Keluarga jadi penguat semangat, Al Jufferi cipta hatrik dalam Sukan SEA

Iklan
jufferi5

Pembabitan pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari, 30, dalam sukan silat sejak berusia 14 tahun sudah membuka banyak ruang untuk beliau mencipta pelbagai kemenangan dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Iklan
Iklan

Antara kejayaan yang masih menjadi sebutan sehingga ke hari ini ialah apabila beliau berjaya mencipta hatrik, menang tiga kali berturut-turut dalam temasya Sukan SEA dan kejuaraan dunia.

Iklan

Atlet kelahiran Kuantan, Pahang ini berjaya meraih pingat emas bagi kategori Kelas E Putra (65 hingga 70 kilogram) dalam kejohanan Sukan SEA 2011 di Indonesia dan mengulanginya di Myanmar pada 2013, sebelum mencipta hatrik pada temasya sama di Singapura pada 2015.

Iklan

Lebih manis lagi, Al Jufferi terus cemerlang pada Sukan SEA 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur apabila sekali lagi menyumbangkan pingat emas untuk negara.

Berkongsi mengenai perjalanan kerjaya sebagai seorang atlet silat, Olahragawan Kebangsaan 2015 itu memilih untuk menceburi sukan berkenaan kerana mahu meneruskan legasi keluarga dan bapanya yang juga seorang guru silat.

Teruskan legasi

"Selain itu, saudara saya, Suzy Sulaiman juga seorang atlet silat dan dia adalah orang yang bertanggungjawab membawa saya untuk berlatih di Kem Sukan Temerloh, Majlis Sukan Negeri Pahang ketika saya masih di bangku sekolah.

"Selepas menjalani sesi latihan lebih dua tahun di bawah pasukan Pahang, saya akhirnya diserap sebagai pelapis kebangsaan pada 2009 dan berpeluang menyertai kejohanan sukan pertama iaitu Asian Indoor Games di Vietnam," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sudah menjadi lumrah kehidupan, di sebalik kejayaan yang dicipta pasti ada momen pahit manis yang terpaksa ditempuh dan begitulah juga perjalanan pesilat negara ini apabila anak sulungnya disahkan menghidap kanser ketika berusia tiga tahun.

"Ujian dari ALLAH ini memang menuntut komitmen yang tinggi daripada saya sebagai seorang bapa tetapi dalam masa yang sama ia juga menjadi penguat semangat untuk saya terus berjuang sehabis baik dalam sukan silat ini.

"Itulah yang berlaku ketika pusingan separuh akhir menentang pesilat Singapura, Abdul Raazaq Abdul Rashid pada Sukan SEA 2021 di Hanoi baru-baru ini apabila saya memilih untuk meneruskan perlawanan meskipun mengalami kecederaan bahu selepas memikirkan semangat yang ada dalam diri anak saya ketika berjuang dengan sakit kanser.

Cabaran sebagai atlet

"Saya bersyukur kerana anak saya kini sudah beransur sihat dan hanya perlu menjalani pemeriksaan berkala seperti yang dijadualkan pihak hospital.

"Dalam hal ini, saya sangat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) kerana memahami situasi saya," jelasnya.

Selain itu, kegagalan menghadiahkan pingat emas kepada negara pada Sukan Asia 2018 yang diadakan di Indonesia masih lagi meninggalkan kesan nun jauh di sudut hati Al Jufferi kerana beliau sudah berusaha bermati-matian dalam membuat persiapan untuk sukan berkenaan.

"Bayangkan pergorbanan saya berjauhan daripada isteri yang ketika itu mengandungkan anak sulung kami selama dua tahun untuk memberi sepenuh tumpuan kepada persiapan Sukan Asia akhirnya lebur dek kerana ketidakadilan juri.

"Ramai yang bertanya bagaimana saya bangkit selepas kekalahan itu kerana bagi mereka ia adalah momen yang sangat sukar tetapi saya percaya setiap kejadian ada hikmahnya yang tersendiri dan buktinya selepas kejadian itu, rezeki saya semakin melimpah ruah baik dari segi kerjaya dan juga keluarga," ujarnya.

Selepas lebih 15 tahun berkecimpung dalam arena persilatan negara, Al Jufferi akhirnya membuat keputusan untuk bersara selepas dibelenggu kecederaan bahu dan lutut selain mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

"Saya pernah berkata kepada diri sendiri untuk bersara apabila mengalami kecederaan bahu atau lutut dan ALLAH mendengarnya, jadi saya memilih untuk bersara pada tahun ini.

"Kejohanan Silat Dunia pada Julai ini adalah penampilan terakhir saya dalam sukan silat. Bagi pesilat muda dan pelajar di luar sana yang berminat menceburi sukan silat, teruskan minat kerana arena ini akan mendidik anda menjadi seorang yang berdisiplin dan mempunyai jati diri yang tinggi," tuturnya mengakhiri perbualan.

BIODATA

Nama penuh: Mohd Al Jufferi Jamari

Umur: 30 tahun

Tempat lahir: Kuantan, Pahang

Kedudukan dalam keluarga: Anak kedua daripada empat orang adik beradik

Status: Berkahwin

Pencapaian: Pingat Emas Sukan SEA 2011, 2013, 2015 dan 2017

Pingat Emas Kejohanan Silat Dunia 2012, 2014 dan 2016

Pingat Perak Sukan Asia 2018

Pingat Gangsa Sukan SEA 2021

Olahragawan Kebangsaan 2015

Penerima darjah kebesaran Setia Ahmad Shah Pahang (SAP)

Artikel berkaitan

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya

6 peraturan baharu dalam sukan silat

Tingkat pertahanan diri dengan silat sejak sekolah rendah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok