“Kuasai subjek Biologi sebelum jadi ahli zoologi” - Cikgu Muhd Fazli

Iklan
Untitled design

Pelajar yang bercita-cita menjadi seorang ahli zoologi dinasihatkan untuk menguasai dan skor dengan cemerlang dalam mata pelajaran Biologi.

Iklan
Iklan

Ini kerana, asas pengetahuan terhadap sesuatu organisma itu mula dipelajari dalam subjek ini.

Iklan

Guru Biologi dan Sains, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Nerus, Terengganu, Cikgu Muhd Fazli Dollah berkata, dalam mata pelajaran tersebut, pelajar didedahkan bagaimana sesuatu organisma dikelaskan sebagai mamalia, reptilia, amfibia dan sebagainya dengan kaedah tertentu sehingga ia memperoleh nama saintifik yang khusus.

Iklan

"Pelajar juga diajar bagaimana membuat sistem pengelasan dan penamaan sesuatu organisma.

"Mengapakah sistem pengelasan dan penamaan organisma penting? Ini kerana, kesemua organisma perlu dikelaskan secara saintifik ke dalam kumpulan secara teratur berdasarkan ciri-ciri yang serupa bagi memudahkan kajian dan perbincangan pada peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

[caption id="attachment_30733" width="600"] Cikgu Muhd Fazli berada di mini studio di rumahnya yang dijadikan sebagai lokasi menghasilkan bahan kandungan digital.[/caption]

Menurut Cikgu Muhd Fazli, pelajar yang mengikuti subjek Biologi akan mempelajari pelbagai topik yang berkaitan dengan kerjaya sebagai seorang ahli zoologi.

"Dalam silibus Biologi Tingkatan Lima, terdapat tajuk Biodiversiti (Bab 8). Ia mengandungi subtopik berkenaan Sistem Pengelasan dan Penamaan Organisma.

"Di dalam subtopik ini, pelajar akan didedahkan dengan satu bidang yang dinamakan sebagai Taksonomi di mana ia merupakan satu bidang biologi yang melibatkan pengelasan, pengecaman dan penamaan organisma mengikut sistem yang teratur.

"Selain itu ia juga bertujuan menguruskan bahan, maklumat dan data yang dikumpulkan untuk memudahkan rujukan dalam komuniti saintifik,” kata guru kelahiran Kuala Krai, Kelantan, ini.

Selain topik Sistem Pengelasan dan Penamaan Organisma, pelajar juga harus menguasai beberapa topik penting yang lain sekiranya mahu berkecimpung dalam bidang zoologi.

"Antara topiknya adalah Sistem Pengelasan Organisma; Ciri Utama Organisma Dalam Setiap Alam; Hierarki Taksonomi; Sistem Tatanama Binomial - Kaedah Memberikan Nama Saintifik Sesuatu Organism dan Pokok Filogeni,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Cikgu Muhd Fazli memberitahu, setakat ini masih belum ada bekas pelajarnya yang bekerja dalam bidang zoologi.

"Namun, ada seorang bekas pelajar saya dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng, Perak, iaitu Dr Muhamad Asyraf Razali (SPM 2008) berjaya menjadi Pegawai Veterinar di Jabatan Veterinar Negeri Kelantan.

"Walaupun agak berbeza, namun ia paling hampir dengan ahli zoologi. Asas yang mereka pelajari tentang haiwan telah diperolehi dari subjek Biologi semasa di bangku sekolah,” ujarnya yang sentiasa menggalakkan para pelajar memilih bidang kerjaya yang berkaitan dengan subjek yang dipelajari.

Sekiranya mereka mempunyai minat yang mendalam terhadap Biologi, guru ini akan mencadangkan kerjaya yang sesuai dan bidang pengajian yang perlu diambil.

Tip skor Biologi

Untuk skor dalam Biologi bukanlah sesuatu yang sukar. Para pelajar hanya perlu menguasai beberapa tip untuk cemerlang dalam mata pelajaran itu.

"Mengetahui dan memahami konsep asas dalam Biologi; menguasai kemahiran-kemahiran saintifik dengan baik kerana bidang zoologi melibatkan penyelidikan terhadap haiwan; sentiasa melakukan pembacaan ilmiah agar dapat memperkembangkan pemikiran yang kreatif dan kritis serta menguasai teknik menjawab soalan berbentuk penyelesaian masalah dengan baik adalah tip yang perlu diberi tumpuan oleh pelajar,” kata penerima Anugerah Guru Bestari Kuala Nerus 2020 ini lagi.

Cara tarik minat pelajar

Dalam pada itu, Cikgu Muhd Fazli turut berkongsi petua untuk rakan-rakan guru dalam usaha menarik minat pelajar menyukai Biologi.

"Cikgu-cikgu perlu perbanyakkan aktiviti hands-on dalam kelas supaya sesi pembelajaran lebih seronok.

"Perbanyakkan input berbentuk visual, yang dekat dengan pelajar agar mereka merasakan Biologi adalah belajar tentang diri mereka dan persekitaran.

"Sebolehnya, bawa pelajar ke zoo atau taman haiwan untuk menambahkan minat dalam bidang zoologi dan juga boleh mengalakkan mereka supaya menonton siri-siri seperti Animal Planet, National Geographic Wild dan Discovery Channel untuk tambahan ilmu,” tuturnya.

Akhir sekali Cikgu Muhd Fazli menitipkan sedikit nasihat untuk pelajar-pelajar di luar sana berkaitan bidang zoologi.

"Untuk menceburkan diri dan menjadi ahli zoologi, mereka perlu menanam minat terhadap haiwan.

"Pelajar perlu ada rasa kasih sayang terhadap haiwan sekeliling kerana tugas ahli zoologi ialah mengkaji tentang bagaimana untuk memelihara dan memulihara sesuatu spesis haiwan agar ia dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

"Malah, mereka juga harus mengkaji penyakit yang membawa kematian sesuatu haiwan dan berusaha mencari penawar untuk merawatnya,” ujarnya.

PROFIL

Nama: Muhd Fazli Dollah

Mula jadi pendidik: 5 Januari 2005

Senarai sekolah yang pernah berkhidmat:

  • Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng, Perak (2005-2019)
  • SESMA (2019 – sekarang)

Anugerah dan pencapaian:

  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2010)
  • Anugerah Guru Bestari Kuala Nerus (2020)
  • Anugerah Ikon Cikgootube Negeri Terengganu (Tempat Ketiga) (2020)
  • Anugerah Khas Pendidikan – Pencipta Kandungan Digital Peringkat Daerah Kuala Nerus 2021
  • Anugerah Khas Pendidikan – Pencipta Kandungan Digital Peringkat Negeri Terengganu 2021
  • Anugerah Khas Pendidikan – Pencipta Kandungan Digital Peringkat Kebangsaan 2021

Program kegemaran: Trilogi The Lord Of The Ring dan Siri Avengers

Idola: Nabi Muhammad SAW dan Pengetua SESMA, Cikgu Kamsah@Kamal Mohamed

Artikel berkaitan 

Hasil berlatih tanpa jemu, atlet SeMShah akhirnya bergelar raja pecut daerah

Peluang graduan politeknik ceburi kerjaya Tentera Darat

Rahsia raih Anugerah Pengurusan Pengawas Terbaik peringkat kebangsaan, ini kata Cikgu Mawar!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok