Apakah persediaan dan persiapan rapi seorang guru sebelum memulakan sesi pembelajaran pada keesokan hari?
Adakah persediaan dan persiapan tersebut tetap sama walaupun berbeza kaedah iaitu bersemuka atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Baru-baru ini, Penolong Kanan, Pusat Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran berkongsi tip bersama portal GPSBestari berkenaan persiapan mental untuk semua individu.
"Lapan tip ini boleh digunakan warga pendidik dan juga orang ramai sebelum mereka ke tempat kerja masing-masing.
"Dengan perkongsian ini, diharapkan guru dan individu lain dapat bekerja dengan tenang setiap hari,” kata Cikgu Razali.
Ikuti tip daripada beliau.
1) Siapkan segala persiapan kerja untuk esok seperti peralatan, bahan-bahan, pakaian dan sebagainya sebelum tidur. Persiapan awal akan membina semangat dan mengelakkan kekalutan di awal pagi.
2) Elakkan tidur terlalu lewat kerana ia akan menyebabkan badan jadi lesu di awal pagi. Badan yang lesu akan mempengaruhi emosi kita bermula dari rumah dan berlarutan di tempat kerja. Apa yang kita bimbang, emosi yang tidak baik semasa di rumah dan di tempat kerja, akhirnya akan menyakiti orang di sekeliling kita.
Baca juga 8 tip mengawal gemuruh di atas pentas
3) Bangun di awal pagi dan jangan lupa ambil sedikit sarapan sebelum ke tempat kerja. Kadang-kadang berlaku perkara di luar jangka sehingga menyebabkan kita tidak sempat makan sedangkan sarapan pagi itu sangat digalakkan dan penting untuk diambil setiap pagi. Insya-ALLAH, bekerja disaat perut berisi membolehkan kita bekerja dengan ceria dan bertenaga.
4) Jika berkesempatan, lakukan sedikit terapi rohani seperti solat sunat dan membaca al-Quran. Insya-ALLAH, permulaan yang mendamaikan akan melancarkan perjalanan hidup kita sepanjang hari.
5) Sebelum ke tempat kerja, bersalaman dengan ahli keluarga. Ucapkan perkataan yang baik-baik seperti"belajar baik-baik ya Hannan”. Memulakan hari dengan perkara yang baik, Insya-ALLAH akan membina emosi yang tenang dan ceria. Bayangkan jika kita ke tempat kerja dengan emosi yang tidak baik, bagaimana saat kita sampai di tempat kerja? Ada orang boleh mengurus emosi walaupun emosinya sebenarnya tidak baik. Namun, ada orang yang terbawa-bawa emosi dari rumah hingga ke tempat kerja sehinggakan dia bekerja dalam keadaan tidak tenang dan tidak fokus.
6) Sebelum bergerak, bacalah doa agar dilindungi ALLAH perjalanannya dan dipermudahkan ALLAH urusannya di tempat kerja.
7) Sepanjang perjalanan, jika berkesempatan, berzikirlah. Sebutlah apa-apa kalimah yang mudah untuk disebut sebagai penguat dan penenang hati. Bukankah ALLAH ada mengingatkan kita bahawa, hanya dengan mengingati ALLAH, hati menjadi tenang.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
8) Sampai sahaja di tempat kerja, senyum pada orang yang kita temui. Sebarkan salam dan jaga hati kita daripada sangkaan buruk terhadap orang lain. Permulaan yang tidak baik di awal pagi, akan mempengaruhi emosi kita selepas itu, Insya-ALLAH.
Selamat bekerja semua. Semoga kita menjadi pekerja yang bermanfaat kepada organisasi.