan itu dihargai, saya semakin bersemangat untuk beri yang terbaik dalam tugas. Saya juga berharap agar inisiatif yang dilakukan GM Klang dapat diteruskan pada masa akan datang.” - Pengawal keselamatan SK Telok Pulai, Klang, Noor Anisah Paniman